JOHOR BAHRU, 24 April – Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), meneruskan langkah strategik memperkukuh inovasi dan kecemerlangan dalam bidang sains geospatial dan teknologi angkasa melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
MoU ini mencerminkan visi bersama ke arah melonjakkan kedudukan Malaysia dalam industri geospatial dan angkasa di peringkat global. Melalui kerjasama ini, kekuatan UTM dalam bidang penyelidikan, kejuruteraan dan teknologi digabungkan dengan kepakaran MYSA dalam penerokaan angkasa dan pembangunan satelit, demi membentuk satu ekosistem penyelidikan dan pembangunan negara yang lebih lestari dan dinamik.
Majlis penandatanganan MoU yang berlangsung di Bilik Seminar 1, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof. Dr. Rosli Md. Illias, dan Ketua Pengarah MYSA, YBhg. Profesor Adjung Dato’ Gs. Haji Azlikamil Napiah, serta disaksikan oleh Dekan FABU, Prof. Sr Dr. Kherun Nita Ali, dan Pengarah Bahagian Aplikasi Pengurusan Sumber MYSA, Zuraimi Suleiman.


Melalui pemeteraian ini, kedua-dua pihak bersetuju untuk menjalinkan kerjasama dalam tiga skop utama, iaitu; Penyelidikan dan pembangunan (R&D) metodologi baharu serta pembangunan modul aplikasi pintar berkaitan teknologi angkasa dan geospatial (termasuk aspek huluan dan hiliran); Pelaksanaan program latihan, pemindahan teknologi dan pembangunan modal insan dalam teknologi berkaitan; dan pelaksanaan promosi teknologi angkasa serta teknologi berkaitan.
Prof. Dr. Rosli menzahirkan penghargaan atas kesepakatan kerjasama yang disifatkan sangat berimpak tinggi bagi pihak UTM. “Kerjasama antara UTM dan MYSA akan menyediakan peluang untuk para penyelidik dan pelajar UTM untuk terlibat secara langsung dalam projek-projek berimpak tinggi berkaitan teknologi angkasa dan geospatial. Ia bukan sahaja memperkukuh keupayaan penyelidikan, malah menyokong pembangunan bakat muda negara dalam bidang yang semakin berkembang pesat dan strategik ini,” jelas beliau.
Beliau turut menekankan bahawa kemahiran dalam bidang remote sensing, geoinformatik dan geomatik kini menjadi pemacu utama penyelidikan berimpak tinggi, terutamanya dalam menghadapi era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0). Inisiatif bersama ini juga dijangka memperkukuh kedudukan UTM sebagai hab kecemerlangan dalam bidang teknologi angkasa dan geospatial, selari dengan aspirasi enVision UTM 2025 ke arah menjadi universiti bertaraf dunia dalam pendidikan dan penyelidikan.

Sementara itu, Ketua Pengarah MYSA, Dato’ Azlikamil, menyatakan bahawa jalinan kerjasama strategik ini juga seiring dengan peranan MYSA dalam menerajui pelaksanaan Dasar Angkasa Negara 2030 (DAN2030) serta selaras dengan matlamat Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) yang diterajui oleh MOSTI.
“Pemeteraian MoU ini amat signifikan ketika negara sedang melaksanakan pembangunan sektor angkasa secara terancang dan berdaya saing. Kerjasama ini dapat membuka lebih banyak peluang penerokaan bidang baharu, memperluaskan jaringan perkongsian maklumat dalam bidang sains dan teknologi angkasa serta memperkukuh kompetensi pegawai kedua-dua pihak melalui program latihan serta pemindahan teknologi,” ujarnya.
Tambahnya lagi, pendekatan ini juga merupakan sebahagian daripada usaha holistik dalam merealisasikan inisiatif ASEAN Space Economy MOSTI yang menjadikan sektor angkasa sebagai pemacu ekonomi baharu negara. Inisiatif ini berpotensi untuk merangsang pertumbuhan sektor strategik lain seperti pendidikan, pertanian, komunikasi, pengangkutan dan perkhidmatan berkaitan.

Sehingga kini, UTM telah melahirkan kira-kira 5,000 graduan dalam bidang berkaitan angkasa di peringkat prasiswazah dan pascasiswazah. MoU ini juga mencerminkan komitmen bersama MYSA dan UTM terhadap prinsip-prinsip Malaysia MADANI—KeMampanan, KesejAhteraan dan Daya Cipta—yang diangkat dalam agenda pembangunan negara. Inisiatif ini diyakini mampu melahirkan lebih ramai penyelidik dan profesional berkemahiran tinggi, menghasilkan inovasi serta penerbitan berimpak tinggi, dan seterusnya memperkukuh ekosistem penyelidikan negara secara keseluruhan.
