Februari 20, 2025

WhatsApp Image at AM

Ts. Dr. Nur Haliza muncul penerima ikon Anugerah Ibu Zain 2025

KUALA LUMPUR, 19 Feb – Ts. Dr. Nur Haliza Abdul Wahab, Pensyarah Kanan Fakulti Komputeran, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ibu Zain 2025 bagi kategori Wanita Teknologi. Pengiktirafan ini disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, pada malam kemuncak Festival The Muslim World Women’s Summit: Voice of H.E.R dan Anugerah Ibu Zain 2025 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur.

WhatsApp Image at bafb
Ts. Dr. Nur Haliza ketika menerima Anugerah Ibu Zain 2025 bagi kategori Wanita Teknologi
WhatsApp Image at c
Ts. Dr. Nur Haliza bersama Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi

Anugerah Ibu Zain merupakan pengiktirafan berprestij kepada wanita luar biasa yang telah memberi sumbangan besar dalam pelbagai bidang, termasuk pendidikan, keusahawanan, kesihatan, perundangan, sukan, dan kesukarelawanan. Antara penerima lain ialah bekas pemain skuasy nombor satu dunia, Datuk Nicol Ann David (Anugerah Voices of H.E.R), selebriti terkenal Noor Neelofa Mohd Noor (Anugerah Wanita Inspirasi), serta atlet terjun negara, Dato’ Pandelela Rinong Pamg (Anugerah Wanita Kesukanan).

WhatsApp Image at ccba
Barisan penerima Anugerah Ibu Zain 2025 mengikut kategori

Ts. Dr. Nur Haliza merupakan graduan Doktor Falsafah dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan memiliki kepakaran dalam bidang Blockchain, Internet of Things (IoT), Penentududukan Dalaman, Protokol Internet versi 6 (IPv6), dan Realiti Terimbuh, meliputi aspek teori, reka bentuk serta pelaksanaan. Beliau juga pernah diiktiraf sebagai Ikon Varsiti Berita Harian (Kejuruteraan) pada tahun 2013.

WhatsApp Image at f
Ts. Dr. Nur Haliza bersama Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir

Selain itu, beliau pernah berkhidmat sebagai Penolong Profesor di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Kampus Kampar dari tahun 2018 hingga awal 2020 serta mempunyai pengalaman sebagai pensyarah di Management and Science University (MSU), Shah Alam.

Majlis penganugerahan ini turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, serta barisan pemimpin dan tokoh wanita negara.

Pengiktirafan yang diterima oleh Ts. Dr. Nur Haliza Abdul Wahab ini bukan sahaja membuktikan kecemerlangan beliau dalam bidang teknologi dan penyelidikan tetapi turut menjadi inspirasi kepada wanita, khususnya dalam dunia sains dan inovasi. Kejayaan ini juga mengukuhkan lagi kedudukan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai institusi penyelidikan unggul di peringkat nasional dan antarabangsa.

Explore More