NARATHIWAT, 22 Feb. – Seramai 30 pelajar dari Kolej Siswa Jaya (KSJ) dan Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) Pelajar Luar Kampus (PLK), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur telah menyertai Program Adventure to Response The Community of Southern Thailand 2024 yang berlangsung dari 19 hingga 22 Februari 2025.
Program ini merupakan inisiatif Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) yang bertujuan menyemai nilai keprihatinan dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa. Fokus utama program adalah menyokong tiga Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), iaitu SDG 1, Tiada Kemiskinan; SDG 4, Pendidikan Berkualiti; dan SDG 7, Tenaga Mampu Milik dan Bersih.
Antara aktiviti kemasyarakatan yang dilaksanakan di Kampung Wakaf Siku, Narathiwat termasuk pemasangan 10 unit panel solar di persimpangan jalan yang tidak mempunyai lampu, bertujuan meningkatkan tahap keselamatan penduduk terutamanya pada waktu malam. Teknologi solar yang digunakan membantu menjimatkan kos tenaga dan mesra alam, sejajar dengan aspirasi tenaga mampan.

Selain itu, sesi pembelajaran berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) turut diadakan di Bansamyaek School, yang memberi pendedahan kepada murid sekolah rendah tentang asas kejuruteraan melalui aktiviti membina blok LEGO dan kereta Tamiya. Aktiviti ini mencetuskan minat pelajar terhadap bidang sains dan teknologi serta menggalakkan pembelajaran secara interaktif.

Bagi meringankan beban keluarga berpendapatan rendah, sumbangan barangan keperluan asas seperti beras, gula dan minyak masak turut disalurkan. Inisiatif ini membantu memperkukuh hubungan antara mahasiswa dan komuniti setempat serta menyemai nilai empati dan kasih sayang.

Pada 21 Februari, peserta turut menghadiri sesi perkongsian akademik serta lawatan ke Fakulti Kejuruteraan di Rajamangala University of Technology Srivijaya (RUTS), Songkhla. Antara pembentangan utama termasuk topik teknologi pembinaan moden oleh Felow Akademik Fakulti Kecerdasan Buatan UTM, Ts. Dr. Nor Fazilah Mohd Hashim dan penerangan program mobiliti oleh Pegawai Tadbir UTM International, Su Zalpha Mohamed.
Peserta turut menyertai bengkel lukisan batik bersama pelajar RUTS sebagai aktiviti pertukaran budaya, yang bertujuan memperkenalkan seni warisan Malaysia serta merapatkan hubungan dua hala antara institusi pendidikan.

Di samping itu, aktiviti plogging bersama organisasi Trash Hero diadakan di Pantai Samila. Sebanyak 126 kilogram sampah berjaya dikutip, sekali gus memberi kesedaran kepada peserta tentang kepentingan memelihara alam sekitar dan memerangi pencemaran plastik.

Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti setempat, malah menjadi platform pendidikan luar bilik darjah yang efektif dalam membentuk jati diri pelajar. Para peserta berharap agar program seumpama ini diteruskan bagi memperluas impak positif kepada lebih ramai komuniti pada masa akan datang.