JOHOR BAHRU, 10 Feb – Zakat merupakan instrumen penting dalam memastikan kesejahteraan ummah, khususnya dalam membantu golongan asnaf yang memerlukan. Di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), pengurusan zakat dilaksanakan dengan penuh amanah dan tanggungjawab melalui peranan Zakat UTM sebagai Amil Institusi yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Setiap tahun, usaha kutipan dan agihan zakat terus diperkasakan bagi memberi manfaat kepada warga UTM, terutamanya para pelajar yang berada dalam kategori memerlukan.
Sebagai bukti ketelusan dan komitmen dalam menguruskan zakat, Zakat UTM mempersembahkan laporan kutipan dan agihan zakat bagi tahun 2024. Kutipan zakat melibatkan beberapa kategori utama, termasuk Potongan Zakat Berjadual (Skim Infaq) Zakat Pendapatan, Zakat Harta, Zakat Fitrah dan Wakalah Zakat.
Dalam Skim Infaq, kutipan zakat menyaksikan peningkatan kepada RM8,195,414.88 dengan jumlah pencarum seramai 2,678 orang staf, meningkat berbanding 2,631 orang pada tahun sebelumnya. Kesedaran dan keprihatinan warga UTM dalam melaksanakan tanggungjawab zakat terus meningkat, namun masih terdapat sekitar 2,298 staf yang belum mencarum melalui potongan gaji. Oleh itu, usaha berterusan akan dijalankan untuk memastikan lebih ramai staf menyertai skim ini.
Zakat Harta pula disediakan dengan kemudahan pembayaran secara tunai di Kaunter Zakat, Pusat Islam UTM, serta melalui platform UTM Smart sejak tahun 2022. Hasilnya, kutipan Zakat Harta meningkat kepada RM605,898.03 berbanding RM420,208.07 pada tahun sebelumnya dengan jumlah pembayar seramai 2,673 orang.
Pada bulan Ramadan, Zakat UTM melaksanakan program jelajah Pusat Tanggungjawab (PTJ) sebagai inisiatif memudahkan warga UTM menunaikan zakat fitrah. Jumlah pencarum adalah seramai 4,281 orang dengan kutipan zakat sebanyak RM42,815.
![jelajah zakat](https://news.utm.my/wp-content/uploads/2025/02/jelajah-zakat.jpeg)
Bagi kategori terakhir iaitu, Wakalah Zakat yang bermaksud sesebuah agensi mewakilkan pulangan zakat mereka untuk diagihkan kepada sesebuah institusi yang lain, telah berjaya mengumpulkan sebanyak RM590,000 daripada 3 agensi berpengaruh di Malaysia iaitu RM350,000 (Tabung Haji Malaysia), RM200,000 (Etiqa Takaful Berhad) dan Maybank Islamic Berhad sebanyak RM40,000. Sebahagian besar dana ini telah diagihkan kepada pelajar yang berkelayakan dalam bentuk bantuan sara diri dan yuran pengajian.
![SERAHAN PROGRAM IQRA TABUNG HAJI](https://news.utm.my/wp-content/uploads/2025/02/WhatsApp-Image-2025-01-23-at-3.36.22-PM-1024x683.jpeg)
Sebagai maklumat tambahan kepada warga Universiti, hanya kategori Skim Infaq sahaja yang dipersetujui dan diperakui dalam perjanjian bersama MAINJ yang boleh diperolehi semula oleh UTM sebanyak 31.25% meliputi 5 asnaf iaitu, Amil, Fakir, Miskin, Gharim serta Fi Sabilillah, manakala Zakat Harta dan Fitrah hanya dipulangkan bahagian Amil sahaja sebagai upah menjalankan tugas kutipan.
Zakat UTM merakamkan penghargaan kepada seluruh warga universiti yang telah menunaikan tanggungjawab zakat mereka. Diharapkan sumbangan ini terus berkembang dan memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan. Semoga keberkatan zakat ini membawa kemakmuran kepada kehidupan dunia dan akhirat. Dengan kesedaran yang semakin meningkat, diharapkan lebih ramai warga UTM akan turut serta dalam menyumbang kepada tabung zakat bagi memastikan kebajikan pelajar dan komuniti terus terjaga. Zakat bukan sekadar kewajipan, tetapi satu bentuk solidariti ummah dalam memastikan kesejahteraan bersama.