April 11, 2025

WhatsApp Image at AM

Sukarelawan UTM Prihatin jayakan agihan bubur lambuk sepanjang Ramadan 2025

JOHOR BAHRU, 28 Mac – Pusat Islam UTM dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Organisasi (BPO), Jabatan Pendaftar telah menggerakkan pasukan sukarelawan UTM Prihatin bagi melaksanakan agihan bubur lambuk kepada pelajar, staf, dan masyarakat sekitar kampus sepanjang bulan Ramadan 2025.

Program yang berlangsung dari 3 hingga 28 Mac 2025 ini telah berjaya dilaksanakan dengan sokongan dan sumbangan orang ramai, khususnya staf Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sendiri, terutamanya dalam bentuk sumbangan wang ringgit. Sumbangan tersebut telah menyumbang secara langsung kepada kelancaran agihan juadah berbuka puasa pada tahun ini.

WhatsApp Image at AM
Petugas UTM Prihatin bersiap sedia mengedarkan bubur lambuk yang telah disediakan

Sebagai sebuah program tahunan, inisiatif UTM Prihatin ini bukan sahaja memberi manfaat dalam bentuk sumbangan makanan, tetapi turut mencerminkan semangat kerjasama dan keikhlasan yang tinggi dalam kalangan para sukarelawan. Kejayaan program ini bergantung kepada komitmen petugas yang menzahirkan pelbagai nilai murni sepanjang pelaksanaannya.

Menurut Timbalan Pengarah Pusat Islam UTM, Dr. Naemah Hamzah, “Segala kerja-kerja sukarelawan dilaksanakan dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan ganjaran atau saguhati. Sukarelawan haruslah rajin dan proaktif dalam melaksanakan tugasan yang diamanahkan, serta memiliki semangat rohani dan jasmani yang kental sepanjang program berlangsung.”

Antara nilai teras yang diterapkan melalui program ini termasuklah keikhlasan dalam berkhidmat, kerajinan, dedikasi tinggi, ketahanan fizikal dan mental, keutamaan terhadap kesejahteraan orang lain, kesediaan menerima arahan, serta semangat berbakti kepada universiti. Nilai-nilai ini turut selari dengan prinsip ISES (Integriti, Sinergi, Kecemerlangan dan Kelestarian) yang menjadi tunjang budaya kerja warga UTM.

Ketua Marshall UTM, Haironizam Mohamad turut menyatakan, “Para sukarelawan UTM Prihatin sememangnya sentiasa bersedia menerima arahan dan melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab demi kebajikan warga UTM. Insya-Allah, pasukan ini akan terus berkhidmat dan menyumbang bakti kepada universiti pada masa akan datang.”

WhatsApp Image at AM
Agihan secara pandu lalu turut diadakan semasa waktu pulang kerja

Program ini bukan sahaja menyemarakkan keberkatan Ramadan melalui pemberian juadah, tetapi juga berperanan mengukuhkan hubungan antara universiti dan masyarakat. Semoga semangat kesukarelawanan yang ditunjukkan oleh warga UTM ini terus memberi manfaat kepada semua pihak dan menjadikan bulan Ramadan lebih bermakna.

Pihak Pusat Islam UTM dan BPO berharap agar lebih ramai warga kampus tampil memberikan sumbangan kepada Tabung Aktiviti Kesukarelawan pada masa akan datang bagi memastikan kesinambungan program-program bermanfaat seperti ini.

WhatsApp Image at AM ()
Sebahagian warga kampus dan masyarakat sekitar yang hadir menerima bubur lambuk yang disediakan

Oleh Dr. Naemah Hamzah, Haironizam Mohamad dan Khairull Azmi Ishak, Urusetia Induk UTM Prihatin, Pusat Islam UTM & Bahagian Pengurusan Organisasi UTM

Explore More