Mei 7, 2025

IA

Penasihat, Pengetua dan Felo UTM diiktiraf di Majlis Anugerah Gemilang Mahasiswa 2024

JOHOR BAHRU, 30 April – Penasihat Kelab Gerakan Pengguna Siswa (GPS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Mohammad Hasyiq Hamdan telah dinobatkan sebagai Penasihat Kelab/Persatuan Terbaik sempena Majlis Anugerah Gemilang Mahasiswa (GEMA) 2024 yang berlangsung dengan penuh gilang gemilang di Thistle Hotel, Johor Bahru.

Anugerah ini merupakan pengiktirafan atas komitmen cemerlang beliau dalam membimbing Kelab GPS UTM, yang turut mencatat pelbagai pencapaian membanggakan di peringkat kebangsaan. Antara kejayaan terbesar kelab tersebut ialah menggondol gelaran Johan Anugerah Penggerak Kepenggunaan (Kategori Gerakan Pengguna Siswa) bagi tahun 2023 ketika Majlis Penutupan Festival Pengguna KPDN 2024 (CONFEST ‘24) di Stadium Indera Mulia, Ipoh sekali gus menjadikan Kelab GPS ini sebagai yang terbaik di peringkat kebangsaan.

Pada 2022, GPS juga merupakan Naib Johan Anugerah Penggerak Kepenggunaan (Kategori Gerakan Pengguna Siswa) bagi tahun 2022 semasa Majlis Penutup Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) 2023, yang diadakan di Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Program berimpak tinggi lain yang dilaksanakan oleh Kelab GPS ialah Karnival Generasi Pengguna Pintar 2024 dan Program Ihya Ramadhan MySave Food 2024 yang melibatkan pelbagai kolaborasi bersama agensi kerajaan, NGO dan syarikat swasta.

Mohammad Hasyiq berharap kemenangan ini akan menjadi pendorong semangat untuk lebih berusaha melaksanakan program-program yang dapat memberikan impak besar kepada pembangunan pelajar UTM secara holistik. Penolong Pegawai Tadbir Kanan di Bahagian Pengurusan Akademik, Jabatan Pendaftar ini turut mendedikasikan anugerah ini kepada seluruh anggota pasukan Kelab GPS UTM. “Tanpa ahli GPS siapalah saya,” seloroh beliau lagi yang dilantik sebagai Penasihat GPS UTM sejak tahun 2019.

IA
Mohammad Hasyiq Hamdan yang dinobat sebagai Penasihat Kelab/ Persatuan Terbaik GEMA 2024

Selain mengiktiraf pencapaian cemerlang para pelajar, GEMA 2024 turut memberikan penghargaan kepada staf yang aktif menyumbang dalam pembangunan sahsiah dan kepimpinan pelajar. Pengetua Kolej Datin Seri Endon (KDSE), Dr. Nabilah Kassim, diumumkan sebagai penerima Anugerah Pengetua Terbaik 2024, sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan dan dedikasi beliau dalam mentadbir serta menyokong pembangunan pelajar di kolej kediaman tersebut. Antara program besar bertaraf antarabangsa yang dilaksanakan oleh KDSE bagi 2024 ialah Young Scientist Pioneer : Summer School with Universitas Airlangga pada 29 Februari hingga 8 Mac 2024 bertempat di Universitas Airlangga, Surabaya, Sumenep & Gili Iyang, Jawa Timur, Indonesia yang melibatkan seramai 294 penyertaan. Selain itu, mereka turut menganjurkan Program Semarak Merdeka: Ambisi Remaja 2024 yang merekodkan seramai 934 penyertaan melalui pelbagai aktiviti.

IA
Dr. Nabilah Kasim (kanan) menerima anugerah Pengetua Terbaik 2024 dari Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) – Foto: Pejabat Strategi dan Hal Ehwal Korporat UTM

Turut menerima pengiktirafan ialah felow KDSE, Mohd Iskandar Ishak, yang telah dinobatkan sebagai Felow Terbaik 2024. Penolong Pegawai Tadbir di Jabatan Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) ini mula dilantik sebagai Felo pada 2019.

IA
Felow Terbaik 2024, Mohd Iskandar Ishak (kanan) – Foto: Pejabat Strategi dan Hal Ehwal Korporat UTM

Kejayaan yang dicapai oleh warga UTM di pentas GEMA 2024 bukan sahaja mencerminkan keunggulan dalam kepimpinan dan pengurusan pelajar, malah menjadi bukti kukuh terhadap komitmen berterusan universiti dalam melahirkan mahasiswa holistik yang cemerlang dari segi sahsiah, intelektual dan kepimpinan. Dengan semangat juang yang tinggi serta sokongan padu daripada barisan penasihat, pengetua dan felo, UTM terus melangkah gagah sebagai peneraju kecemerlangan mahasiswa di persada nasional dan antarabangsa.

Explore More