Mei 6, 2025

WhatsApp Image at AM

FAI UTM perkasa agenda lestari bersama komuniti Kebun Bandar Sungai Bunus

KUALA LUMPUR, 24 April – Dalam usaha memperkasakan kelestarian alam sekitar dan mengukuhkan kesedaran terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menyertai program Gotong-Royong @KBSB di Kebun Bandar Sungai Bunus. Program ini dianjurkan dengan kerjasama Institut Sultan Iskandar (ISI) dan Persatuan Kebun Bandar Sungai Bunus (PKBSB).

Menariknya, selain sokongan rasmi fakulti, sebahagian staf FAI bertindak sebagai ahli pasukan utama dan turut turun padang menyertai aktiviti gotong-royong bersama pelajar, komuniti setempat, dan agensi rakan kerjasama. Program ini berjaya mengumpulkan lebih 50 sukarelawan yang melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti seperti senamrobik untuk kesihatan komuniti, pembersihan kawasan kebun, pengumpulan dan pengasingan sisa kitar semula, serta pemulihan kawasan tanaman yang terjejas.

Semangat kesukarelawanan dalam menjayakan Program Gotong-Royong

Usaha ini secara langsung menyumbang kepada pelaksanaan beberapa Matlamat Pembangunan Mampan yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Antaranya, SDG 11 berkaitan bandar dan komuniti mampan tercermin melalui pemuliharaan Kebun Bandar yang bukan sahaja menyediakan ruang hijau untuk masyarakat pelbagai lapisan, malah membantu mengurangkan kesan ‘urban heat island’ yang semakin ketara di kawasan metropolitan. SDG 13 pula ditangani menerusi aktiviti penanaman semula dan penjagaan kawasan hijau yang mampu menyumbang kepada pengurangan karbon dioksida, seterusnya memulihkan ekosistem bandar.

Menariknya, program ini turut memperlihat penyertaan seimbang antara lelaki dan wanita dalam semua aktiviti yang dijalankan, menyokong aspirasi SDG 5 berkaitan kesamarataan jantina. Dalam aspek teknologi pula, SDG 7 dan SDG 12 diperkuat melalui penggunaan sistem fertigasi berkuasa solar, satu inovasi yang membuktikan bahawa tenaga boleh diperbaharui mampu dimanfaatkan dalam sektor pertanian bandar. Kaedah ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada tenaga konvensional, malah membantu dalam pengurusan sumber air secara lebih cekap.

WhatsApp Image at AM()
Kawasan kebun yang menempatkan pelbagai tanaman

Salah satu pencapaian utama program ini ialah pemasangan Sistem Irigasi Automatik Berkuasa Solar hasil reka cipta penyelidik FAI UTM. Menggunakan panel solar berkapasiti 400W dan pam air solar, sistem ini membekalkan air secara berjadual kepada tanaman fertigasi tanpa bergantung kepada bekalan elektrik grid. Teknologi ini menjadikan operasi kebun lebih cekap tenaga, menjimatkan kos, dan menyumbang kepada pengurangan jejak karbon. Selain itu, ia berfungsi sebagai model pembelajaran dunia sebenar yang mengintegrasikan teknologi hijau dalam pertanian, dan membentuk pemahaman komuniti terhadap amalan lestari yang boleh dilaksanakan di kawasan bandar mahupun luar bandar.

Sistem ini berfungsi bukan sahaja sebagai penyelesaian teknikal, tetapi juga sebagai model pembelajaran nyata tentang bagaimana tenaga boleh diperbaharui dapat menyokong sektor pertanian dan memperkukuh daya tahan komuniti terhadap cabaran perubahan iklim. Dengan penganjuran program seperti ini, FAI UTM dan rakan-rakan strategiknya memperlihat komitmen sebenar untuk membawa perubahan positif dalam mendukung agenda UTM sebagai Kampus Hijau Bertaraf Dunia. Usaha ini memperkukuh nilai kesukarelawanan, inovasi hijau, dan keterlibatan komuniti, sejajar dengan Visi 2030 Malaysia dan Agenda SDG global. FAI UTM terus bertekad untuk melaksanakan dan menyertai lebih banyak program berbentuk lestari, inovatif, dan inklusif pada masa depan — menyemai budaya menghargai alam sekitar, mempromosikan inovasi tenaga bersih, dan membentuk warga kampus yang berdaya tahan terhadap perubahan dunia.

WhatsApp Image at AM
Sukarelawan FAI UTM dan komuniti setempat berganding bahu membersihkan kawasan Kebun Bandar Sungai Bunus sebagai komitmen terhadap kelestarian bandar

Explore More