Kebersihan mulut kanak-kanak seringkali diabaikan walaupun ianya memainkan peranan penting dalam kesihatan keseluruhan. Ubat gigi kanak-kanak perlu memenuhi dua kriteria utama iaitu keselamatan dan keberkesanan dalam melindungi gigi. Walau bagaimanapun, kebanyakan produk komersial mengandungi fluorida, yang berkesan dalam mencegah kerosakan gigi tetapi boleh membawa kesan sampingan kepada kanak-kanak jika tertelan dalam kuantiti yang banyak, seperti fluorosis dan kesan negatif terhadap perkembangan sel neuron. Tambahan pula, kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak cenderung menelan ubat gigi kerana rasa dan teksturnya yang menarik. Justeru, terdapat keperluan untuk formulasi ubat gigi yang lebih selamat, berkesan, dan menarik kepada kanak-kanak.
Dalam usaha memenuhi keperluan ini, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Rosnani Hasham @ Hisam, Pengarah Institut Pembangunan Bioproduk (IBD), Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (FKT) yang telah berkecimpung dalam pembangunan produk berasaskan tumbuhan selama lebih 20 tahun, telah memperkenal inovasi baharu dengan menghasilkan ubat gigi kanak-kanak berasaskan nanas. Kajian ini bukan sahaja bertujuan untuk menyediakan alternatif yang selamat tanpa fluorida, tetapi juga untuk memanfaatkan sumber semula jadi dan mengurangkan pembaziran buah nanas. Tahun lepas, beliau bersama kumpulan penyelidikannya telah berjaya merangkul pingat Perak dalam Pameran Seni Industri dan Teknologi (INATEX) 2024 melalui ciptaan ubat gigi ini.

Isu dan cabaran dalam formulasi ubat gigi kanak-kanak
Membuat formulasi ubat gigi untuk kanak-kanak tidak semudah yang disangka. Cabaran utama adalah memastikan bahan-bahan yang digunakan selamat sekiranya tertelan, di samping mengekalkan fungsi pemutihan gigi dan penanggalan plak yang berkesan. Tambahan pula, rasa dan tekstur ubat gigi mestilah menarik agar kanak-kanak gemar menggunakannya secara berkala.
Menurut Dr. Rosnani, “Salah satu bahan utama yang diintegrasikan dalam formulasi ini adalah enzim bromelain yang diekstrak daripada nanas. Enzim ini bukan sahaja terkenal dengan keberkesanannya dalam pemutihan gigi, tetapi juga membantu dalam penanggalan plak makanan melalui penukaran karbohidrat kepada gula yang lebih mudah dibersihkan. Lebih menarik lagi, sisa nanas selepas dijadikan jus digunakan sebagai pemekat dan perasa semula jadi, sekali gus mengurangkan pembaziran.”

Inovasi berasaskan nanas
Pemilihan nanas sebagai bahan utama bukan sahaja kerana kandungan bromelain yang tinggi, tetapi juga kerana nanas merupakan buah ikonik di Johor. Kajian mengenai manfaat nanas telah dijalankan lebih dari 10 tahun, termasuk dalam bidang penjagaan kulit dan kini diaplikasikan dalam produk penjagaan gigi.
Dalam penghasilan ubat gigi ini, Dr. Rosnani menggunakan sisa nanas yang kaya dengan pektin sebagai pemekat, manakala jus nanas digunakan sebagai perasa. Ini memberikan kelebihan bukan sahaja dari segi keberkesanan produk, tetapi juga dalam aspek kelestarian alam sekitar. Produk ini turut mematuhi peraturan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) serta syarat halal, menjadikannya selamat dan sesuai digunakan oleh kanak-kanak berumur dua tahun ke atas.

Keberkesanan dan keselamatan produk
“Salah satu matlamat utama dalam kajian ini adalah untuk menghilangkan kebergantungan kepada fluorida dalam ubat gigi kanak-kanak. Fluorida sememangnya bahan yang sering digunakan dalam ubat gigi komersial kerana sifat pemutihan dan pencegahan kaviti, namun ianya boleh memberi kesan sampingan seperti fluorosis sekiranya tertelan dalam kuantiti yang banyak oleh kanak-kanak. Oleh itu, formulasi ubat gigi ini direka adalah bebas fluorida, bebas paraben, serta menggunakan bahan pengawet gred makanan yang selamat. Sebagai alternatif kepada fluorida, kajian ini menggunakan enzim bromelain yang diekstrak daripada nanas. Enzim bromelain mempunyai sifat anti-plak dan anti-radang yang berpotensi membantu mengekalkan kesihatan gigi serta gusi kanak-kanak. Kajian juga menunjukkan bahawa bromelain dapat membantu dalam pemecahan biofilem bakteria, sekali gus mengurangkan risiko pembentukan kaviti tanpa kesan sampingan seperti fluorosis,” ujar beliau terhadap keberkesanan ubat giginya.
Selain itu, ubat gigi ini juga mengandungi hydrated silica sebagai bahan scrub untuk membersihkan sisa makanan dan plak dengan berkesan. Buih yang dihasilkan daripada bahan gred makanan pula memberikan pengalaman memberus gigi yang menyeronokkan kepada kanak-kanak tanpa sebarang risiko kesihatan.

Cabaran dalam pembangunan produk
Walaupun kajian ini membawa inovasi yang signifikan, beberapa cabaran turut dihadapi dalam proses pembangunan produk. Antaranya adalah memastikan kestabilan serbuk bromelain yang mudah rosak jika terdedah kepada suhu tinggi atau kelembapan. Formulasi yang melibatkan enzim juga memerlukan kawalan suhu dan keasidan yang tepat bagi mengekalkan keberkesanan dan kestabilan produk.
Selain itu, dalam menghasilkan produk berasaskan tumbuhan, risiko pencemaran mikroorganisma adalah tinggi. Oleh itu, Dr. Rosnani menggunakan teknologi pemprosesan yang memenuhi piawaian makanan dan mengikut amalan pengilangan baik di makmal IBD yang dilengkapi dengan fasiliti ekstraksi herba bertaraf industri.

Impak sosial dan ekonomi
Selain memberikan alternatif yang lebih selamat dan berkesan kepada kanak-kanak, inovasi ini juga membawa impak ekonomi kepada penanam nanas. Sisa nanas yang sebelum ini dibuang kini boleh dijadikan bahan bernilai tinggi dalam industri penjagaan gigi. Ini memberikan nilai tambah kepada penanam nanas dan menyumbang kepada kelestarian industri pertanian tempatan.
“Tambahan pula, dengan memperkenal produk penjagaan mulut yang selamat dan mesra alam, kesedaran mengenai kepentingan kesihatan mulut dalam kalangan kanak-kanak dapat ditingkatkan. Produk ini juga berpotensi untuk dipasarkan secara global dengan jenama AnanaShine, sekali gus mengangkat imej buah tempatan ke persada antarabangsa,” tambah beliau.
Pendekatan holistik
Kajian inovatif yang dijalankan oleh Dr. Rosnani dalam menghasilkan ubat gigi kanak-kanak berasaskan nanas ini merupakan satu pencapaian dalam bidang bioproduk. Dengan menggunakan bahan semula jadi yang selamat, berkesan, dan mesra alam, produk ini bukan sahaja memenuhi keperluan kesihatan gigi kanak-kanak, malah menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dan ekonomi tempatan.
Menerusi pendekatan holistik yang merangkumi penyelidikan berimpak tinggi, kerjasama dengan industri, serta kesedaran terhadap keselamatan pengguna, inovasi ini dijangka mampu memberikan perubahan positif dalam industri penjagaan mulut kanak-kanak. Di samping itu, usaha ini turut membuka peluang kepada kajian lanjutan mengenai penggunaan bahan semula jadi dalam produk penjagaan diri yang selamat dan efektif.