Dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif, pengalaman antarabangsa bukan lagi sekadar kelebihan, tetapi satu aset penting bagi pelajar universiti. Latihan industri di luar negara bukan sahaja membuka peluang untuk meneroka teknologi dan kaedah penyelidikan terkini, bahkan turut mengasah kemahiran insaniah dalam persekitaran global bagi manfaat masa depan. Tahun 2024 menyaksikan tiga pelajar Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berpeluang menimba pengalaman di Korea Selatan. Angela Ngu Shuh Jhing, Muhammad Syafiq Razali, dan Pang Jing Tian, telah menjalani latihan penyelidikan di dua institusi terkemuka, iaitu di Jeonbuk National University (JBNU) dan Kumoh National Institute of Technology.
Angela – Mengaplikasi teknologi dron dengan maklum balas getaran
Angela Ngu Shuh Jhing, pelajar Kejuruteraan Mekanikal dalam bidang Aeronautik, menjalani latihan di Aerospace Robotics and Mechatronics Laboratory, JBNU. Projeknya tertumpu kepada pembangunan sensor maklum balas getaran yang mampu meningkatkan kawalan dron secara masa nyata.
“Sistem ini membolehkan pengguna merasakan kedudukan dron melalui getaran di tali pinggang mereka, menggantikan kebergantungan sepenuhnya kepada Global Positioning System (GPS). Teknologi ini diharap dapat membantu pengguna dalam persekitaran di mana isyarat GPS lemah,” ujar Angela.


Selain mendapatkan pengalaman dalam simulasi menggunakan perisian Simulink, Angela juga merasakan cabaran dalam mengimbangkan antara teori dan praktikal. Di UTM, peluang untuk menyertai projek robotik agak terhad sehingga ke tahun akhir, namun melalui latihan di JBNU, beliau dapat memudahkan pembelajaran dalam bidang elektronik dan UAV (Unmanned Aerial Vehicle). Akan tetapi, beliau merasakan pembelejaran robotik itu dapat diaplikasikan dalam projek pembuatan UAV Fixed Wing pada tahun akhir nanti. Di samping itu, Angela juga berharap pengalaman ini dapat menggalakkan pelajar lain untuk mencuba latihan di luar negara dan menyesuaikan diri dalam budaya serta persekitaran akademik yang berbeza.
Pang – Meneroka teknologi sel bahan api protonik
Pang Jing Tian, pelajar Kejuruteraan Mekanikal dengan pengkhususan dalam Kejuruteraan Bahan, menjalani latihan penyelidikan di Kumoh National Institute of Technology. Projeknya tertumpu kepada penyelidikan dan penilaian bahan lanjutan untuk Sel Bahan Api Seramik Protonik (PCFC), satu teknologi yang berpotensi digunakan dalam penjanaan tenaga yang lebih cekap, bersih dan mesra alam berbanding enjin pembakaran dalaman.
“Di Malaysia, teknologi ini masih belum meluas dan peluang untuk mendalaminya sangat terhad. Oleh itu, latihan ini memberikan peluang kepada saya untuk belajar dari asas, membaca pelbagai kajian penyelidikan, serta menjalankan eksperimen yang memerlukan ketelitian tinggi. Walaupun cabaran utama adalah menyesuaikan diri dengan budaya kerja yang lebih pantas dan tekanan akademik yang tinggi, pengalaman ini membuka peluang kepada saya untuk meneroka bidang tenaga hijau serta memahami potensi sel bahan api dalam industri masa depan,” jelas Pang.


Syafiq – Menganalisis aliran bendalir dalam paip luar pesisir
Muhammad Syafiq Razali, pelajar Kejuruteraan Mekanikal dengan minat dalam bidang analisis bendalir, menjalani latihan di Heat Transfer and Reactive Flow Lab, JBNU. Projeknya tertumpu kepada Analisis CFD (Computational Fluid Dynamics) bagi memahami aliran berbilang fasa dalam saluran paip luar pesisir. Kajian ini bertujuan mengurangkan risiko kegagalan sistem akibat perubahan suhu dan penyumbatan dalam paip.
“Projek ini sangat relevan dengan Projek Sarjana Muda (PSM) saya, kerana saya turut mengaplikasikan perisian yang sama. Pengalaman ini bukan sahaja memperkukuh pemahaman saya dalam simulasi CFD tetapi juga memperkenalkan saya kepada budaya kerja di luar negara,” kata Syafiq.
Di makmal ini, Syafiq berpeluang menggunakan perisian Ansys Fluent bagi menjalankan simulasi aliran bendalir dalam persekitaran kompleks. Salah satu cabaran terbesar yang dihadapinya adalah memahami perisian dalam tempoh singkat serta berkomunikasi dengan rakan penyelidik yang tidak semua fasih berbahasa Inggeris. Namun, dengan bimbingan pensyarah penyelia dan rakan makmal yang berpengalaman, Syafiq berjaya menyelesaikan projeknya dalam tempoh tiga bulan.


Pengalaman dan Manfaat Latihan di Luar Negara
Sepanjang latihan industri ini, ketiga-tiga pelajar menghadapi pelbagai cabaran, termasuk tekanan akademik, perbezaan budaya, serta gaya kerja yang lebih pantas. Namun, mereka mengakui bahawa pengalaman ini amat berharga dalam meningkatkan kemahiran teknikal, komunikasi, serta kefahaman terhadap bidang penyelidikan yang sedang berkembang pesat.
Faktor sokongan kewangan turut memainkan peranan penting dalam memastikan pelajar dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada penyelidikan. Latihan ini menyediakan elaun yang mencukupi untuk menampung kos perjalanan dan penginapan, membolehkan mereka memberi fokus penuh kepada penyelidikan.
Lebih daripada sekadar latihan industri, pengalaman ini membuka ruang untuk pelajar Malaysia meneroka potensi mereka di peringkat global. Dengan pendedahan kepada teknologi canggih dan kaedah penyelidikan terkini, pelajar bukan sahaja memperoleh ilmu baharu, malah berpeluang membina jaringan profesional antarabangsa. Diharapkan pengalaman mereka dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk berani mencuba peluang di luar negara demi masa depan yang lebih cerah.