Mei 9, 2025

Screenshot

JOHOR BAHRU, 30 April – Kelab Gerakan Pengguna Siswa (GPS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya mendominasi pentas Anugerah Gemilang Mahasiswa (GEMA) 2024 dengan meraih 12 anugerah utama, termasuk Anugerah Kelab Persatuan Terbaik. Majlis berprestij itu berlangsung di Hotel Thistle, Johor Bahru dan telah dirasmikan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim. Kejayaan besar ini merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan GPS UTM dalam pembangunan mahasiswa dan pengurusan aktiviti berimpak tinggi sepanjang tahun.

Screenshot
Barisan jawatankuasa GPS UTM menerima Anugerah Kelab Persatuan Terbaik

Antara anugerah yang diterima oleh GPS UTM pada Majlis Anugerah Gemilang Mahasiswa (GEMA) 2024 termasuk pengiktirafan tertinggi kepada Encik Hasyiq bin Haji Hamdan, selaku Penasihat GPS, yang dianugerahkan Anugerah Khas Timbalan Naib Canselor (HEPA) atas sumbangan luar biasa beliau dalam membimbing dan memperkasakan organisasi pelajar. Insyirah binti Ash’ari pula mencatat pencapaian membanggakan apabila menerima tiga anugerah iaitu tempat pertama Anugerah Kelab Persatuan Terbaik, tempat kedua Anugerah Penghargaan Khas serta tempat ketiga Anugerah Khas Tokoh Sumbangsih, menjadikannya antara penerima anugerah terbanyak individu pada malam tersebut.

Turut menerima pengiktirafan ialah Muhammad Najmi Shah bin Muhamed Azam Shah yang membawa pulang tempat ketiga Anugerah Pemimpin Fakulti/Persatuan/Kelab Terbaik, manakala Izzah binti Shahrul tidak ketinggalan apabila dianugerahkan tempat ketiga Anugerah Penghargaan Khas dan tempat kedua Anugerah Khas Tokoh Sumbangsih. Selain itu, Izzah Sofiyah binti Mohd Murtadha menerima tempat ketiga Anugerah Pemimpin Wacana Intelek, manakala Amirul Irfan bin Ahmad Sophian pula merangkul tempat kedua Anugerah Pemimpin Program Sukan.

Kecemerlangan dalam kepimpinan turut ditonjolkan oleh Nur Najiha binti Mohd Humaidi yang dinobatkan sebagai penerima tempat ketiga Anugerah Kepimpinan Pelajar Terbaik (MPP). Akmal Rizal Bin Zaini turut menerima tempat pertama Anugerah Penghargaan Khas atas dedikasi beliau dan Aaron Lim Hong Rong diberi pengiktirafan menerusi Anugerah Khas Kepimpinan Ibnu Maatum.

Keseluruhan pencapaian ini membuktikan kekuatan GPS UTM bukan sahaja dari segi nilai kerjasama dalam sesebuah organisasi malah turut menyerlah dalam melahirkan barisan pemimpin pelajar yang holistik, berwibawa serta berteraskan semangat komuniti.

Screenshot
Barisan jawatankuasa GPS UTM yang turut hadir bagi Anugerah Gemilang Mahasiswa (GEMA) 2024

Menurut Insyirah, mantan presiden GPS UTM, kejayaan ini bukan hanya hasil usaha individu, tetapi juga berkat semangat berpasukan dan sokongan daripada seluruh ahli serta pihak pengurusan universiti. “Saya berharap kejayaan ini menjadi pembakar semangat untuk terus memberi khidmat terbaik kepada mahasiswa UTM dan masyarakat. Ini bukan pengakhiran, tetapi satu permulaan untuk terus mencipta kecemerlangan,” ujar Insyirah.

Screenshot
Antara trofi kejayaan GPS UTM di GEMA 2024

Dengan semangat kepimpinan dan dedikasi yang ditonjolkan, GPS UTM optimis untuk terus memainkan peranan sebagai platform mahasiswa dalam memperkasa kesedaran pengguna serta membentuk komuniti kampus yang cakna terhadap isu semasa. Kini, kelab ini melangkah dengan lebih yakin dan bersedia membawa impak yang lebih besar kepada universiti, negara dan masyarakat.

Explore More