Mac 11, 2025

Pelancaran Oil2Wang tingkat kesedaran pengurusan minyak masak terpakai

BUKIT SIPUT, 8 Mac – Inisiatif inovatif dalam bidang kitar semula semakin berkembang di Segamat dengan pelancaran rasmi Kiosk Oil2Wang™ – Mesin Kitar Semula Minyak Masak Terpakai. Majlis pelancaran ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) merangkap Ahli Parlimen Sekijang di Masjid Al-Muhajirin pada 8 Mac 2025. Pelancaran ini turut dihadiri oleh penduduk setempat yang menyambut baik usaha ini sebagai langkah positif ke arah pemeliharaan alam sekitar.

Majlis pelancaran yang dihadiri oleh penduduk Bukit Siput, Segamat

Projek ini merupakan hasil kerjasama erat antara Persatuan Komuniti Kenari Bukit Siput Segamat dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dengan sokongan dana daripada geran Program Sejahtera Komuniti (SejaTi) MADANI. Inisiatif ini membolehkan warga Sekijang menukarkan minyak masak terpakai kepada wang tunai pada kadar RM2.50 setiap kilogram. Pendekatan ini bukan sahaja menggalakkan amalan kitar semula dalam kalangan komuniti, malah membuka peluang kepada masyarakat untuk menjana pendapatan sampingan melalui bahan buangan.

Teknologi kiosk pintar Oil2Wang™ merupakan hasil inovasi oleh Ts. ChM. Dr. Faizuan Abdullah dari Jabatan Kimia, Fakulti Sains UTM bersama ahli kumpulan beliau. Inovasi ini telah dibangunkan dengan matlamat untuk memberikan penyelesaian mesra alam dalam pengurusan sisa minyak masak terpakai. Setelah teknologi ini bersedia untuk digunakan secara fungsi penuh, ia telah dikomersialkan melalui syarikat hiliran UTM iaitu Pure Aims Technologies Sdn. Bhd., yang diuruskan oleh Dr. Faizuan bersama pasukannya.

Pemasangan mesin kitar semula minyak masak terpakai Oil2Wang™ di kawasan ini juga seiring dengan objektif program Waste to Wealth yang bertujuan meningkatkan ekonomi kecil-kecilan komuniti di samping menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar. Teknologi ini bukan sahaja menyediakan platform untuk mengitar semula minyak masak terpakai, tetapi juga memberi insentif kewangan kepada pengguna yang menyertainya.

Perasmian kiosk Oil2Wang™ oleh YB Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa

Menurut YB Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, mesin kitar semula ini menggunakan teknologi canggih dengan aplikasi pintar yang membolehkan pengguna menimbang dan memproses minyak masak terpakai secara automatik. Beliau turut menjelaskan bahawa sistem ini mampu mengasingkan minyak dan air dengan efisien, sementara kredit tunai akan terus dimasukkan ke dalam akaun bank pengguna dengan mudah. Beliau menekankan bahawa inovasi ini bukan sahaja mesra pengguna, malah menggalakkan budaya kitar semula yang lebih sistematik dan efektif dalam kalangan masyarakat.

Inisiatif Oil2Wang™ bukan sahaja memberi manfaat ekonomi kepada masyarakat setempat tetapi turut menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar dan memperkukuh konsep ekonomi kitaran yang mampan. Dengan mengurangkan pembuangan minyak masak terpakai ke dalam sistem perparitan, teknologi ini dapat membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar, seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan komuniti.

Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Dengan adanya inisiatif seperti Oil2Wang™, diharapkan kesedaran mengenai kepentingan pengurusan sisa minyak masak dapat terus diperkukuh bagi memastikan kesejahteraan masyarakat dan kelestarian alam sekitar sentiasa terpelihara.

Explore More