JOHOR BAHRU, 12 Mac – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mencatatkan pencapaian cemerlang dengan berjaya mengitar semula sebanyak 3,317 tan bahan buangan sepanjang tahun 2024. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha universiti untuk menggalakkan amalan kitar semula dan meningkatkan kesedaran alam sekitar dalam kalangan warga kampus.
Ketua Unit Perancangan Kelestarian, Seksyen Kelestarian dan Keindahan Kampus, Bahagian Pengurusan Aset (BPA), Qamaruzaman Mohd. Noor berkata inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha universiti untuk mengurangkan kesan pencemaran dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan warga kampus mengenai pentingnya amalan pengurusan sisa yang berkesan.
“Program kitar semula yang kami jalankan ini meliputi pelbagai jenis sisa buangan universiti iaitu kertas, makanan, landskap dan juga sisa domestik yang dikumpulkan dari pelbagai pusat dalam kampus. Aktiviti ini sangat berkesan dalam mengurangkan sisa buangan dalam kawasan kampus terutamanya sisa makanan yang dihasilkan hampir setiap hari,” katanya lagi.
Menurutnya lagi, disebabkan keberkesanan program kitar semula ini dalam mengurangkan sisa buangan, maka pihaknya berhasrat meneruskan lagi aktiviti ini pada tahun 2025 dan seterusnya.
“UTM berhasrat untuk terus memperluas program ini pada tahun 2025 dan seterusnya dengan memperkenalkan lebih banyak kempen kesedaran dan aktiviti penglibatan masyarakat. Dengan langkah ini, diharapkan lebih ramai individu akan sedar tentang kepentingan kitar semula dan pengurangan sisa,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu diwawancara sempena Hari Kitar Semula 2025 (Global Recycling Day) oleh Pejabat Pelestarian Kampus (UTMCS) yang disambut di peringkat global pada 18 Mac setiap tahun.
Menurut Qamaruzaman lagi, UTM juga sentiasa melaksanakan aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) yang konsisten dalam usahanya untuk memperolehi teknologi terkini dalam pengurusan sisa bsgi meningkatkan lagi keberkesanan program kitar semula yang sedang dijalankan.
“Melalui inisiatif ini, UTM berharap dapat menjadi contoh yang baik dan berkesan kepada institusi lain dalam usaha mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) seperti mana yang telah disasarkan,” katanya mengakhiri perbualan.
Mengitar semula sisa buangan dalam kampus termasuk di dalam SDG 12, iaitu “Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab” (Responsible Consumption and Production). SDG 12 menekankan pentingnya mengurangkan sisa melalui pencegahan, pengurangan, pengitaran semula dan pemulihan serta mempromosikan amalan pembangunan lestari dalam pengeluaran dan penggunaan sumber.
Aktiviti mengitar semula merupakan salah satu cara utama untuk meminimumkan sisa dan membangunkan sistem pengurusan sisa yang lebih berkesan dan lestari di dalam kampus.
Selain daripada kitar semula, UTM juga aktif dalam pelbagai inisiatif lain untuk mencapai kecemerlangan dalam pembangunan lestari, termasuk program penanaman pokok dan pengurangan penggunaan plastik sekali pakai.

