Februari 14, 2025

PXL

UTM perkukuh keterlihatan global melalui inovasi dan kerjasama strategik

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh kesohoran dan keterlihatan globalnya melalui pelbagai strategi inovasi dan kerjasama antarabangsa. Kejayaan ini dibincangkan secara mendalam dalam bual bicara program Selamat Pagi Malaysia di RTM pada 11 Februari 2025, dalam topik ‘Kesohoran dan Keterlihatan Global : Strategi Inovasi Malaysia dalam Memacu Pendidikan Tinggi’, yang menampilkan Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim dan Pengarah UTM International merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengarah Antarabangsa (JKPA), Prof. Madya Dr. Mohd Ariffin Abu Hassan. Mereka berkongsi langkah-langkah strategik yang diambil bagi memastikan sistem pendidikan tinggi Malaysia terus berkembang ke peringkat antarabangsa.

Menurut Prof. Dr. Mohd Shafry, agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi bukan sahaja penting dalam meningkatkan reputasi Malaysia sebagai hab pendidikan global, tetapi juga berperanan dalam memperkukuh keyakinan dunia terhadap sistem pendidikan negara. “Komitmen YAB Perdana Menteri Malaysia terhadap sektor pendidikan tinggi jelas dapat dilihat melalui peningkatan peruntukan dalam Belanjawan 2025, sekali gus mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan akademik,” ujarnya.

Beliau turut memuji usaha YB Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Zambry Abdul Kadir, yang mempunyai wawasan jelas dalam memperkasakan keterlihatan institusi pengajian tinggi Malaysia di peringkat antarabangsa. “Pengalaman luas YB Menteri sebagai bekas Menteri Luar membolehkan beliau membina hubungan diplomasi yang kukuh dengan negara luar, sekali gus membuka peluang besar kepada institusi pendidikan tinggi tempatan untuk menjalin kerjasama strategik di peringkat global,” tambahnya.

Dalam menjayakan agenda ini, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Institut Pengajian Tinggi (IPT). Sebagai contoh, Forum pertama bersama kerajaan Uzbekistan, ucapan utama oleh Presiden Türkiye, serta kerjasama dengan Jepun dan Timur Tengah merupakan antara pencapaian signifikan dalam memperkukuh hubungan antarabangsa. Naib Canselor UTM menegaskan bahawa hubungan baik ini menjadi pemangkin kepada keterlihatan universiti di persada dunia.

Menyentuh mengenai tujuh fokus utama yang telah dibentangkan oleh YB Menteri Pendidikan Tinggi pada 9 Januari 2025 di UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry menekankan bahawa fokus keempat, iaitu pengantarabangsaan pendidikan tinggi, amat penting dalam membawa nama Malaysia ke pentas dunia. “Antara program utama yang akan dilaksanakan termasuk Pelancongan Pendidikan melalui inisiatif Asian International Mobility for Students (AIMS), Pendidikan Rentas Sempadan menerusi program kerjasama antarabangsa, program artikulasi dan penawaran program di luar negara, serta menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan ASEAN dalam penyelidikan, terutama dalam bidang strategik seperti Kecerdasan Buatan, Peralihan Tenaga dan Keselamatan Planet,” jelas beliau.

Sementara itu, Pengerusi JKPA, Prof. Madya Dr. Mohd Ariffin Abu Hassan, turut berkongsi peranan penting JKPA dalam merealisasikan inisiatif pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara. Menurutnya, terdapat tiga elemen utama yang menjadi teras dalam melaksanakan agenda ini. “Setiap inisiatif yang dijalankan oleh institusi pengajian tinggi, sama ada awam atau swasta, perlu sejajar dengan hala tuju yang telah ditetapkan oleh KPT. Di samping itu, konsep ‘Bring the World to Malaysia’ dan ‘Bring Malaysia to the World’ perlu diterapkan melalui aktiviti mobiliti pelajar, pertukaran staf akademik dan peningkatan keterlihatan universiti di pentas antarabangsa,” katanya. Konsep ‘One Education’ yang diperkenalkan oleh YB Menteri turut menjadi jenama utama dalam memperkukuh pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara. JKPA, yang dianggotai oleh 20 universiti awam serta Government Link Universities iaitu Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Multimedia University (MMU) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), bersama wakil dari Education Malaysia Global Services (EMGS) dan Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa (BHA) Kementerian Pendidikan Tinggi, bertanggungjawab dalam memastikan hala tuju ini diterjemahkan ke dalam pelaksanaan strategik secara kolektif.

JKPA turut mempunyai empat Kumpulan Kepentingan Khas (Special Interest Groups) yang memberi tumpuan kepada hubungan antarabangsa, mobiliti pelajar, pengambilan pelajar antarabangsa sepenuh masa, serta visa dan kebajikan pelajar. “Salah satu inisiatif utama yang digerakkan adalah Edutourism, di mana sebanyak 168 pakej Edutourism ditawarkan oleh IPT di seluruh negara. Selain itu, pendidikan rentas sempadan atau Transnational Education (TNE) juga diperkukuh melalui kerjasama dengan institusi luar negara,” tambah Prof. Madya Dr. Mohd Ariffin.

Beliau turut berkongsi pengalaman menghadiri mesyuarat NEO-ICP-ENFP 2025 (National Erasmus+ Offices-International Erasmus+ Contact Point-Erasmus+ National Focal Point) di Brussels baru-baru ini yang membincangkan bukan sahaja pendidikan rentas negara tetapi juga pendidikan rentas wilayah atau Trans-Regional Education. “Kita dapat melihat perkembangan pesat dalam usaha pengantarabangsaan ini, sebagai contoh, program Erasmus+ Malaysia, penubuhan Kampus UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) di Jakarta, UMPSA (Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah) sedang menjalinkan kerjasama dengan universiti dari Jerman dan Kazakhstan, manakala USM (Universiti Sains Malaysia) sedang membangunkan kampus luar negara,” jelas beliau.

Dengan pelbagai inisiatif dan strategi yang dirancang serta komitmen tinggi daripada semua pihak berkepentingan, Malaysia berada pada landasan tepat dalam mencapai matlamat sebagai hab pendidikan tinggi global. Usaha ini bukan sahaja akan memperkukuh keterlihatan universiti di peringkat antarabangsa, malah akan memberi manfaat jangka panjang kepada pembangunan ekonomi dan daya saing negara di persada dunia.

WhatsApp Image at ()
Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim dan Prof. Madya Dr. Mohd Ariffin Abu Hassan membincangkan tajuk Kesohoran dan Keterlihatan Global : Strategi Inovasi Malaysia dalam Memacu Pendidikan Tinggi

Oleh Su Zalpha Mohamed

Explore More