Februari 13, 2025

Satu Hati Kasihi Komuniti ()

Jabatan Bendahari UTM santuni kanak-kanak TBQ Amal

JOHOR BAHRU, 12 Feb – Jabatan Bendahari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama KIPMall Tampoi telah menganjurkan Program Khidmat Masyarakat Satu Hati Kasihi Komuniti di Rumah Perlindungan Kanak-Kanak Tenang Bersama Qadar (TBQ Amal), Johor Bahru. Rumah ini merupakan tempat perlindungan kanak-kanak yang ditinggalkan oleh ibu bapa, menjadi mangsa penderaan, dan hidup dalam ketiadaan kasih sayang.

Program Khidmat Masyarakat berteraskan kelestarian ini telah dirasmikan oleh Bendahari UTM, Tn. Haji Abu Bakar Mohd Salleh@Ahmad. Wang tunai berjumlah RM1,000.00 hasil sumbangan staf Jabatan Bendahari UTM telah diserahkan oleh Tn. Haji Abu Bakar kepada wakil TBQ Amal, Suiabatul Aslamiah Khamsan, beserta kelengkapan bilik asrama iaitu cadar, batal dan tuala serta kelengkapan pembersihan iaitu penyapu, penyodok dan penyiram pokok.

IMG
Tn. Haji Abu Bakar menyampaikan sumbangan bernilai RM1,000.00 hasil sumbangan staf kepada wakil pengurusan TBQ Amal

Pihak KIPMall Tampoi turut menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan pembersihan diri dan alat tulis bagi persediaan anak-anak TBQ Amal sempena pembukaan sesi persekolahan 2025. Program ini juga turut menyokong aktiviti kelestarian alam sekitar dengan penanamam pokok di perkarangan rumah TBQ Amal yang disumbangkan oleh Unit Landskap, Bahagian Pengurusan Aset (BPA), Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) (JTNCP) UTM. Simbolik perasmian kerjasama program khidmat masyarakat ini melalui penanaman pokok disempurnakan oleh Tn. Haji Abu Bakar Mohd Salleh@Ahmad, wakil KIPMall, wakil TBQ Amal dan wakil Pejabat Pelestarian Kampus UTM (UTMCS).

IMG ()
Simbolik perasmian kerjasama Program Khidmat Masyarakat Satu Hati Kasihi Komuniti antara Jabatan Bendahari, wakil KIPMall, wakil TBQ Amal dan wakil Pejabat UTMCS

Program diteruskan dengan aktiviti pembersihan kawasan rumah perlindungan, pemotongan rumput serta penanaman 200 pokok hiasan yang dijalankan oleh jawatankuasa dan sukarelawan yang dilantik bersama anak-anak TBQ Amal.

WhatsApp Image at
Anak-anak TBQ Amal bersemangat membantu untuk mengindahkan perkarangan rumah

Seterusnya, aktiviti permainan berkumpulan telah diadakan yang melibatkan anak-anak TBQ Amal dan sukarelawan dengan menawarkan pelbagai hadiah menarik. Slot terakhir program adalah perkongsian Kitar Semula yang dikendalikan oleh Muhamad Khairulnizam Ishak dari Pejabat UTMCS. Sesi ini berlangsung selama 30 minit dan diakhiri dengan penyampaian Tong Kitar Semula (3R) kepada wakil TBQ Amal sebagai inisiatif mendidik anak-anak TBQ Amal tentang kepentingan amalan kitar semula.

Satu Hati Kasihi Komuniti ()
Aktiviti permainan berkumpulan yang menarik untuk anak-anak TBQ Amal
Satu Hati Kasihi Komuniti ()
Khairulnizam dari Pejabat UTMCS sedang berinteraksi dengan anak-anak TBQ Amal dalam slot amalan Kitar Semula

Program ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) kerana aktiviti yang dijalankan menyokong pelbagai aspek kelestarian seperti mengurangkan kemiskinan (SDG1), menyokong kesejahteraan dan kesihatan (SDG3), memperkukuh pendidikan (SDG4) serta menjaga alam sekitar (SDG13 dan SDG15). Ini jelas menunjukkan program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada anak-anak yang dibantu tetapi juga sejajar dengan objektif global ke arah masa depan yang lebih mampan.

Explore More