JOHOR BAHRU, 17 Feb – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Latticesemiconductor Malaysia Sdn. Bhd. bagi menggalakkan kerjasama akademik dan penyelidikan dalam bidang reka bentuk litar bersepadu bagi tempoh dua tahun.
Majlis penandatanganan MoU yang diadakan di Bilik Mesyuarat Utama (BMU), Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim (BCSI) ini disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof. Dr. Rosli Md Illias dan Pengarah dan Ketua Tapak Latticesemiconductor Malaysia, Frisscor Ho dan disaksikan oleh delegasi dari UTM dan Latticesemiconductor.

Prof. Dr. Rosli di dalam ucapannya menyatakan bahawa UTM, melalui kerjasama dengan industri, akan menghasilkan inovasi yang selari dengan usaha melahirkan bakat yang berfikiran kritis, mampu mencipta inovasi baharu, dan menyelesaikan cabaran masa depan, sejajar dengan cogan kata UTM, ‘Menginovasi Penyelesaian’.
Tambah beliau, “Kami berharap bahawa MoU ini akan menjadi titik tolak kepada visi bersama yang lebih luas pada masa hadapan. Ini termasuklah dalam aspek perkongsian kepakaran, memperkukuh kolaborasi dalam penyelidikan dan kurikulum yang berpaksikan industri, memberikan pendedahan industri kepada para pelajar UTM, serta pembangunan sumber manusia bagi kedua-dua pihak, Latticesemiconductor dan UTM”.

Latticesemiconductor merupakan syarikat peneraju dalam teknologi semikonduktor boleh atur cara kuasa rendah yang berpusat di Pulau Pinang. Syarikat ini memberi tumpuan kepada reka bentuk teknikal dan pembangunan komponen elektrik dan elektronik serta aksesori pendawaian.
Syarikat ini berupaya untuk menyelesaikan masalah pelanggan yang merentasi pelbagai rangkaian, dari Edge ke Cloud, dalam pasaran komunikasi, pengkomputeran, industri, automotif, dan pengguna yang semakin berkembang. Melalui rangkaian teknologi ini, hubungan kukuh yang telah lama terjalin serta komitmen terhadap sokongan bertaraf dunia membolehkan pelanggan merealisasikan inovasi dengan lebih pantas dan mudah untuk mewujudkan dunia yang lebih pintar, selamat dan saling berhubung.

UTM sangat menekankan jaringan global untuk melengkapkan kecemerlangan pendidikannya. Sebagai salah sebuah Universiti Penyelidikan di Malaysia, UTM beraspirasi untuk menjadi institusi pendidikan dan penyelidikan yang inovatif, berdaya keusahawanan dan diiktiraf di peringkat global. Oleh itu, kerjasama strategik dengan Latticesemiconductor sememangnya satu penghormatan yang besar bagi UTM.
Cetusan idea untuk mewujudkan MoU ini bermula daripada perbincangan antara staf UTM dan Latticesemiconductor pada tahun 2024 mengenai kerjasama dalam penggunaan Lattice development board, tajaan pelajar tahun akhir dan pelajar pascasiswazah. Latticesemiconductor juga akan menyertai kursus pendek yang dianjurkan oleh FKE dan menghantar beberapa orang staf untuk program pascasiswazah di UTM.
Hubungan kerjasama antara UTM dan Latticesemiconductor diharapkan menjadi titik tolak kepada pemahaman bersama yang lebih luas pada masa hadapan dalam aspek perkongsian kepakaran dan memperkukuh kolaborasi dalam penyelidikan di peringkat nasional mahupun global.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengurus Kanan Kejuruteraan Aplikasi, Melvin Teh, serta Wakil Program Universiti dan Jurutera Reka Bentuk, Mohandas Sakhti Santhiran dari Latticesemiconductor Malaysia Sdn. Bhd. Sementara itu, dari UTM, turut hadir Dekan FKE, Profesor Dr. Jafri Din, serta Pengarah Pusat Jaringan Komuniti & Industri (CCIN), Prof. Dr. Johari Surif.
