Tidak siapa mengetahui bila detik akhir sesebuah kehidupan, namun semua manusia mengakui bahawa kematian pasti akan datang. Tidak ada manusia yang dapat menolak dan menghentikan apabila saat yang ditakdirkan untuk ‘pulang’ tiba, tanpa dikurangkan ataupun dilebihkan walaupun sesaat. Setiap hari berlaku kematian dan ia boleh terjadi sama ada disebabkan oleh sakit atau tanpa apa-apa sebab. Kematian tidak mengenal usia dan ia boleh berlaku kepada mereka yang berusia lanjut, begitu juga kepada bayi dan remaja.
Apabila seseorang telah meninggal dunia, dia tidak lagi mampu hidup semula dan meneruskan apa yang dikerjakannya. Kematian adalah garisan penamat yang menjadi batas pemisah daripada kehidupan dunia. Apabila seseorang sudah meninggal dunia, dia akan dimasukkan ke alam yang berbeza yang dikenali sebagai alam barzakh. Kematian menyebabkan seseorang tidak boleh lagi melakukan amal ibadah, sebaliknya dia hanya mendapat balasan daripada apa yang dia pernah amalkan semasa kehidupan di dunia dahulu. Seandainya banyak kebaikan, dia akan mendapat layanan yang baik. Sebaliknya, jika banyak melakukan maksiat, dia akan dikenakan azab seksa dan layanan yang buruk.
Lalu Allah SWT yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang memberikan peluang untuk manusia menebus kesalahannya dengan melakukan amal soleh supaya mereka akan diberikan ganjaran dan layanan yang baik serta dilindungi daripada azab seksa di alam kubur. Kasih sayang Allah SWT melebihi kemurkaan dan Allah SWT sentiasa menanti-nanti manusia untuk bertaubat dan kembali semula kepada-Nya. Bahkan, Allah SWT sentiasa memberikan kemaafan dan keampunan kepada manusia walaupun dosanya seluas lautan.
Nabi Muhammad SAW ada menceritakan kisah seorang wanita penzina yang diberikan keampunan oleh Allah SWT dengan sebab wanita tersebut menyelamatkan seekor anjing yang kehausan dengan memberikannya air minuman. Melihat kepada dosa zina yang dilakukan, pastilah ia mengundang kemurkaan Allah SWT. Begitu juga jika dinilai kepada segelas air, ia amatlah sedikit. Apatah lagi yang dibantu hanyalah seekor anjing yang disifatkan sebagai haiwan yang najis. Apakah ukuran yang boleh dijadikan sebagai nilai positif dan negatif yang menjadi penebus dosanya? Oleh itu, sekali lagi ditekankan bahawa kasih sayang Allah SWT mengatasi kemurkaan-Nya. Sesungguhnya rahmat Allah SWT itu amatlah luas, walaupun kepada seorang yang melakukan dosa besar.
Bulan Ramadan menjadi penebus dosa dan rahmat Allah SWT amatlah luas di bulan yang mulia ini. Bahkan Rasulullah SAW menyebutkan dalam banyak hadis baginda bahawa apabila tiba bulan Ramadan pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup. Pada bulan Ramadan juga syaitan dan jin yang jahat dipenjarakan dan mereka tidak boleh mengganggu manusia. Bulan Ramadan juga pada awalnya Rahmat, pertengahannya Keampunan dan di akhirnya Pembebasan daripada neraka.
Selain itu, Allah SWT mengurniakan ganjaran berlipat kali ganda sehingga ke tahap yang tidak boleh dikira kepada orang yang berbuat kebaikan di bulan Ramadan. Pada kebiasaannya setiap amal perbuatan yang baik akan dibalas dengan 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 261. Begitu juga terdapat hadis yang sahih riwayat Muslim bahawa setiap amalan manusia akan digandakan pahalanya daripada 10 kali ganda sehingga kepada 700 kali ganda. Sebaliknya amalan puasa adalah melebihi daripada had tersebut. Ini kerana apabila seseorang berpuasa dia menegah dirinya daripada melakukan perbuatan makan dan minum serta menahan nafsu syahwatnya selama lebih daripada 12 jam. Walhal ketika bersendirian dia boleh sahaja untuk makan, minum serta berseronok melempiaskan keinginannya tanpa diketahui oleh orang lain. Sebaliknya dia tidak melakukan perbuatan tersebut kerana dia tahu jika dia berbuat demikian, puasanya menjadi batal dan dia wajib menggantikannya.
Allah SWT juga memberikan tawaran yang terpaling hebat kepada manusia untuk direbut dalam bulan Ramadan ini, iaitu peluang mendapat ganjaran seumur hidup atau dikenali sebagai Lailatul Qadar. Sesiapa yang melakukan amal kebaikan pada malam tersebut dia akan mendapat ganjaran pahala yang lebih baik daripada dia beramal selama lebih daripada 83 tahun.
Tawaran paling hebat ini yang diberikan Allah SWT kepada manusia sepatutnya diambil dan tidak dibiarkan berlalu begitu sahaja. Tawaran terpaling istimewa ini hanya diberikan pada masa yang tertentu, iaitu di bulan Ramadan. Amatlah rugi sekiranya manusia mampu untuk merebutnya tetapi dia terlepas. Di sini dikongsikan lima tips yang boleh dilakukan untuk mendapatkan Lailatul Qadar.
Pertama, bersedekah pada setiap malam walaupun hanya serendah RM1. Dengan cara melakukan sedekah yang ikhlas dengan niat untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT, ia membolehkan seseorang mendapatkan kelebihan beramal di bulan Ramadan dan berpeluang untuk mendapatkan Lailatul Qadar.
Kedua, membaca Al-Qur’an pada setiap malam walaupun beberapa halaman. Ini kerana amalan yang amat disukai Allah SWT adalah yang dilakukan secara berterusan atau istiqamah walaupun sedikit. Al-Qur’an adalah kalam Allah, surat kiriman daripada Allah kepada manusia untuk dibaca. Allah SWT menjanjikan ganjaran yang amat besar kepada orang yang berterusan membaca Al-Qur’an dengan dibalas bagi setiap huruf yang dibacanya 10 kali ganda pahala dan dia kelak mendapat syafaat Al-Qur’an.
Ketiga, membaca doa pada setiap malam dengan doa yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW iaitu “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Mulia, dan Engkau suka memberikan keampunan, maka ampunilah daku”. Selain itu, kita disarankan untuk bermunajat dan meminta kepada Allah SWT agar dimakbulkan segala hajat samada kehidupan dunia atau akhirat seperti mendapat jodoh yang baik, keluarga yang bahagia, berjaya dalam perniagaan, dinaikkan pangkat, dan dikurniakan rezeki kekayaan menjadi jutawan. Juga bahagia di dunia dan di akhirat serta diselamatkan daripada azab neraka.
Keempat, solat berjemaah waktu Isyak dan subuh. Ini kerana apabila seseorang solat berjemaah pada waktu Isyak dia seperti menghidupkan separuh malam dan apabila dia solat Isyak dan subuh berjemaah dia seperti menghidupkan seluruh malam. Usah meninggalkan solat tarawih kerana ia hanya ada di bulan Ramadan.
Kelima, menghidupkan malam dengan beribadah. Tidak menghabiskan waktu dengan menonton TV atau bermain permainan video atau melayari media sosial yang tidak boleh meningkatkan keimanan seseorang. Khususnya pada 10 malam terakhir, seseorang disarankan untuk melakukan iktikaf di masjid atau datang awal sebelum masuknya waktu subuh.
Seandainya kita tahu ini merupakan Ramadan yang terakhir, pastilah kita tidak akan melepaskan peluang yang terpaling istimewa ini untuk mendapatkan keampunan daripada Allah SWT dan mendapat ganjaran pahala berlipat kali ganda. Bayangkan anda berada dalam situasi yang dimaklumkan oleh doktor bahawa anda ada 1 bulan sahaja lagi untuk hidup. Pastinya anda akan segera bertaubat dengan sehabis baik. Anda juga akan memohon kemaafan kepada semua orang terutama kepada orang yang pernah anda lakukan kesalahan. Anda juga akan membayar hutang dan memastikan tidak ada lagi hutang yang lain. Anda juga pastinya akan memadam gambar atau video yang tidak elok di dalam telefon, laptop atau komputer anda. Pastinya juga anda akan memberikan sedekah dan berwakaf dengan harta yang ada agar ia menjadi pelaburan yang kekal abadi hingga ke akhirat.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Munafiqun ayat 10, maksudnya: “Dan berilah infaq sebahagian daripada apa yang telah Kami berikan kepada kamu sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu; lalu dia berkata; “Wahai Tuhanku, sekiranya Engkau menunda (kematian)ku sedikit waktu lagi, maka aku akan dapat bersedekah dan aku akan termasuk orang-orang yang soleh.”
Firman Allah SWT lagi dalam surah Al-Mukminun ayat 99 pula, bermaksud: “Sehinggalah apabila datangnya kematian, dia berkata: Wahai Tuhanku, kembalikan aku ke dunia.”
Dalam hal ini Nabi Muhammad SAW ada bersabda maksudnya: “Ketika datangnya kematian kepada seseorang, akan terbayanglah semua perkara yang pernah dia tinggalkan (atau tidak lakukan sedangkan sepatutnya dia laksanakan). Maka ketika itu dia berkata: Wahai Tuhanku, kembalikan aku ke dunia agar aku boleh melakukan amal soleh yang pernah aku tinggalkan.”
Semoga catatan ringkas ini dapat menjadi pengajaran kepada semua untuk meningkatkan usaha bagi melakukan kebaikan agar tidak mensia-siakan peluang yang ada di bulan Ramadan yang mulia lagi diberkati.
Prof. Madya Dr. Ahmad bin Che Yaacob merupakan Pengarah Pusat Islam UTM dan juga pensyarah di Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan.