JOHOR BAHRU, 18 Feb – Seramai 169 murid Tahun 6 Sekolah Kebangsaan Taman Pulai Emas (SKTPE) telah menyertai program GALAKSI Challenge 2025, satu inisiatif pemindahan ilmu berasaskan gamifikasi yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai pengurusan sisa makanan, plastik sekali guna, serta kesannya terhadap perubahan iklim.
Program ini dianjurkan oleh Fakulti Kejuruteraan Kimia & Kejuruteraan Tenaga (FKT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Akademi Sains Malaysia (ASM) Bahagian Wilayah Selatan dan telah dirasmikan oleh Pengerusi ASM Wilayah Selatan, Prof. Ir. Dr. Haslenda Hashim. Majlis turut diserikan dengan kehadiran Guru Besar SKTPE, Sairah Husin @ Hussien.
Program ini dipenuhi dengan pelbagai aktiviti gamifikasi yang menarik, termasuk dua sesi Pocket Talk. Pocket Talk 1 bertajuk “Sisa Jadi Duit” disampaikan oleh Dr. Muhammad Iqbal Hakim Mohd Tahir, yang memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kitar semula dan pengurusan sisa. Seterusnya, Dr. Muhamad Afiq Zubir selaku Pengarah Program menyampaikan Pocket Talk 2, yang memfokuskan pemindahan ilmu mengenai pengurusan sisa makanan dan plastik sekali guna, impaknya terhadap perubahan iklim, serta peranan pelajar dalam memelihara alam sekitar.

Aktiviti gamifikasi yang dijalankan telah berjaya menarik minat murid-murid untuk mendalami ilmu kelestarian. Antara aktiviti yang diadakan termasuk Galaksi Kahoot Quiz, iaitu kuiz interaktif mengenai kelestarian dan alam sekitar; Galaksi Eco Quest, permainan bertemakan kelestarian; Galaksi Carbon Footprint, permainan untuk memahami jejak karbon; dan Galaksi Explorace, yang merupakan misi mencari harta karun berasaskan konsep 3R.



Selain itu, satu pameran dan demonstrasi penyediaan sisa kompos turut diadakan bagi memberi pendedahan praktikal tentang pengurusan sisa organik serta penjanaan tenaga hijau melalui proses penguraian bahan organik.

GALAKSI Challenge 2025 bukan sahaja memberikan pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan kepada murid-murid, malah berjaya meningkatkan kesedaran mereka tentang kesan sisa makanan dan plastik sekali guna terhadap alam sekitar. Pendekatan gamifikasi ini telah mewujudkan suasana pembelajaran kelestarian yang lebih interaktif dan menarik.
Menurut Prof. Ir. Dr. Haslenda Hashim, “Program seperti ini penting untuk memupuk nilai kelestarian dalam kalangan generasi muda sejak awal lagi. Mereka inilah bakal pemimpin masa hadapan yang akan memastikan kelangsungan planet kita.”
Sementara itu, Dr. Muhamad Afiq Zubir, Pengarah Program GALAKSI Challenge 2025, turut menyatakan penghargaan terhadap kerjasama semua pihak dalam menjayakan program ini. “GALAKSI Challenge 2025 adalah platform terbaik untuk mendidik murid-murid tentang isu kelestarian dan perubahan iklim melalui pendekatan yang menyeronokkan dan mudah difahami. Dengan kaedah gamifikasi, pelajar bukan sahaja belajar sambil bermain, tetapi mereka juga terlibat secara aktif dalam setiap aktiviti yang dijalankan,” ujarnya.
Beliau turut menambah, “Melalui program seperti ini, kita dapat menanam nilai tanggungjawab terhadap alam sekitar dalam diri murid-murid. Harapan saya adalah agar ilmu kelestarian ini menjadi amalan dalam kehidupan seharian mereka kerana murid-murid ini merupakan agen perubahan bagi masa depan yang lebih lestari.”
Program ini turut melibatkan 24 pelajar IChemE-SC UTM serta beberapa staf FKT UTM dan UiTM yang bertindak sebagai fasilitator dan mentor sepanjang program berlangsung. Kerjasama antara institusi pendidikan dan komuniti telah berjaya mengeratkan hubungan serta memberi manfaat berganda kepada semua pihak terlibat. GALAKSI Challenge 2025 diharapkan menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif seumpamanya dalam usaha memperkasakan kesedaran tentang kelestarian dan perubahan iklim dalam kalangan pelajar sekolah.