JOHOR BAHRU, 13 Mac – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh peranannya sebagai institusi penyelidikan dan inovasi terkemuka menerusi Amanat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) bagi tahun 2025. Dalam amanat yang disampaikan oleh Prof. Dr. Rosli Md Illias di Dewan Sultan Iskandar, beliau menekankan kepentingan keilmuan yang bersifat holistik dan sistemik berdasarkan konsep integrasi ilmu dalam menghadapi cabaran global dan memperkukuh kedudukan UTM untuk mencapai pencapaian lebih gemilang menjelang 2030.

Dalam ucapannya, Prof. Dr. Rosli mengimbau kejayaan UTM dalam mengekalkan kedudukan pertama dalam penilaian Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA) selama empat tahun berturut-turut, memperoleh 6 Bintang dalam penarafan MyRA, serta menduduki tempat pertama dalam penyelidikan Inter-Disciplinary di Malaysia. Kejayaan ini dicapai menerusi kerjasama erat antara akademia, staf PPP, pentadbir, pegawai penyelidik, jurutera, dan juruteknik UTM. Namun, beliau menegaskan bahawa, “Impak yang dibawa kepada masyarakat dan kesejahteraan adalah lebih penting daripada sekadar mengejar kedudukan atau penarafan.”
Menurut beliau, universiti perlu terus berperanan dalam penghasilan dan penyebaran ilmu yang mampu memperkasa masyarakat dan negara. Justeru, aspek penyelidikan di UTM perlu bergerak daripada “manufacturing-based economy” kepada “innovation-based economy” bagi melahirkan masyarakat berilmu atau ‘knowledge society‘.

Tahun 2025 dilihat sebagai tahun penting untuk memastikan UTM kekal relevan dan unggul. Antara cabaran yang perlu dihadapi termasuklah isu pendanaan yang semakin meruncing.
Pihak Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) (JTNCPI) juga tekad berusaha untuk memastikan sumber dan penggunaan kewangan disalurkan secara optimum kepada para penyelidik dan pengurus. Kerjasama dengan Pejabat Bendahari turut diperkasa agar dana seperti Biasiswa Nexus Young Researcher (NYR) dapat disediakan untuk membantu para akademik memperoleh pelajar pascasiswazah meskipun dalam keadaan dana yang terhad.
Dalam masa yang sama, usaha bagi memastikan penyelidikan UTM kekal relevan dan memberi impak kepada pembangunan negara dan masyarakat turut digariskan menerusi beberapa Teras Strategik. Antaranya ialah Pembangunan Kapasiti Sosial dan Kecemerlangan Bakat melalui konsep ‘kilang bakat’ atau ‘Talent Factory’ untuk melahirkan pakar bidang yang kompeten. Inovasi sistemik dan ekosistem keusahawanan turut ditekankan bagi menghasilkan penyelidikan yang bersifat holistik dan berimpak mampan.
Transformasi digital juga diberi penekanan dengan penerapan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT), dan dataraya bagi memperkasa pengurusan penyelidikan dan inovasi. Selain itu, penekanan turut diberikan kepada penyelidikan multi-disiplinari dan inter-disiplinari untuk memastikan UTM kekal kompetitif di peringkat nasional dan global.
Dalam usaha memperkukuh kerjasama dengan industri dan institusi antarabangsa, JTNCPI turut memperkenal beberapa inisiatif seperti ‘Industry Synergy Squad (ISS) Framework’ atau CONNECT yang bertujuan memperkasa kerjasama pintar bersama industri. Dana khas turut disediakan bagi menyokong projek penyelidikan rentas negara serta program sangkutan staf dan pelajar di institusi serta makmal penyelidikan.
Prof. Dr. Rosli menegaskan bahawa, “Pendekatan kita perlulah bersifat holistik atau sistemik berdasarkan konsep integrasi ilmu yang dapat menyelesaikan isu-isu atau agenda utama yang bersifat lokal tetapi memberi impak di peringkat global.” Beliau juga menekankan bahawa warga UTM bukan sahaja perlu menjuarai penyelidikan sains dan teknologi, tetapi juga aspek kemanusiaan yang mampu memberi makna sebenar kepada kemajuan sains dan teknologi itu sendiri.

Amanat ini memberikan gambaran jelas tentang peranan, visi dan misi penyelidikan UTM ke arah 2030 iaitu kepintaran, kemampanan dan integrasi ilmu dengan menyediakan dasar penyelidikan Inter atau multi-disipinari dan keilmuan holistik bagi melahirkan masyarakat atau komuniti yang mampan, pintar dan mempunyai kecemerlangan ilmu.

