Mac 26, 2025

Insertion gambar Dr Fa'iz

Setiap kali menjelang musim perayaan, dentuman mercun seolah-olah menjadi ‘irama’ yang tidak asing lagi di kebanyakan kawasan kediaman tidak kiralah di desa mahupun di kota. Mana-mana perayaan sekalipun aktiviti bermain mercun dilihat menjadi acara wajib dalam kalangan Masyarakat kita. Ada yang berpendapat, mercun adalah simbol kegembiraan dan kemeriahan, tetapi bagi segelintir yang lain, kegembiraan yang dirasai pada awalnya bertukar tragis dan membahayakan. Tidak dinafikan, mercun mempunyai daya tarikan tersendiri, tetapi adakah ia berbaloi dengan risiko yang bakal ditanggung?

Antara Keseronokan dan Bahaya

Mercun bukanlah alat hiburan biasa sepertimana alat permainan yang lain. Meskipun indah dipandang mata, mercun sebenarnya merupakan bahan letupan berkuasa rendah yang mampu mendatangkan kecederaan. Menurut laporan perubatan, kebanyakan mangsa mercun mengalami kecederaan melecur teruk, kehilangan jari, bahkan kecacatan kekal akibat letupan yang tidak terkawal. Selain kecederaan fizikal, mercun juga memberi kesan kepada persekitaran melalui pencemaran bunyi dan udara, yang boleh menjejaskan kesihatan manusia serta haiwan peliharaan.

Pengarah Pejabat Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHE) UTM, Dr. Mohd Fa’iz Ahmad, menegaskan banyak kes kecederaan berlaku akibat mercun buatan sendiri yang lebih berbahaya berbanding mercun yang dikawal penghasilan dan penggunaannya. Mercun buatan sendiri, seperti mercun paip, mercun palam pencucuh, meriam buluh misalnya, amat merbahaya dan boleh mengancam nyawa orang ramai.

Walau bagaimanapun, mercun sedia ada di pasaran masih lagi berisiko mendatangkan kecederaan sekiranya pengguna membuat pengubahsuaian sendiri tanpa mengetahui kesannnya. Pengubahsuaian seperti ini mampu untuk menghasilkan letupan yang tidak terkawal dan amat merbahaya.

“Mercun bola misalnya amat menarik kerana berwarna-warni dan diperbuat daripada plastik. Ia juga berbentuk bulat serta mempunyai sumbu berukuran 1-2 inci. Bentuknya yang menarik perhatian itulah sebenarnya amat berbahaya kerana ia dibalut plastik berbanding mercun biasa yang dibalut kertas. Plastik ini berisiko untuk bertindak sebagai peluru hidup atau menjadi serpihan kecil atau serpihan besar ketika meletup yang boleh mendatangkan kecederaan serius kepada anggota badan,” ujarnya.

Kandungan Kimia dalam Mercun

Mercun terdiri daripada pelbagai bahan kimia yang menghasilkan letupan dan warna ketika dibakar. Menurut Dr. Mohd Fa’iz, mercun yang berada di pasaran sekarang berkemungkinan besar mempunyai gabungan bahan kimia yang berbeza antaranya kalium nitrat, barium klorat, arsenik, strontium nitrat, kalium perklorat, kuprum oksida, natrium bikarbonat, karbon, sulfur, perklorat dan aluminium.

“Salah satu bahan utama dalam mercun ialah kalium nitrat yang bertindak sebagai agen pengoksida untuk membantu pembakaran berlaku dengan lebih cepat. Selain itu, mercun turut mengandungi serbuk peledak yang terdiri daripada karbon, nitrogen, dan sulfur, yang membantu menghasilkan gas bagi mencetuskan letupan. Aluminium dan magnesium pula digunakan untuk menghasilkan percikan api yang terang serta meningkatkan suhu letupan, manakala strontium karbonat dan barium nitrat bertanggungjawab menyumbang kepada warna merah dan hijau dalam percikan mercun selain kuprum klorida pula memberikan kesan cahaya biru yang menarik,” tambah beliau.

Walaupun kesan visual mercun sangat menarik, bahan-bahan kimia ini tanpa disedari boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan manusia. Asap yang terhasil daripada pembakaran mercun boleh menyebabkan iritasi saluran pernafasan, batuk, dan sesak nafas, terutama bagi individu yang menghidap asma atau penyakit paru-paru kronik.

Mercun Lebih daripada Sekadar Letupan

Selain risiko kecederaan langsung, mercun juga boleh menyebabkan masalah kesihatan jangka panjang. Menurut Dr. Mohd Fa’iz, bahan kimia seperti klorat yang terdapat dalam mercun boleh menyebabkan pemecahan sel darah merah, merosakkan buah pinggang, dan mengakibatkan masalah pernafasan jika terhidu dalam jumlah yang tinggi. Pendedahan kepada bahan kimia ini juga boleh menyebabkan gejala seperti muntah, sakit perut, serta gangguan sistem saraf.

“Keracunan sulfur melalui sedutan pula boleh menyebabkan beberapa gejala iritasi khususnya melalui salur pernafasan. Menyedut serbuk sulfur boleh menyebabkan kesukaran bernafas, batuk, rasa terbakar dan sakit dada. Jika terkena kepada kulit pula, ia boleh mendatangkan kerengsaan dan rasa tidak selesa kepada sesetengah individu,” ujarnya.

Featured Image NewsHub Dr Fa'iz

Mercun bukan sahaja berbahaya kepada manusia tetapi juga kepada alam sekitar. Pencemaran udara akibat pembakaran bahan kimia dalam mercun boleh menyumbang kepada perubahan iklim dan menjejaskan kualiti udara. Selain itu, pencemaran bunyi yang dihasilkan oleh letupan mercun boleh menyebabkan tekanan kepada manusia lebih-lebih lagi yang dimainkan dalam tempoh yang lama sehingga melebihi waktu tengah malam. Letupan mercun boleh dikategorikan sebagai gangguan kepada ketenteraman awam yang boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 13, Akta Kesalahan Kecil 1955 [Akta 336].

Dari aspek sosial pula, budaya bermain mercun juga boleh mengakibatkan kerugian besar, termasuk kebakaran rumah dan kehilangan nyawa. Setiap tahun, kes kebakaran akibat mercun direkodkan di seluruh negara, menyebabkan kerosakan harta benda yang bernilai tinggi dan mengancam keselamatan penduduk.

Alternatif Lebih Selamat: Keseronokan Tanpa Risiko

Bagi menggantikan mercun, terdapat beberapa alternatif yang lebih selamat dan mesra alam. Salah satu alternatif terbaik ialah penggunaan lampu LED berwarna-warni yang mampu mencipta kesan visual menarik tanpa risiko letupan atau kecederaan. Selain itu, pertunjukan dron yang dilengkapi dengan lampu LED turut menjadi pilihan yang lebih moden dan selamat kerana ia boleh menghasilkan cahaya yang menakjubkan dengan pelbagai bentuk yang menarik di langit tanpa mendatangkan risiko kebakaran atau kecederaan.

Tambah Dr. Mohd Fa’iz, “Alternatif lain termasuk pertunjukan cahaya dan video yang menggunakan teknologi projektor untuk mencipta kesan visual yang memukau tanpa menghasilkan pencemaran udara juga boleh dipraktikkan. Beberapa syarikat kini juga sedang membangunkan mercun tanpa bahan letupan yang hanya menghasilkan cahaya dan bunyi yang dikawal, menjadikannya lebih selamat untuk digunakan dalam pelbagai acara perayaan.”

Kesedaran dan Kawalan Kunci Utama

Budaya bermain mercun masih sukar dibendung, tetapi dengan kesedaran dan penguatkuasaan yang lebih ketat, kemalangan dan kecederaan akibat mercun dapat dikurangkan. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak mengenai bahaya mercun, manakala pihak berkuasa perlu memperketatkan undang-undang terhadap penyeludupan dan penjualan mercun secara haram, termasuklah pengehadan tempoh bermain bunga api bagi kesemua perayaan.

“Kawalan terhadap mercun ini perlu mengambil kira semua aspek termasuk keselamatan pengguna. Jika tidak diharamkan penggunaannya, maka langkah kawalan ketat seperti membenarkan penggunaan hanya kepada profesional berlesen serta mengehadkan penggunaan mercun pada masa tertentu adalah langkah yang wajar untuk memastikan keselamatan dan mengurangkan risiko kemalangan. Setiap mercun yang dibawa masuk ke dalam negara haruslah mempunyai Safety Data Sheet (Helaian Data Keselamatan) yang lengkap untuk penilaian tahap risiko serta dapat dirujuk dalam pemberian rawatan jika berlaku keracunan,” ujar Dr. Mohd Fa’iz.

Sebagai masyarakat yang prihatin, kita harus mencari alternatif yang lebih selamat untuk meraikan sesuatu perayaan tanpa mengorbankan keselamatan diri dan orang lain. Keseronokan tidak seharusnya dibayar dengan nyawa. Mungkin sudah tiba masanya kita memikirkan semula sejauh mana pentingnya mercun dalam memeriahkan sesebuah sambutan. Adakah ia benar-benar berbaloi dengan segala risiko yang dibawa, atau mencari alternatif yang lebih selamat tetapi masih dapat mengekalkan keseronokan. Tepuk dada, tanyalah jiwa.

Explore More