
Sebanyak enam acara sukan dipertandingkan sepanjang kejohanan ini, iaitu futsal, bola jaring, badminton, frisbee, e-Sukan dan permainan tradisional, yang mencerminkan keseimbangan antara sukan moden dan elemen warisan. Kejohanan selama seminggu ini dikelolakan oleh Sekretariat Anak Johor Darul Ta’zim (SEJATI) dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni.
Pengarah program, Firzanah Uzma , pelajar tahun 3 Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA) berkata, penganjuran LASKAR 2025 selari dengan aspirasi UTM dalam melahirkan graduan holistik, berketerampilan serta berdaya saing, bukan sahaja cemerlang dari segi akademik tetapi turut memiliki keperibadian unggul.
“Selain itu, kejohanan ini juga memberi peluang kepada Gabungan Anak Negeri Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak untuk bergiat aktif serta memperkasakan persatuan masing-masing,” ujar beliau lagi.


Kejohanan ini turut menyaksikan penyertaan keseluruhan seramai 737 atlet, dengan kontinjen Johor mencatatkan penyertaan tertinggi seramai 96 orang. Seramai 60 pelajar juga terlibat sebagai ahli jawatankuasa penganjuran.
Majlis Perasmian LASKAR 2025 telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Yang Berhormat Aznan Tamin, bertempat di Stadium Azman Hashim, UTM Johor Bahru pada 15 April 2025.
Dengan kejohanan yang masih berlangsung sehingga 20 April ini, LASKAR 2025 terus menjadi medan penyatuan mahasiswa pelbagai negeri dalam semangat kesukanan dan budaya yang harmoni. Penganjur berharap agar segala aktiviti yang dirancang dapat berjalan lancar dan mencapai objektif memperkukuh perpaduan, memperkasa identiti anak negeri serta menyemarakkan nilai murni dalam kalangan mahasiswa UTM.

Turut hadir, Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Kawasan Pulai Sebatang merangkap ADUN Angkat SEJATI, YB Hajah Hasrunizah Hassan; ADUN Johor Kawasan Kota Iskandar, YB Datuk Pandak Ahmad; Pendaftar UTM, Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah; serta Penasihat SEJATI, Prof. Madya Dr. Othman Ibrahim.