Februari 8, 2025

Featured Image NewsHub

Wibawa akademik tonggak kecemerlangan Universiti

Majlis perutusan sulung Yang Berusaha Profesor Dr Mohd Shafry Abd Rahim, Naib Canselor UTM ke 8 telah menggariskan perkara penting kepada semua warga khususnya buat warga akademik. Dalam perutusan sulung kali ini yang bertemakan “Memperkukuh Kewibawaan Institusi”, Profesor Shafry telah menumpukan kepada lima (5) fokus utama iaitu, institusi kepemimpinan Naib Canselor, menyubur Jiwa UTM, memperteguh kepercayaan institusi, menyempurnakan enVision UTM 2025 dan memperkuat budaya hikmah dan sejahtera. Justeru, Persatuan Kakitangan Akademik (PKA) UTM terpanggil untuk memberikan komentar terhadap perutusan sulung ini yang terkait langsung dengan semua warga akademik.

Fungsi dan Peranan Akademik

Antara fungsi utama sebuah universiti adalah untuk memajukan dan menyebarkan ilmu pengetahuan untuk kemajuan dan kesejahteraan umat seluruhnya. Dalam konteks ini, peranan semua staf akademik amat-amat diperlukan sebagai tulang belakang dalam memajukan universiti, bangsa dan negara. Ilmu pengetahuan adalah anugerah dan amanah yang perlu dijaga dan dipelihara sesuai dengan semua tuntutannya seperti diwacanakan, dibahas serta ditempatkan di tempat yang selayaknya. Para penuntut, pencinta, serta orang yang dekat dengan ilmu pengetahuan seharusnya orang yang dapat manfaat secara langsung daripada buah-buah ilmu berkenaan dengan terzahir adab luhur serta budi pekerti yang santun. Para guru, naqib, serta pensyarah dihormati sesuai dengan tuntutan agama dan adat budaya ketimuran yang ramah dan mesra.

Jiwa Pendidik

Setiap staf akademik UTM perlu menghayati falsafah serta berperanan menjadi suri teladan dalam mengamalkan jiwa pendidik UTM. Para pensyarah juga seharusnya menjadi sumber inspirasi kepada pelajar untuk membangunkan jiwa UTM yang menjadi kekuatan dalaman kita semua. Warga akademik perlu terapkan jiwa UTM dalam semua sudut termasuk dalam usaha meneroka ilmu pengetahuan. Jiwa UTM yang berasaskan nilai integriti, sinergi, kecemerlangan dan kelestarian (ISES) perlu diperkukuh dan diperkuat serta diinstitusikan. Perkara ini amat penting kerana para akademik ada sumbangan yang amat besar dalam menjadikan persekitaran yang kondusif dalam pengajaran dan pembelajaran di universiti. Naib Canselor juga mengarahkan supaya adab juga telah dijadikan sebagai teras dalam urus tadbir dalam UTM khususnya yang melibatkan akademik. Semangat kerja berpasukan juga dijadikan budaya di samping sikap tolong menolong dalam kebaikan perlu diserapkan di seluruh universiti.

Perkasakan kepercayaan

UTM menjadi harapan untuk menerajui transformasi negara yang berasaskan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) dengan tertubuhnya fakulti pertama dalam kecerdasan buatan di Malaysia. Atas dasar kepercayaan dan sumbangan UTM ini, semua pemegang taruh meletakkan harapan yang tinggi agar semua perkara penting dan strategik dalam pembangunan negara dapat dilaksanakan oleh pasukan UTM. Untuk itu, Naib Canselor menyeru semua pusat tanggungjawab dan para akademik perlu perkukuhkan lagi kepercayaan ini dan bukannya dirobek dengan satu dua peristiwa negatif bah kata pepatah kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Kepercayaan ini juga menjadi asas penting dalam menarik lebih banyak lagi geran-geran penyelidikan masuk ke universiti, pelajar pascasiswazah serta rakan-rakan strategik yang mana ia dapat meningkatkan reputasi universiti di persada lokal dan antarabangsa. Kepercayaan terhadap sistem yang dibangunkan juga perlu diperkasakan supaya pelaksanaan kerja rutin seharian dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Kewibawaan Akademik

Dalam ucapan ini juga, Naib Canselor telah mengatakan, UTM mempunyai pakar-pakar bidang yang sedang menerajui ilmu pengetahuan sama ada di peringkat negara mahupun antarabangsa. Kewibawaan ilmu pengetahuan staf akademik UTM terzahir dengan lebih 50 orang Top 2% Scientist terdiri daripada warga akademik UTM. Kesohoran serta kesarjanaan ini harus diperkukuh dan digabung jalin sistem sokongan yang baik serta dengan adab yang tinggi adalah kunci penting dalam memacu kecemerlangan UTM pada masa hadapan.

Budaya hikmah dalam akademik juga perlu diperteguh selari dengan moto UTM “Kerana Tuhan Untuk Manusia”. Semua warga akademik disarankan untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan sejahtera, kerana akal yang sihat berpunca daripada badan yang sihat. Di samping kewibawaan warga akademik yang kita julang, ia juga perlu diselarikan dengan isu kebajikan dan kenaikan pangkat warga akademik sepertimana yang telah digariskan oleh Yang Berhomat Menteri Kementerian Pendidikan Tinggi pada 9 Januari 2025 dalam amanat tahun 2025 beliau. Beban tugas akademik, kebebasan akademik serta fleksibiliti dalam kerja seharian juga harus diambil perhatian dapat diselarikan dengan wibawa akademik.

PKA berharap agar semua yang dihasratkan oleh Naib Canselor UTM dapat dilaksanakan dan disokong oleh semua pihak terutama warga akademik. Kewibawaan akademik, adab orang berilmu serta hikmah buah ilmu pengetahuan adalah kunci penting untuk menjadikan UTM terus unggul seperti lagu keramat UTM “keunggulan terbilang”. Ayuh semua warga akademik kita menyumbang ke arah kecemerlangan universiti dengan berbuat sebaik mungkin untuk semua “tujuh (7) P” yang diamanahkan kepada kita dalam memajukan dan menyebarkan ilmu pengetahuan.

 

Penulis yang juga merupakan Profesor Madya bidang Fizik di Fakulti Sains UTM ialah Yang Dipertua Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta Pengetua Kolej 9&10.

Explore More