Bulan Ramadan merupakan anugerah istimewa daripada Tuhan kepada umat Islam. Ia hadir sebagai madrasah ketakwaan dan penyuburan jiwa, mendidik hati agar sentiasa dekat kepada Ilahi. Antara elemen utama yang melatari bulan penuh hikmah ini adalah kewajipan berpuasa bagi orang-orang yang beriman, suatu ibadah yang menuntut ketahanan diri dalam menahan lapar dan dahaga.
Menariknya, konsep berpuasa kini turut mendapat perhatian melalui fenomena puasa berkala atau Intermittent Fasting (IF) yang semakin popular dalam kalangan komuniti kesihatan. Amalan ini telah menarik ramai pengamal daripada pelbagai latar belakang bangsa dan agama serta diiktiraf sebagai kaedah berkesan dalam mengawal penyakit kronik yang membelenggu masyarakat moden, seperti darah tinggi, masalah kolesterol, dan diabetes. Malah, ramai pengamal perubatan, khususnya doktor yang berpengaruh di media sosial tempatan dan global, turut mempromosikan puasa sebagai ibu penawar (panacea) bagi pelbagai masalah kesihatan yang lebih serius, termasuk penyakit autoimun dan kanser.
Serupa tetapi tidak sama
Secara dasarnya, puasa Ramadan dan Puasa Berkala (Intermittent Fasting at au IF) berkongsi prinsip yang sama, iaitu mengehadkan waktu makan dalam sesuatu hari. Namun, terdapat beberapa perbezaan utama antara kedua-duanya yang perlu difahami.
Puasa Ramadan mempunyai jadual yang lebih ketat dan mencabar kerana ia diamalkan setiap hari secara berturut-turut selama sebulan. Tempoh puasanya juga telah ditetapkan, iaitu dari waktu Subuh hingga Maghrib, yang bersamaan sekitar 12 hingga 20 jam bergantung pada lokasi. Sebaliknya, IF lebih fleksibel dari segi penyusunan waktu dan hadir dalam pelbagai variasi, seperti 16:8 (16 jam berpuasa, 8 jam makan) atau 5:2 (makan seperti biasa selama 5 hari, kalori minimum selama 2 hari). Tempoh puasa dalam IF juga boleh diubah suai mengikut kesesuaian rutin individu.
Perbezaan ketara yang lain ialah larangan pengambilan makanan dan minuman sepanjang tempoh puasa dalam Ramadan. Sebaliknya, IF membenarkan pengambilan minuman tanpa kalori seperti air kosong, teh, atau kopi tanpa gula.
Selain itu, Puasa Ramadan merupakan satu kewajipan agama, manakala IF adalah pilihan gaya hidup. Perbezaan dari sudut ini penting kerana tahap kepatuhan (adherence) kepada sesuatu amalan adalah cenderung lebih tinggi apabila ia berasal daripada inisiatif dan pilihan sendiri.
Manfaat dari sudut perubatan
Dari sudut perubatan, puasa Ramadan dan IF (Intermittent Fasting) menawarkan pelbagai manfaat kesihatan yang dapat dinikmati oleh pengamalnya. Manfaat utama yang menjadi tunjang kepada kesan positif ini ialah pengurangan pengambilan kalori harian secara konsisten, lazimnya melibatkan pengurangan antara 20% hingga 40%, iaitu bersamaan dengan 400 hingga 600 kcal sehari. Pengurangan ini amat signifikan, terutamanya dalam kalangan masyarakat moden yang hidup dalam persekitaran obesogenik, di mana kecenderungan untuk mengambil kalori berlebihan sangat tinggi melalui makanan terproses dan minuman bergula.
Apabila badan tidak menerima bekalan makanan untuk tempoh tertentu, ia akan mengaktifkan proses ketosis, iaitu keadaan di mana lemak yang tersimpan dalam badan ditukar menjadi tenaga. Proses ini bukan sahaja membantu dalam pengurangan berat badan, malah turut memperbaiki tahap metabolisme dan mengurangkan risiko penyakit berkaitan obesiti seperti diabetes, darah tinggi, dan masalah kolesterol. Selain itu, peningkatan sensitiviti insulin yang berlaku ketika berpuasa memainkan peranan penting dalam mengawal paras gula dalam darah, sekali gus mengurangkan risiko diabetes.
Dari aspek kesihatan kardiovaskular, amalan berpuasa turut memberikan kesan yang baik. Penurunan tekanan darah, pengurangan kadar lemak badan, dan pengurangan keradangan merupakan antara manfaat yang terbukti mampu mengurangkan risiko penyakit jantung serta komplikasi yang berkaitan.
Tambahan pula, keadaan tubuh yang berada dalam keadaan berpuasa turut merangsang proses yang dikenali sebagai autofagi — satu mekanisme pembersihan sel yang menyingkirkan komponen-komponen yang rosak dan tidak lagi berfungsi dengan baik. Proses ini bukan sahaja memperbaiki fungsi sistem pertahanan badan, malah turut membantu melambatkan proses penuaan sel serta mencegah penyakit neurodegeneratif seperti Alzheimer dan Parkinson.
Walau bagaimanapun, penting untuk difahami bahawa berpuasa bukanlah penyembuh mutlak bagi setiap penyakit seperti yang dipromosikan oleh sesetengah pihak. Sebaliknya, ia adalah satu kaedah efektif dan mudah diamalkan untuk meningkatkan kualiti kesihatan, terutamanya apabila digabungkan dengan gaya hidup sihat yang lain seperti pemakanan seimbang dan senaman yang konsisten.
Risiko kesihatan
Walaupun amalan berpuasa memberikan pelbagai manfaat kesihatan, ia juga berpotensi mendatangkan kesan sampingan yang perlu diberi perhatian. Antara risiko utama termasuklah keletihan, penurunan daya fokus, dan dehidrasi yang mungkin berlaku akibat kekurangan tenaga sepanjang tempoh berpuasa. Keadaan ini boleh mengganggu produktiviti harian, terutamanya bagi individu yang perlu menjalankan aktiviti fizikal atau mental yang intensif.
Bagi pesakit diabetes, khususnya mereka yang mengambil ubat atau suntikan insulin, risiko hipoglisemia (paras gula dalam darah yang terlalu rendah) perlu diberikan perhatian serius. Keadaan ini boleh menyebabkan simptom seperti pening, pandangan kabur, berpeluh, atau dalam keadaan yang lebih teruk, kehilangan kesedaran. Oleh itu, pesakit diabetes yang ingin berpuasa, sama ada semasa Ramadan atau melalui Intermittent Fasting (IF), disarankan mendapatkan nasihat daripada doktor untuk menyesuaikan dos ubat-ubatan atau rejimen rawatan mereka.
Penyusutan jisim otot juga merupakan risiko yang perlu diambil kira. Apabila tubuh berada dalam keadaan berpuasa yang berpanjangan tanpa pengambilan protein yang mencukupi, badan mungkin mula memecahkan tisu otot sebagai sumber tenaga. Hal ini boleh memberi kesan negatif terhadap kekuatan otot dan kadar metabolisme tubuh.
Ironinya, risiko kesihatan yang sering dihadapi oleh golongan yang berpuasa, khususnya di Malaysia, bukanlah semasa tempoh berpuasa itu sendiri. Sebaliknya, ia lebih kerap berlaku semasa tempoh berbuka (feeding window), iaitu apabila pengambilan makanan dilakukan secara berlebihan dan kurang bernutrisi.
Berpuasa secara sihat
Bagi memastikan tubuh kekal sihat dan bertenaga sepanjang tempoh berpuasa, prinsip utama yang perlu diutamakan ialah keseimbangan pemakanan ketika sahur dan berbuka. Hidangan yang kaya dengan serat seperti bijirin penuh, sayur-sayuran, dan buah-buahan perlu diberi keutamaan kerana ia membekalkan tenaga yang dilepaskan secara perlahan dan membantu mengekalkan rasa kenyang lebih lama. Selain itu, sumber protein berkualiti seperti ikan, ayam, kekacang, dan telur amat penting untuk mengekalkan kekuatan otot serta menyokong proses pemulihan tubuh.
Pengambilan air yang mencukupi juga perlu diberi perhatian bagi memastikan tubuh kekal terhidrat dan berfungsi dengan baik. Mengelakkan pengambilan minuman bergula dan berkafein yang berlebihan turut membantu mengekalkan tahap hidrasi yang optimum.
Paling utama, elakkan tabiat makan berlebihan ketika berbuka. Walaupun pelbagai hidangan lazat sering menggamit selera, kesederhanaan adalah kunci yang perlu dipegang. Makan secara berlebihan bukan sahaja mengganggu sistem pencernaan, malah berisiko menghapuskan segala manfaat kesihatan yang boleh dicapai melalui amalan berpuasa. Malah, kajian menunjukkan bahawa terdapat individu yang menjalani puasa Ramadan bukan sahaja gagal menurunkan berat badan, malah berat badan mereka meningkat akibat pemilihan makanan tidak sihat dan pengambilan kalori yang berlebihan.
Displin
Puasa, pada akhirnya, adalah sebuah instrumen spiritual yang membentuk disiplin dan mengasuh jiwa dalam mengawal diri. Ia adalah satu tesis bahawa betapa manusia bukan sahaja mampu mengawal diri daripada mengambil makanan berlebihan dan kurang nutrisi, malah berupaya untuk menahan diri sepenuhnya daripada sebarang makanan dan minuman dalam tempoh yang lama. Semangat puasa Ramadan ini haruslah disuburkan dengan sifat tawaduk dan besederhana agar kita dapat menikmati bonus kesihatan badan yang diberikan. Jika tidak, dikhuatiri kita tergolong dalam kalangan yang disebut oleh Rasullullah S.A.W ‘hanya mendapat lapar dan dahaga’. Nauzubillah!
Dr. Mohd Firdaus Akmal Azman merupakan doktor perubatan yang juga Pengarah di Pusat Kesihatan Universiti Teknologi Malaysia