April 2, 2025

F

Perbarisan Pembukaan Eksesais Leopard Zon Selatan tahun 2025 perkukuh latihan ketenteraan

KULAI, 20 Feb – Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah melaksanakan Perbarisan Pembukaan Eksesais Leopard Zon Selatan Tahun 2025, yang disempurnakan oleh Timbalan Komandan PALAPES UTM, Lt Kol Prof. Madya Dr. Mohd Noor Azli Hj. Ali Khan di Padang Bola Felda Bukit Batu, Kulai, Johor.

Eksesais Leopard Zon Selatan merupakan sebahagian daripada Latihan Kem Tahunan (LKT) yang melibatkan Pegawai Kadet PALAPES UTM, PALAPES Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), dan Rejimen 501 Askar Wataniah (AW). Perbarisan ini menjadi simbolik pembukaan eksesais tersebut serta menandakan permulaan latihan intensif yang akan dijalani oleh para peserta.

F
Lt. Kol. Prof. Madya Dr. Azli bersama pegawai, jurulatih, dan pegawai kadet PALAPES UTM serta PALAPES UTHM

Seramai 11 pegawai, 42 Pegawai Muda Pelajar, 32 anggota lain-lain pangkat, dan 337 Pegawai Kadet telah menyertai perbarisan ini, diketuai oleh Ketua Peringkat PALAPES UTM, Lt. M Dr. Muhamad Fauzi Abd Rased.

Acara dimulakan dengan Tabik Hormat kepada Timbalan Komandan PALAPES UTHM, Mej. Ir. Mustafa Kamal Shamshuddin, diikuti oleh Tabik Hormat kepada Timbalan Komandan PALAPES UTM, Lt Kol Prof. Madya Dr. Mohd Noor Azli Hj. Ali Khan. Perbarisan diteruskan dengan nyanyian lagu Tentera Darat Malaysia (TDM), sebelum ucapan rasmi daripada Timbalan Komandan PALAPES UTM.

Dalam ucapannya, Lt Kol Prof. Madya Dr. Azli menegaskan kepentingan konsep Whole of Government, Whole of Society (WoGos) dalam melaksanakan tugas ketenteraan, yang memerlukan kerjasama erat antara semua pihak dalam pembangunan negara. Beliau turut menggariskan beberapa fokus utama latihan sepanjang Eksesais Leopard, termasuk, peningkatan kemahiran taktikal dan disiplin bagi melahirkan pegawai yang berdaya saing, penerapan integriti dan profesionalisme dalam setiap aspek latihan serta penekanan terhadap aspek keselamatan, memastikan semua Pegawai Kadet dan anggota menjalani latihan dengan penuh kesedaran serta semangat yang tinggi. Selain itu, beliau menyeru agar PALAPES UTM dan PALAPES UTHM mengekalkan nama baik organisasi dengan mempamerkan disiplin serta komitmen yang tinggi sepanjang latihan berlangsung.

G
Lt. Kol. Prof. Madya Dr. Azli menerima tabik hormat semasa perbarisan pembukaan Eksesais Leopard Zon Selatan Tahun 2025

Majlis diakhiri dengan bacaan doa bagi memohon kelancaran dan kejayaan Eksesais Leopard Zon Selatan Tahun 2025, diikuti dengan sesi bergambar yang melibatkan semua Pegawai Kadet, anggota, jurulatih, serta Timbalan Komandan PALAPES UTM dan PALAPES UTHM sebagai kenangan dan simbolik permulaan latihan. Eksesais Leopard Zon Selatan Tahun 2025 bukan sahaja menjadi medan latihan ketenteraan bagi Pegawai Kadet, tetapi juga sebagai platform memperkukuh disiplin, kepimpinan, dan kesiapsiagaan mereka dalam menghadapi cabaran sebenar di lapangan. Dengan semangat juang yang tinggi serta sokongan padu daripada semua pihak, latihan ini diharapkan dapat melahirkan pegawai simpanan yang berkualiti dan berdaya saing, selari dengan keperluan pertahanan negara.

F
Lt Kol Prof. Madya Dr. Azli berbicara dengan pegawai muda dan pegawai kadet PALAPES UTM
F
Mej. Azmi, Ketua Jurulatih PALAPES UTM, memberi kata semangat kepada pegawai muda dan pegawai kadet PALAPES UTM

Explore More