April 18, 2025

Gambar CSR Perasmian oleh wakil Jurutera Daerah JKR JB

JOHOR BAHRU, 26 Feb – Program Komuniti anjuran Kumpulan Penyelidikan Geoteknik (GRG), Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 22 Februari 2025 berjaya memberikan pendedahan kepada komuniti setempat mengenai kaedah mendeteksi rekahan bangunan menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan fotogrammetri bagi pemantauan berkala. Inisiatif ini bertujuan mengenal pasti tanda awal tanah runtuh di kawasan berisiko.

Gambar CSR Sri Pulai Perdana
Sebahagian komuniti Taman Sri Pulai Perdana, Skudai, Johor

Selain itu, program ini turut menekankan kesedaran terhadap fenomena tanah runtuh dan status cerun di kawasan tersebut. Penyelidik GRG telah menjalankan pemetaan tiga dimensi cerun berhampiran tangki air Syarikat Air Johor (SAJ), yang kemudian dianalisis oleh pakar cerun Malaysia, Prof. Azman Kassim dari FKA UTM. Prof. Azman, yang juga penganalisis kes tanah runtuh Batang Kali, Selangor, berkongsi pandangan mendalam mengenai risiko geoteknikal kawasan itu.

Wakil Ranhill SAJ, Mohd Fandi Basri, menyatakan bahawa pembentangan analisis cerun yang dikemukakan sangat membantu dalam pemantauan kegagalan cerun di sekitar tangki air SAJ serta meningkatkan kewaspadaan penduduk setempat.

Gambar CSR Perasmian oleh wakil Jurutera Daerah JKR JB
Perasmian program komuniti oleh wakil Jurutera Daerah JKR Johor Bahru

Program ini melibatkan pelbagai pihak dalam usaha kolaboratif membangunkan kesedaran serta teknologi pemantauan keselamatan infrastruktur. Antara organisasi yang terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Pulai Perdana, Masjid Sri Pulai Perdana, Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor Bahru, Ranhill SAJ Kulai, Pusat Geokejuruteraan Tropika (GEOTROPIK) UTM serta beberapa syarikat industri termasuk Photo Laser Grammetry Sdn. Bhd., Geo Latitude Sdn. Bhd., I Net Spatial Sdn. Bhd., AT Mapping Enterprise, dan Pasar Raya Econsave.

Salah satu aktiviti utama yang mendapat sambutan dalam program ini ialah ‘Hunt The Crack’, di mana pelajar SMK Sri Pulai Perdana berpeluang memetakan rekahan bangunan di kawasan sekolah mereka. Aktiviti ini bukan sahaja memberikan pengalaman pembelajaran secara interaktif, tetapi juga membantu pihak sekolah mengenal pasti potensi bahaya yang mungkin wujud dalam struktur bangunan mereka. Peserta program komuniti sangat teruja dengan aktiviti mencari rekahan di kawasan sekolah menggunakan aplikasi kecerdasan buatan pada telefon bimbit masing-masing, termasuk teknik fotogrammetri yang diajar dalam mengukur rekahan dalam ukuran sub-milimeter.

Menurut Ts. Azlan Ja’far, Jurutera Daerah JKR Johor Bahru, teknologi yang digunakan dalam aktiviti ini membolehkan pemantauan rekahan dilakukan dengan lebih efisien, pantas, dan kos efektif, sekali gus membantu dalam pengesanan awal sebarang ketidakstabilan struktur.

Program ini ditaja oleh Pusat Komuniti dan Jaringan Industri (CCIN) UTM dan telah memberi impak besar kepada masyarakat, khususnya penduduk yang tinggal berhampiran cerun tangki air Ranhill SAJ. Program ini membantu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pemantauan kendiri menggunakan ilmu yang diperoleh. Inisiatif ini turut memperkukuh peranan UTM sebagai pusat penyelidikan dan pemindahan ilmu kepada masyarakat, sejajar dengan slogan “UTM Sanjungan Bangsa.”

Sr Dr Ahmad Razali dan Sr Dr Ahmad Razali mengendalikan aktitivi 'Hunt The Crack'
Sr Dr Ahmad Razali Yusoff dan Sr Gs Ts Dr Mohd Radhie Mohd Salleh mengendalikan aktitivi ‘Hunt The Crack’
Sr Ts Dr Radzuan Saa'ri menunjukkan teknologi termaju Fakulti Kejuruteraan Awam UTM melalui pameran teknologi UTM
Sr Ts Dr Radzuan Saa’ri menunjukkan teknologi termaju Fakulti Kejuruteraan Awam UTM melalui pameran teknologi UTM

Menurut pengarah program, Sr Dr Ahmad Razali Yosoff, program komuniti ini mendapat sambutan baik daripada guru-guru dan pelajar SMK Sri Pulai Perdana serta sebahagian komuniti sekitar. Beliau berharap program sebegini dapat diperluas ke lebih banyak komuniti yang berisiko. Selain itu, pengetua sekolah berkenaan, Abd Aziz Mohamed, turut memuji usaha UTM dalam menjalankan program yang memberi manfaat kepada masyarakat, meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan infrastruktur serta membantu sekolah dalam memantau infrastruktur dan cerun sekolah.

Explore More