JOHOR BAHRU, 13 Mac – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus menunjukkan komitmen yang berterusan terhadap usaha memelihara kelestarian alam sekitar dengan melancarkan inisiatif mengitar semula sisa makanan selepas majlis berbuka puasa (iftar) yang diadakan di Masjid Sultan Ismail, UTM.
Pengarah Pusat Islam UTM (PIUTM), Prof Madya Dr. Ahmad Che Yaacob berkata inisiatif yang bersifat ‘Serampang Dua Mata’ yang diadakan sepanjang bulan Ramadan ini bermatlamat untuk mengajak seluruh warga UTM yang merangkumi pelajar, staf dan pensyarah untuk menyertai usaha kitar semula. Program ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pengurusan sisa yang berhemah di samping mendidik warga universiti supaya mengelakkan amalan pembaziran makanan sewaktu berbuka.
“Setiap malam selepas iftar, sisa makanan akan dikumpul dan diasingkan daripada plastik dan bahan lain untuk proses kitar semula. Sisa-sisa ini akan diolah menjadi kompos yang boleh digunakan untuk pertanian dalam kawasan kampus. Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan untuk mengurangkan pembaziran makanan tetapi juga untuk mendidik masyarakat tentang tanggungjawab kita terhadap alam sekitar,” katanya yang ditemui selepas majlis iftar yang berlangsung di Masjid Sultan Ismail.
Timbalan Pengarah PIUTM (Seksyen Pentadbiran dan Operasi), Ustaz Mahyudin Md. Sarip berkata sebanyak enam buah tong sampah telah disediakan bagi memudahkan para jemaah mengasingkan sisa makanan dan sisa plastik .
“Sebagai tanda sokongan kepada inisiatif ini, kami telah sediakan sebanyak enam buah tong dengan tiga dikhaskan untuk sisa makanan dan tiga lagi untuk sisa plastik. Diharapkan dengan adanya inisiatif ini, UTM dapat mempelopori usaha kelestarian dan menjadi contoh terbaik kepada institusi lain di Malaysia. Kita juga berharap dapat menyemai sikap positif iaitu menghargai makanan dan mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar,” katanya lagi.
Program Iftar Ramadan berbuka puasa yang diadakan di Masjid Sultan Ismail UTM bukan sahaja memberikan makanan percuma kepada jemaah yang jumlahnya mencapai sehingga 500 hingga 600 orang pada setiap hari, malah ia turut mengamalkan pengumpulan sisa makanan untuk dijadikan baja kompos dan kegunaan yang lain.
Ia selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang kedua, iaitu “Tiada Kelaparan” dan SDG ke-12 iaitu “Penggunaan dan Pengeluaran yang Lestari”. Inisiatif ini dijayakan bersama dengan pihak Kelestarian Kampus UTM (UTMCS) dan pihak Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan).



