April 19, 2025

gambar mhb

Program Sains Warga perkasa kelestarian dan pemeliharaan pokok di Pasir Gudang

PASIR GUDANG, 22 Feb – Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad (MHB) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Program Sains Warga (Citizen Science) bersama komuniti MHB dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang 2. Program ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada inisiatif Program MHB River Rehabilitation bagi projek Greening and Decarbonisation, melalui aktiviti penjagaan pokok yang telah ditanam serta pengukuran biometrik pokok untuk memperoleh data pertumbuhannya.

Program ini melibatkan pelbagai entiti termasuk Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Kementerian Pendidikan Negeri Johor, dan Jabatan Perhutanan Negeri Johor. Seramai 40 orang pelajar SK Pasir Gudang 2, komuniti Flat MHB, warga MHB, serta ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah terlibat sebagai sukarelawan dalam usaha menghijaukan kawasan sekitar perumahan MHB dan sekolah. Selain itu, inisiatif ini turut menyokong projek kebun komuniti dengan penanaman pokok-pokok nadir yang dimulakan pada tahun lepas.

mhb
Peserta program membuat pengukuran data pokok 

Antara aktiviti utama program ini ialah penanaman dan penyelenggaraan pokok, yang melibatkan kerja-kerja penggemburan tanah, pembajaan, merumput, serta penyiraman di dua plot penanaman – satu di sebelah Flat MHB dan satu lagi di kebun komuniti MHB. Sebanyak 116 pokok telah diselenggara bagi memastikan pertumbuhannya lebih sihat dan berdaya tahan.

gambar mhb
Peserta cilik tekun melakukan kerja-kerja menggembur tanah

Selain itu, pasukan fasilitator terdiri daripada pensyarah dan pelajar program Geoinformatik, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) UTM turut berkongsi teknologi dan kemahiran dengan pelajar sekolah, guru, dan ibu bapa mengenai kaedah pengukuran ketinggian serta ukur lilit pokok untuk dimasukkan ke dalam aplikasi GeoTrees. GeoTrees, yang dibangunkan oleh UTM, merupakan platform yang mampu menyimpan data inventori pokok dan mengira potensi serapan karbon mengikut spesies pokok. Inisiatif ini memperkenalkan peserta kepada proses pengemaskinian data pokok, yang digunakan dalam pengukuran biomass dan karbon yang diserap oleh pokok dalam komuniti setempat.

Walau bagaimanapun, bacaan stok karbon yang dijana dalam program ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja. Ini kerana, pokok yang masih kecil tidak menyimpan biomass atau karbon; sebaliknya, ia membebaskan karbon dalam fasa awal pertumbuhannya. Biasanya, hanya pokok yang mempunyai ukur lilit atau diameter pada paras dada (Diameter at Breast Height, DBH) melebihi 10 cm akan direkodkan bagi analisis stok karbon.

gambar mhb
Pelbagai lapisan warga yang terlibat dalam aktiviti ini 

Program penjagaan pokok dan pengukuran biometrik ini merupakan kesinambungan daripada program tahun lepas, di mana komuniti MHB telah didedahkan kepada penggunaan teknologi GeoTrees bagi merekod dan memantau tumbesaran pokok. Pihak urusetia amat teruja melihat keupayaan komuniti MHB dalam mengendalikan proses pengukuran biometrik pokok, yang kini memasuki tahun ketiga pelaksanaannya. Selain itu, mereka turut membimbing pelajar sekolah dalam pemindahan ilmu dan teknologi berkaitan penyelenggaraan serta pengukuran data pokok.

Program ini mencerminkan komitmen teguh MHB, UTM, serta rakan strategik dan komuniti dalam menyokong agenda kelestarian. Selain mendidik masyarakat tentang kepentingan pokok dalam usaha penyahkarbonan, program ini juga menjadi pemangkin kepada pelaksanaan aktiviti Sains Warga, yang bukan sahaja menyumbang kepada pengumpulan data saintifik mengenai pokok tetapi turut memperkukuhkan usaha bersepadu dalam pemeliharaan dan penjagaan alam sekitar.

Oleh Sr. Ts. Gs. Dr. Nurul Hawani Idris dan Nurain Othman, Fakulti Alam Bina dan Ukur UTM

Explore More