Emosi merupakan anugerah Allah kepada manusia sebagai mekanisme semula jadi untuk berinteraksi dengan diri sendiri, orang lain, dan persekitaran. Dalam Islam, emosi positif dan negatif adalah sebahagian daripada keseimbangan psikologi yang membantu manusia menjalani kehidupan dengan lebih bermakna dan berfungsi. Allah menciptakan manusia dengan pelbagai emosi sebagai satu bentuk ujian dan juga sebagai panduan untuk mencapai kebahagiaan dan kesejahteraan hidup.
Ramadan adalah bulan terbaik untuk setiap individu bermuhasabah diri. Selain menjadi bulan ibadah, Ramadan turut memberikan impak yang besar terhadap kesejahteraan emosi seseorang. Amalan yang dilakukan dalam bulan ini bukan sahaja meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT, tetapi juga membantu membugar emosi positif dalam diri individu. Aspek biologi, psikologi, sosial, dan spiritual yang diterapkan melalui amalan Ramadan berperanan besar dalam membina kesejahteraan emosi seseorang.
Puasa sebagai latihan kesabaran dan ketahanan diri
Puasa merupakan ibadah utama dalam bulan Ramadan yang melatih individu untuk menahan diri daripada lapar, dahaga serta hawa nafsu. Kesabaran yang terlatih sepanjang hari memberikan individu keupayaan untuk mengawal emosi dengan lebih baik, mengurangkan kecenderungan bertindak secara impulsif, dan membantu seseorang menjadi lebih tenang serta berfikir secara rasional.
Selain itu, puasa juga melatih individu mengawal hawa nafsu dan emosi negatif seperti marah, kecewa, dan sedih. Proses ini meningkatkan kesabaran dan daya tahan diri, yang seterusnya menimbulkan ketenangan dalaman serta kestabilan emosi.
Dari sudut psikologi, puasa membantu meningkatkan daya tahan terhadap tekanan (resilience). Keupayaan mengawal keinginan dan emosi negatif membentuk sikap positif dan meningkatkan keyakinan diri dalam menghadapi cabaran kehidupan.
Solat, doa dan zikir sebagai terapi jiwa
Amalan solat lima waktu yang diperkukuh dengan solat sunat seperti solat tarawih dan solat tahajjud dalam bulan Ramadan memberikan ketenangan jiwa yang mendalam. Dari perspektif psikologi Islam, solat dianggap sebagai satu bentuk terapi spiritual yang berkesan dalam mengurangkan tekanan dan keresahan.
Kajian menunjukkan bahawa individu yang mengamalkan solat dengan khusyuk mempunyai kadar kebimbangan yang lebih rendah dan lebih mudah mencapai ketenangan dalaman. Solat bukan sahaja membantu menenangkan minda, malah turut melepaskan bebanan emosi negatif. Selain itu, amalan ini turut merangsang penghasilan hormon serotonin dan endorfin yang berkait rapat dengan perasaan bahagia dan ketenangan emosi.
Selain daripada solat, doa yang dipanjatkan sepanjang bulan ini turut membentuk hubungan spiritual yang lebih erat dengan Allah SWT. Hubungan ini membawa kepada perasaan aman dan reda dalam menghadapi pelbagai cabaran hidup. Terdapat waktu-waktu tertentu dalam bulan Ramadan yang dianggap mustajab untuk berdoa selain satu pertiga malam, seperti ketika menjelang waktu berbuka puasa dan ketika bangun sahur.
Di samping itu, kebiasaan individu mencari dan mengamalkan zikir serta doa yang diajarkan oleh Rasulullah, para sahabat, dan ulama muktabar pada waktu-waktu yang mustajab, turut menyumbang kepada ketenangan jiwa. Amalan zikir dan doa ini membantu menenangkan minda, mengurangkan kebimbangan, serta menjadikan seseorang lebih optimis dan positif dalam menghadapi kehidupan seharian.
Tilawah dan tadabbur Al-Quran
Membaca dan merenungi ayat-ayat Al-Quran dapat meningkatkan ketenteraman jiwa dan mengurangkan tekanan. Al-Quran merupakan sumber ketenangan yang luar biasa bagi mereka yang membacanya dengan penuh keikhlasan dan penghayatan. Firman Allah SWT dalam Surah Ar-Ra’d, ayat 28:
“Ketahuilah! Dengan mengingati Allah, hati menjadi tenang.”
Tilawah yang dilakukan dengan tartil dan khusyuk mampu membantu mengurangkan tekanan emosi serta memberi rasa damai dan tenteram dalam hati. Kajian psikologi juga menunjukkan bahawa bacaan Al-Quran yang merdu dan teratur boleh mengaktifkan gelombang otak yang berkaitan dengan ketenangan dan relaksasi.
Individu yang sering mengalami keresahan, kemurungan, atau tekanan hidup boleh menjadikan Al-Quran sebagai terapi rohani. Tadabbur terhadap ayat-ayat yang membicarakan tentang rahmat, keampunan, dan kasih sayang Allah SWT dapat menenangkan jiwa yang sedang gundah. Contohnya, Surah Al-Insyirah, ayat 5-6 yang berbunyi:
“Kerana sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan.”
Renungan terhadap ayat ini dapat memberikan harapan kepada individu bahawa setiap cabaran pasti disertai dengan jalan keluar, seterusnya mengurangkan beban tekanan yang dialami.
Keberkatan bersedekah dan memberi
Salah satu amalan utama dalam bulan Ramadan ialah bersedekah. Amalan ini bukan sahaja bertujuan untuk membantu golongan yang memerlukan, malah turut menyuburkan rasa empati, syukur, dan kepuasan dalam diri pemberi. Memberi kepada orang lain, sama ada dalam bentuk wang, makanan, atau pertolongan, dapat menanamkan perasaan kasih sayang dan keterikatan sosial yang lebih mendalam. Selain itu, bersedekah juga dikaitkan dengan peningkatan emosi positif seperti kegembiraan, kepuasan diri, dan ketenangan jiwa.
Dari sudut psikologi, kajian menunjukkan bahawa individu yang gemar memberi dan membantu orang lain cenderung mempunyai tahap kebahagiaan yang lebih tinggi berbanding mereka yang jarang bersedekah. Ini kerana amalan memberi mencetuskan hormon kebahagiaan seperti oksitosin, yang menguatkan rasa keterikatan sosial, kepuasan emosi, serta memupuk perasaan kasih sayang dan kebahagiaan. Selain itu, pemberian sedekah ini juga berperanan dalam membersihkan jiwa daripada sifat kedekut dan tamak, menjadikan individu lebih tenang dan harmoni secara emosi.
Memperkuat hubungan sosial dan silaturahim
Ramadan juga merupakan bulan yang memperkukuh hubungan sosial dan mengeratkan silaturahim. Amalan seperti berbuka puasa bersama, bersedekah, dan bertarawih di masjid menjadikan seseorang lebih dekat dengan keluarga, rakan, dan masyarakat. Hubungan sosial yang erat ini dapat meningkatkan perasaan kasih sayang dan kepuasan emosi, di samping mengurangkan tekanan dan meningkatkan kegembiraan.
Dari sudut psikologi, manusia merupakan makhluk sosial yang memerlukan interaksi untuk mengekalkan kesejahteraan mental. Keakraban dengan keluarga dan masyarakat sepanjang bulan Ramadan dapat mengurangkan kesepian serta meningkatkan perasaan bahagia dan ketenangan jiwa.
Membentuk sikap syukur dan reda
Bulan Ramadan mendidik umat Islam untuk lebih bersyukur atas nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT. Kesedaran terhadap nikmat makanan, minuman, dan kesihatan yang sering dianggap remeh dalam kehidupan seharian menjadi lebih bermakna apabila seseorang merasai sendiri kelaparan dan kehausan. Sikap syukur ini membina emosi positif kerana individu yang bersyukur cenderung untuk merasa lebih bahagia dan puas dengan kehidupannya.
Selain itu, konsep reda terhadap ketentuan Allah SWT turut diperkukuhkan dalam bulan ini. Menerima segala ujian dengan reda membantu seseorang menghadapi kehidupan dengan lebih optimis serta mengurangkan perasaan kecewa dan putus asa. Amalan ini juga menyumbang kepada kestabilan emosi yang lebih baik dan meningkatkan ketenangan jiwa.
Meningkatkan kesedaran diri dan muhasabah
Ramadan merupakan bulan yang sesuai untuk melakukan muhasabah diri. Melalui amalan beribadah, individu lebih terdorong untuk menilai dan merenung kembali kekurangan serta kelemahan diri, seterusnya berusaha menjadi insan yang lebih baik. Proses ini menyumbang kepada ketenangan jiwa dan kepuasan diri kerana individu dapat melihat kemajuan dalam aspek kerohanian, moral, dan akhlak.
Di samping itu, muhasabah diri membantu seseorang menetapkan matlamat hidup yang lebih jelas dan bermakna. Dengan adanya hala tuju yang jelas, individu akan lebih fokus dan bermotivasi dalam usaha memperbaiki diri. Keadaan ini dapat membentuk emosi positif seperti perasaan harapan, keyakinan, dan ketenangan jiwa.
Pengawalan diri dan disiplin yang lebih baik
Sepanjang bulan Ramadan, umat Islam dididik untuk mengawal diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa seperti marah, mengumpat, atau membazir masa. Latihan pengawalan diri ini membantu seseorang menjadi lebih berdisiplin dan menguruskan emosi dengan lebih baik.
Kemampuan mengawal emosi negatif seperti kemarahan dan kekecewaan menjadikan seseorang lebih cenderung untuk mengekalkan keseimbangan emosi yang positif. Sikap disiplin yang dibentuk sepanjang bulan Ramadan ini juga dapat diterapkan dalam kehidupan seharian selepas Ramadan, menjadikan individu lebih stabil dari segi emosi dan mental.
Menjalani gaya hidup sihat
Bulan Ramadan turut mendorong umat Islam untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat. Amalan makan secara sederhana ketika berbuka dan bersahur membantu mengekalkan keseimbangan pemakanan serta mengelakkan masalah kesihatan seperti obesiti dan penyakit berkaitan pemakanan. Amalan pemakanan sihat ini memberi kesan positif kepada emosi kerana tubuh yang sihat menyumbang kepada minda yang lebih segar serta kestabilan perasaan.
Selain itu, jadual tidur yang lebih teratur dan amalan bangun awal untuk bersahur serta solat tahajjud dapat meningkatkan kualiti tidur seseorang. Kualiti tidur yang baik amat penting bagi mengekalkan kestabilan emosi dan kesihatan mental.
Amalan dalam bulan Ramadan bukan sekadar ibadah ritual, tetapi juga merupakan terapi psikospiritual yang dapat menyuburkan emosi positif. Melalui amalan puasa, solat, doa, sedekah, muhasabah diri, serta pengukuhan hubungan sosial, seseorang dapat mencapai ketenangan jiwa, meningkatkan kesabaran, dan merasakan kebahagiaan yang lebih mendalam. Latihan pengawalan diri, kesyukuran, dan gaya hidup sihat yang diterapkan sepanjang bulan ini memberi kesan yang berkekalan terhadap kesejahteraan emosi, mental, dan fizikal individu. Dengan memahami dan menghayati manfaat Ramadan terhadap emosi, seseorang dapat menjalani kehidupan yang lebih positif, bahagia, dan bermakna.
Prof. Madya Dr. Siti Norlina Muhamad, Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan