Mac 28, 2025

WhatsApp Image at PM

UTM dan Prihoda Malaysia perkasa teknologi hijau melalui ‘fabric ducting’

JOHOR BAHRU, 6 Mac – Prihoda Malaysia dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan perkongsian ilmu berkaitan Pengenalan Sistem Hawa Dingin menggunakan Fabric Ducting bertempat di Bilik Belajar 24 Jam, Aras 2, Perpustakaan Sultanah Zanariah, UTM. Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai penggunaan sistem fabric ducting, satu teknologi mampan dalam sistem pengudaraan dan penyaman udara.

n
Penerangan berkaitan variasi fabric ducting yang terdapat di pasaran

Fabric ducting atau saluran udara fabrik merupakan alternatif mesra alam berbanding sistem saluran udara konvensional kerana ia lebih ringan, mudah dipasang, serta mengoptimumkan aliran udara bagi meningkatkan kecekapan tenaga. Teknologi ini juga menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 7 (Tenaga Bersih dan Mampu Milik) serta SDG 13 (Tindakan terhadap Perubahan Iklim) dengan mengurangkan penggunaan tenaga dan pelepasan karbon dalam sistem penghawa dingin.

n
Para peserta mendengar penerangan produk dari wakil Prihoda

Teknologi Fabric Ducting dalam naik taraf ruang di PSZ

Sesi perkongsian ilmu ini telah disertai oleh staf teknikal Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) (JTNC(P)) serta pengguna akhir atau pengguna langsung (end-user) dari Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ) bagi membincangkan teknologi fabric ducting dalam usaha menaik taraf sistem pengudaraan di ruang berkenaan. Tujuan utama sesi ini adalah untuk memberi pendedahan tentang prinsip operasi teknologi ini, kelebihannya, serta aplikasi dalam reka bentuk bangunan moden.

Sepanjang sesi, peserta diberi penerangan tentang bagaimana fabric ducting berfungsi dalam mengedarkan udara secara lebih sekata dan efisien berbanding sistem saluran udara konvensional yang diperbuat daripada logam. Dengan reka bentuknya yang ringan dan fleksibel, teknologi ini membolehkan pemasangan yang lebih pantas dan mudah, di samping mengurangkan kos buruh serta penyelenggaraan jangka panjang. Selain itu, fabric ducting tidak memerlukan penebat haba tambahan kerana bahan fabriknya sendiri dapat mengawal pemeluwapan, menjadikannya pilihan yang lebih mesra pengguna.

Menurut salah seorang penceramah dari Prihoda Malaysia, teknologi ini bukan sahaja membantu dalam pengurangan kos tenaga jangka panjang, tetapi juga menyokong inisiatif hijau di peringkat industri dan akademik. Sistem ini direka untuk meningkatkan kecekapan tenaga dengan mengurangkan kehilangan haba dan meningkatkan kualiti pengudaraan dalaman, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap sistem penyaman udara yang menggunakan tenaga tinggi. “Kami berharap teknologi ini dapat diperluas penggunaannya bagi menggalakkan amalan mampan dalam sektor pembinaan dan kejuruteraan mekanikal,” katanya.

Selain itu, fabrik yang digunakan dalam fabric ducting adalah bahan tahan lama dan boleh dikitar semula, sejajar dengan usaha ke arah pembangunan mampan. Dari segi penyelenggaraan, sistem ini lebih mudah dibersihkan berbanding saluran logam konvensional, yang sering menghadapi masalah pengumpulan habuk dan bakteria. Ini menjadikannya pilihan yang lebih bersih dan sesuai untuk persekitaran seperti perpustakaan, hospital, dan bangunan akademik.

Para peserta sesi ini turut berpeluang melihat demonstrasi secara langsung bagaimana fabric ducting dipasang dan beroperasi dalam bangunan moden. Perbincangan juga diadakan mengenai potensi aplikasi sistem ini dalam lebih banyak projek pembangunan universiti bagi meningkatkan keselesaan pengguna, mengurangkan kos penyelenggaraan, serta menyokong inisiatif hijau universiti dalam jangka panjang.

n
Wakil dari syarikat Prihoda menerangkan jenis-jenis material untuk fabrik sesalur udara  (ducting)

Dengan adanya program seperti ini, kesedaran terhadap kepentingan teknologi hijau semakin meningkat, seiring dengan usaha global dalam mencapai pembangunan lestari. UTM sebagai institusi terkemuka dalam bidang kejuruteraan dan teknologi terus komited dalam memacu inovasi yang menyokong agenda SDG demi masa depan yang lebih lestari.

Jurufoto oleh Shah

Explore More