Februari 10, 2025

MGM

JOHOR BAHRU, 5 Feb. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus merealisasikan visinya dalam menyediakan perkhidmatan pendidikan dan penyelidikan bertaraf dunia melalui perutusan yang disampaikan oleh Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim sempena Majlis Perutusan Naib Canselor ke-8 Tahun 2025 yang berlangsung secara hibrid di ketiga-tiga kampus, Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Pagoh.

MGL
Majlis Perutusan yang berlangsung secara hibrid di ketiga-ketiga kampus

Prof. Dr. Mohd Shafry menekankan tema utama bagi Majlis Perutusan tersebut, iaitu ‘UTM Sanjungan Bangsa: Memperkukuh Kewibawaan Institusi’. Lima teras utama diketengahkan dalam perutusan ini, merangkumi Institusi Kepimpinan Naib Canselor, Menyubur Jiwa UTM, Memperteguh Kepercayaan Institusi, Menyempurnakan enVision UTM 2025, serta Budaya Hikmah dan Sejahtera.

Menurut Prof. Dr. Mohd Shafry, “Konsep ‘Naib Canselor sebagai Sebuah Institusi Kepemimpinan’ bererti institusi ini memerlukan kerjasama kuat daripada semua pihak, berlandaskan nilai kepercayaan, kolaborasi, transformasi, reformasi dan adaptasi. Kepimpinan ini harus diperkukuh dengan kerja berpasukan yang dinamik, peranan pemimpin sebagai pencetus transformasi, serta pengukuhan dalam ekosistem kepimpinan global.”

Dalam masa yang sama, Prof. Dr. Mohd Shafry turut menyatakan bahawa bagi tahun 2025 ini, UTM akan berusaha meningkatkan penjenamaan antarabangsa dengan memposisikan hasil kepakaran universiti dalam pengajaran dan penyelidikan supaya lebih berdaya saing dan boleh berperanan besar dalam ekosistem pendidikan tinggi global.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa UTM bukan sekadar pusat keilmuan, tetapi juga lambang harapan, kebanggaan, dan inspirasi kepada bangsa, sejajar dengan slogan “UTM Sanjungan Bangsa”. Jati diri warga UTM yang berpegang teguh kepada cogan kata “Kerana Tuhan untuk Manusia” menjadi asas utama yang perlu diperkukuh melalui nilai ISES serta pemantapan adab di bawah teras Menyubur Jiwa UTM.

Beliau turut memetik kata-kata dari Tan Sri Ainuddin Wahid, “Mahasiswa UTM menuntut ilmu dengan tujuan ibadah kepada Allah SWT dan ilmu yang diperolehi daripada Allah SWT melalui UTM perlu disebarkan untuk kebaikan manusia”. Menjiwai kata-kata tersebut dilihat dapat meningkatkan keikhlasan berkhidmat di universiti untuk kesejahteraan masyarakat dunia dan kemanusiaan.

MGM
Prof. Dr. Mohd. Shafry ketika berucap dalam perutusan sulung sebagai Naib Canselor ke-8 UTM

Sementara itu, Prof. Dr Shafry turut menekankan tentang kepentingan memperteguh kepercayaan terhadap universiti yang mampu melonjakkan UTM terus maju ke hadapan, berpaksikan nilai integriti, tatakelola yang cekap, serta sistem pembuatan keputusan yang berasaskan data dan hujah yang kukuh. Hasil daripada kepercayaan dan keyakinan ini, UTM mampu meningkat dari segi pendanaan penyelidikan, bilangan pelajar pascasiswazah, pemindahan teknologi, seterusnya kesohoran institusi.

Ini dapat dibuktikan melalui pencapaian yang mengukuhkan kewibawaan UTM ialah kedudukan ke-181 dalam QS World University Rankings 2025, pencapaian tertinggi dalam sejarah UTM. Selain itu, UTM menduduki tempat ke-28 dalam QS World University Rankings 2025 (Asia) dan memperoleh peratusan 100% untuk Kebolehpasaran Graduan (Warganegara) pada tahun 2023, pencapaian tertinggi dalam kategori kebolehpasaran premium dan graduan berkemahiran tinggi. Ini menunjukkan UTM memiliki wibawa yang tinggi untuk terus kekal cemerlang pada masa akan datang.

Memandangkan tahun 2025 merupakan tahun terakhir dalam merealisasikan enVision UTM 2025, UTM tetap komited dalam meneruskan Moonshot Transformative Journey 2025 yang memberi tumpuan kepada aspek penting seperti melahirkan graduan berkualiti tinggi berorientasikan masa hadapan, memacu penyelidikan dan inovasi berimpak tinggi, memperkasakan transformasi digital, memperhebat kesohoran global universiti, mengangkat kelestarian sebagai tonggak pembangunan universiti, serta penjajaran enVision Moonshot dengan Agenda KPT.

“Bagi tahun 2025, beberapa perkara utama akan diberi perhatian. Antaranya, memperkukuh hubungan dengan syarikat multinasional, menjalin kerjasama erat dengan alumni tersohor, memperkaya pengalaman pembelajaran pelajar melalui aktiviti transformatif dan pengantarabangsaan, menyediakan kemahiran khusus dalam bidang yang menawarkan gaji premium, serta meningkatkan kesarjanaan dan daya saing pelajar pascasiswazah,” tambah Prof. Dr. Mohd  Shafry.

Dalam pada itu, budaya ilmu turut menjadi aspek penting yang ditekankan dalam perutusan Naib Canselor ke-8 ini. Budaya Hikmah dan Sejahtera akan menyuburkan nilai tawaduk dalam kalangan pelajar dan warga UTM. Sebagai satu inisiatif baharu, Majlis Profesor Universiti kini diberi peranan untuk melaksanakan Wacana Intelektual MADANI, dalam usaha membudayakan pertukaran idea berhikmah di semua fakulti dan PTJ secara bulanan mengikut giliran. Usaha ini diharapkan dapat menjadi platform perkongsian penerokaan ilmu baharu, serta usaha mempertingkat kesejahteraan warga universiti.

Dengan kesemua inisiatif ini, UTM bukan sekadar mencorak masa depan pendidikan tinggi negara, tetapi juga melangkah sebagai institusi yang menjadi rujukan di peringkat antarabangsa. Berlandaskan kepimpinan berwibawa, nilai murni yang kukuh, kepercayaan yang utuh, visi yang jelas, serta budaya keilmuan yang mantap, UTM terus meneguhkan kedudukannya sebagai universiti sanjungan bangsa, unggul di persada dunia.

MGL
Majlis Perutusan ini turut menyaksikan serahan cek-cura bernilai RM17.25 juta dari UTM Space diwakilkan oleh Prof. Ts. Dr. Nazri Ali kepada Prof. Dr. Mohd. Shafry
MGL
Dato’ Ir. Hj. Mohamad Khairi Ambran, Pengarah Urusan Khairi Consult Sdn. Bhd. menyerahkan cek-cura sumbangan bagi Tabung Endowmen UTM berjumlah RM 216 ribu kepada Prof. Dr. Mohd. Shafry
MGM
Muhammad Aliff Danish (FKM) dan Muhammad Hazmi (Almuni FKE) turut naik ke pentas bagi menerima cek-cura bernilai RM15 ribu daripada pihak Malaysia Technolgy Development Corporation (MTDC) sebagai inisiatif bagi syarikat pemula mereka, Syarikat Datobulat Tech Lab

Explore More