PUTRAJAYA, 10 Mac – Program Pemukiman Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) telah berlangsung di Putrajaya, menggariskan enam hala tuju utama yang bakal memacu gerak kerja MPPK bagi sesi kali ini. Program ini menghimpunkan wakil daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Kesatuan Mahasiswa (KM) dari seluruh institusi pengajian tinggi, termasuk Institut Pengajian Awam (IPTA), Institut Pengajian Swasta (IPTS), Politeknik, dan Kolej Komuniti (PolyCC).
Enam landasan utama yang menjadi fokus MPPK ialah Memperkasa Pembangunan Bakal Unggul Negara, Penggerak Agenda Pengantarabangsaan Mahasiswa, Memperkukuhkan Kualiti Kebolehpasaran Graduan, Membentuk Kelestarian Kewangan Berintegriti, Model Mahasiswa Holistik Melalui Tadbir Urus, dan Mengutamakan Nilai Kebajikan Secara Holistik. Landasan ini bakal direalisasikan melalui tujuh inisiatif strategik MPPK.

Turut diadakan dalam program ini adalah pembentangan kabinet Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) yang bakal diterajui oleh 13 Majlis Tertinggi dan tujuh Majlis Eksekutif. Setiap majlis ini memainkan peranan penting dalam memastikan keberkesanan hala tuju dan inisiatif MPPK sepanjang sesi. Tujuh Majlis Eksekutif yang diperkenalkan ialah Eksekutif Akademik dan Kebolehpasaran Graduan, Eksekutif Kebajikan dan Pembangunan Warga Minoriti, Eksekutif Pengantarabangsaan dan Isu Semasa, Eksekutif Media dan Komunikasi Korporat, Eksekutif Governan, Etika dan Perundangan, Eksekutif Keusahawanan dan Pemasaran Digital serta Eksekutif Pemerkasaan Bakat dan Literasi Mahasiswa.
Selain itu, pemilihan wakil bagi kerusi politeknik dan kolej komuniti dalam MPPK turut dilaksanakan bagi memastikan keterangkuman serta kepelbagaian suara mahasiswa dalam setiap perbincangan di peringkat nasional.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif utama sesi kali ini, MPPK akan melaksanakan Jelajah Transformasi MPPK ke setiap zon di Malaysia. Program ini bertujuan memperkukuh hubungan antara kepimpinan mahasiswa di peringkat nasional dan akar umbi, selain mendapatkan maklum balas secara langsung mengenai isu-isu yang dihadapi pelajar di setiap institusi. Jelajah ini akan merangkumi sesi libat urus, forum interaktif, serta bengkel kepimpinan bagi memastikan setiap suara mahasiswa didengar dan diterjemahkan ke dalam dasar yang lebih inklusif serta relevan dengan keperluan semasa.

Dalam memastikan hala tuju ini dapat dilaksanakan dengan berkesan, sesi libat urus bersama Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), YBrs. Prof. Dr. Azlinda Azman turut diadakan. Perbincangan ini membuka ruang bagi beliau menyampaikan harapan kepada kepimpinan MPPK sesi kali ini. Selain itu, MPPK turut mengadakan Kunjungan Hormat kepada Setiausaha Politik kepada YB Menteri Pendidikan Tinggi, Encik Akmal Zharif Ahmad Kamal sebagai langkah memperkukuh hala tuju yang telah ditetapkan.

Dengan hala tuju yang jelas serta penglibatan aktif bersama pihak kementerian, MPPK berazam untuk menjadi platform yang lebih efektif dalam merencana inisiatif serta memastikan dasar-dasar yang diperjuangkan dapat memberi manfaat menyeluruh kepada institusi pendidikan tinggi di seluruh negara.