JOHOR BAHRU, 20 Feb – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (UTM ICC) telah menganjurkan Majlis Penyampaian Sijil ICCubeX Graduated Incubatee sebagai penghargaan kepada para penyelidik dan inovator yang berjaya menyelesaikan program inkubasi di bawah ICCubeX Incubation Program. Majlis ini diadakan sempena Majlis Perutusan Naib Canselor UTM ke-8 pada 5 Februari yang lalu sebagai platform untuk mengiktiraf pencapaian peserta yang berjaya membawa inovasi mereka ke tahap kesediaan teknologi yang lebih tinggi serta memperkasakan usaha ke arah pengkomersialan teknologi.
Majlis ini telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, yang turut diiringi oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Dr. Rosli Md Illias, serta Pengarah UTM ICC, Prof. Madya Ts. Dr. Noor Azurati Ahmad @ Salleh. Kehadiran para pemimpin akademik ini mencerminkan sokongan penuh UTM terhadap usaha menggalakkan inovasi dan pengkomersialan dalam kalangan penyelidik.
ICCubeX Incubation Program merupakan inisiatif yang diperkenalkan oleh UTM ICC pada tahun 2022 dengan matlamat utama membantu penyelidik dan inovator dalam membangunkan idea inovatif serta hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) menjadi produk atau teknologi yang boleh dikomersialkan dan bermanfaat kepada masyarakat. Program ini menyediakan platform sokongan yang kondusif, termasuk latihan keusahawanan, dana pembangunan produk, inkubator, serta bimbingan dalam aspek pemasaran dan strategi perniagaan.
Sepanjang tempoh inkubasi, peserta dibimbing melalui Latihan Keusahawanan yang merangkumi sekurang-kurangnya enam sesi latihan dalam aspek keusahawanan, model perniagaan, pemasaran, strategi penjenamaan, dan kewangan. Dari segi Pembangunan Produk, inovasi yang dibangunkan perlu mencapai Tahap Kesediaan Teknologi (TRL) 6 ke atas, membuktikan kesediaannya untuk diuji dalam persekitaran sebenar. Pembangunan ini juga boleh dibiayai melalui dana PDF2 atau sumber kewangan luar.
Majlis ini dimulakan dengan tayangan montaj khas ICCubeX Graduated Incubatee, yang menampilkan perjalanan dan pencapaian para graduan sepanjang tempoh inkubasi mereka. Seterusnya, sesi penyampaian sijil diberikan kepada penerima ICCubeX Graduated Incubatee.
Antara penerima yang diraikan ialah Ts. Dr. Muhammad Hanif Ramlee (SCALEBONE & Three-Dimensional (3D) Printed Prosthetics Leg Sockets – 3D Pro Leg), Prof. Ir. Ts. Dr. Ahmad ‘Athif Mohd Faudzi (INSPECTO: Duct Inspection and Cleaning Robot), Ts. Dr. Jaysuman Pusppanathan (AR-DRONE 4.0: Augmented Reality (AR)-Based Drone Certification & Competency) dan Dr. Mohd Adib Sarijari (IOTWAVE: A Complete End-to-End Internet of Things (IoT) Platform) dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE). Turut menerima pengiktirafan ialah Prof. Madya Ts. Dr. Harisun Ya’akub (Natural Cough Syrup from Pineapple Fruit Extract Incorporated with Spices and Herbs) dari Fakulti Kejuruteraan Kimia & Kejuruteraan Tenaga (FKT), Prof. Madya ChM Ts. Dr. Nik Ahmad Nik Malek (Pre-Commercialization of Dual-Antibax Cream) dari Fakulti Sains, Prof. Madya Ir. Dr. Zarhamdy Md. Zain (Electronic Embosser Brailler for Education Solution (mBOSE)) dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Nurulakmar Abu Husain (MY-C10 Anthropomorphic Test Manikin (Version 2.0)) dari Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), serta Ts. ChM. Dr. Faizuan Abdullah (Oil2Wang) dari Fakulti Sains.


Para penerima sijil ini telah membuktikan keupayaan mereka dalam membawa inovasi dari peringkat penyelidikan sehingga ke fasa komersial, sekali gus menjadi inspirasi kepada penyelidik lain dalam ekosistem inovasi UTM. Untuk makluman, program ICCubeX bukan sahaja membantu penyelidik meningkatkan kemahiran keusahawanan mereka, malah turut menyumbang kepada pembangunan ekosistem inovasi sosial yang berimpak tinggi.

Universiti perlu memainkan peranan yang lebih proaktif dalam menggalakkan pengkomersialan hasil penyelidikan dengan menyediakan latihan, bimbingan, serta kemudahan sokongan kepada para penyelidik dan inovator. Dengan adanya ICCubeX Incubation Program, UTM terus komited melahirkan lebih ramai usahawan teknologi yang berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa. Sokongan berterusan kepada penyelidik dan inovator amat penting bagi memastikan lebih banyak produk dan teknologi hasil penyelidikan universiti dapat dipasarkan secara efektif. Diharapkan lebih ramai penyelidik menyertai program ini agar hasil penyelidikan mereka tidak hanya kekal di dalam makmal tetapi berjaya memberi impak tinggi kepada ekonomi, masyarakat, dan persekitaran mampan.

Dengan kejayaan program berimpak ini, UTM ICC menyasarkan untuk memperluas lagi ICCubeX Incubation Program dengan menambah lebih banyak modul latihan serta mewujudkan jaringan kerjasama strategik dengan pihak industri dan global. Langkah-langkah seterusnya termasuk peningkatan akses kepada dana penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi membantu penyelidik dalam proses pengkomersialan teknologi. Selain itu, modul ICCubeX akan dikembangkan ke peringkat yang lebih tinggi bagi menyokong pembangunan kapasiti dalam inovasi dan pengkomersialan. Di samping itu, usaha akan diperkukuh melalui pengukuhan rangkaian dengan industri dan pelabur bagi meningkatkan peluang kerjasama serta memudahkan akses pasaran. UTM Technovation Park juga akan menyediakan kemudahan sokongan sebagai pusat inovasi dan pembangunan produk baharu.

Majlis ini bukan sahaja satu penghormatan kepada penerima ICCubeX Graduated Incubatee, tetapi juga bukti komitmen UTM dalam memperkasakan ekosistem inovasi dan pengkomersialan. Dengan kejayaan program ini, diharapkan lebih ramai penyelidik akan mengambil langkah berani untuk mengkomersialkan hasil penyelidikan mereka, seterusnya membawa UTM ke persada global sebagai universiti peneraju dalam penyelesaian inovasi serta melahirkan tekno-usahawan yang berdaya saing tinggi.
Oleh Ts. Dr. Norhayati Mohamed Noor, AMIChemE & Prof. Madya Ts. Dr. Noor Azurati Ahmad @ Salleh, RTTP