JOHOR BAHRU, 12 Feb – Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan The Institution of Fire Engineers (IFE) (UK) Malaysia Branch (IFEM) telah berlangsung sebagai tanda persetujuan dalam memperkukuh, mempromosi dan membangunkan inisiatif kerjasama antara kedua-dua pihak dalam bidang kejuruteraan kebakaran bagi tempoh lima tahun sehinga 2030.
Majlis yang diadakan di Bilik Mesyuarat Utama ini menyaksikan perjanjian ditandatangani oleh Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim dan Presiden IFEM, Ir. Lee Kong Fan serta disaksikan oleh delegasi daripada kedua-dua belah pihak.
![n](https://news.utm.my/wp-content/uploads/2025/02/476632237_1303735474472080_528979515102187433_n-1-1024x565.jpg)
Prof. Dr. Mohd Shafry merakamkan penghargaan kepada IFEM, khususnya kepada Presiden dan wakil-wakil yang hadir, yang menjadi simbolik dedikasi bersama dalam memajukan kecemerlangan akademik serta membuka peluang dalam penyelidikan, inovasi dan pendidikan berkaitan kejuruteraan kebakaran dan keselamatan.
Tambah beliau, IFEM telah memilih Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA), UTM sebagai rakan kerjasama utama dalam melaksanakan inisiatif ini, khususnya dari peringkat reka bentuk awal hingga pengurusan bencana, memastikan pembinaan tahan terhadap kebakaran. Fakulti ini juga dilengkapi dengan relau tertinggi, satu-satunya yang terdapat di universiti Malaysia, yang mampu menguji tiang pada pelbagai suhu piawai. Selain itu, Fakulti Kejuruteraan Awam turut menawarkan kursus Kejuruteraan Kebakaran Struktur (Structural Fire Engineering), memberikan peluang kepada pelajar untuk memperoleh pengetahuan teori dalam bidang ini.
![n](https://news.utm.my/wp-content/uploads/2025/02/476633203_1303736254472002_5314167942665752785_n-1024x768.jpg)
MoU yang ditandatangani ini memberi tumpuan kepada tiga skop kerjasama, iaitu kolaborasi dalam menjalankan projek penyelidikan atau program lain, pertukaran maklumat, teknologi, ahli fakulti, kakitangan dan pelajar antara kedua-dua pihak, serta kerjasama lain yang dipersetujui bersama.
Melalui kerjasama ini, UTM dan IFEM akan membuka lebih banyak peluang dalam pertukaran ilmu, penyelidikan bersama serta pembangunan staf akademik, teknikal dan profesional. Dengan menghubungkan akademia dan industri, kerjasama ini akan memacu penyelesaian inovatif dan menyeluruh dalam menangani cabaran keselamatan kebakaran yang semakin berkembang.
Beliau juga menekankan bahawa kerjasama ini akan menggabungkan sumber dan kepakaran kedua-dua pihak bagi menangani cabaran mendesak dalam keselamatan kebakaran dan pengurusan bencana, sekali gus memberi impak yang lebih besar kepada masyarakat dan memastikan masa depan yang lebih selamat dan mampan.
![n](https://news.utm.my/wp-content/uploads/2025/02/477569262_1303736234472004_223324971608391122_n-1024x768.jpg)
Menerusi jalinan usaha sama ini bakal memperkukuh kedudukan UTM sebagai peneraju dalam bidang kejuruteraan kebakaran serta mengukuhkan jalinan akademik dan industri dalam usaha membangunkan penyelesaian keselamatan yang lebih inovatif dan efektif untuk masa hadapan.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Presiden IFEM, Tay Hao Giang; Ahli Majlis IFEM, Elphine Chew; Pentadbir IFEM, Goh Khang Yien; Timbalan Dekan (Akademik & Hal Ehwal Pelajar), FKA, Prof. Madya Ir. Dr. Hidayat Jamal, dan Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi & Pembangunan), FKA, Prof. Ir. Ts. Dr. Ahmad Safuan A Rashid.