Februari 3, 2025

Close up mosquito sucking blood from human skin

Denggi merupakan salah satu isu kesihatan awam yang semakin meruncing, bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di peringkat global. Penyakit ini disebabkan oleh virus denggi yang disebarkan melalui gigitan nyamuk Aedes, terutamanya spesies Aedes aegypti. Statistik terkini menunjukkan peningkatan kes denggi yang membimbangkan, dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tidak terkecuali daripada ancaman ini. Dalam konteks kampus universiti, langkah-langkah strategik harus diambil untuk menangani ancaman senyap tetapi berbahaya ini.

Menurut laporan terkini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kes denggi sehingga menyebabkan kematian meningkat pada tahun 2024 berbanding tahun sebelumnya, dengan lebih 120,000 kes dilaporkan di seluruh negara. Di Johor sahaja, lebih 11,000 kes telah direkodkan. Statistik ini membuktikan bahawa penyakit denggi bukanlah isu yang boleh dipandang remeh. Keadaan bertambah serius apabila terdapat laporan kematian akibat komplikasi denggi, seperti sindrom kejutan denggi (Dengue Shock Syndrome).

Punca Wabak Denggi

Salah satu faktor utama penyebaran denggi adalah kewujudan kawasan pembiakan nyamuk Aedes. Takungan air bersih yang tidak diurus, seperti di dalam tayar terpakai, baldi, atau pasu bunga, menjadi habitat ideal bagi pembiakan nyamuk ini. Di kampus universiti, kebersihan persekitaran yang tidak terjaga juga boleh menyumbang kepada masalah ini. Contohnya, longkang yang tersumbat atau kawasan pembinaan yang tidak terurus boleh menjadi tempat nyamuk bertelur.

Selain itu, perubahan cuaca akibat pemanasan global turut mempengaruhi kitaran hidup nyamuk Aedes. Suhu yang tinggi dan kelembapan yang meningkat mempercepat proses pembiakan dan perkembangan nyamuk. Faktor ini menjadi cabaran besar dalam usaha membanteras denggi.

Abandoned tyre outdoor with still water from rain condusive place for aedes mosquito breeding Selective focus on water
Tayar yang terbiar di luar berpotensi untuk menakung air hujan dan menyebabkan pembiakan nyamuk

Kenali Gejala Denggi

Penyakit demam denggi bukan sahaja menyebabkan kesakitan yang signifikan, tetapi juga boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan segera. Oleh itu, amat penting untuk mengenali simptom awal demam denggi. Antara gejala yang sering dilaporkan termasuk demam panas secara mendadak, sakit kepala, sakit di belakang mata, sakit sendi dan otot, ruam kulit serta pendarahan ringan seperti gusi berdarah.

Sekiranya mengalami gejala yang lebih serius seperti muntah darah, rawatan perubatan segera perlu diperoleh di klinik atau hospital berdekatan. Warga kampus UTM juga disarankan untuk mendapatkan rawatan segera di Pusat Kesihatan UTM sekiranya mengalami gejala yang dinyatakan.

Strategi Pencegahan di Kampus 

Sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang bertanggungjawab, UTM perlu mengambil langkah proaktif bagi mencegah penularan wabak denggi. Antara strategi yang boleh dilaksanakan adalah menerusi kempen kesedaran yang proaktif. Usaha ini boleh digiatkan melalui seminar, pameran, dan poster yang memberi maklumat tentang bahaya denggi, cara mengenal simptom, serta langkah-langkah pencegahan. Penglibatan aktif pelajar dan staf universiti dalam kempen kesedaran ini amat penting.

Di samping itu, aktiviti gotong-royong secara berkala dapat memastikan persekitaran kampus bersih dan bebas daripada kawasan pembiakan nyamuk. Pelajar, staf, dan komuniti sekitar boleh bersama-sama menyertai usaha ini untuk meningkatkan rasa tanggungjawab bersama. Sebagai contoh, di peringkat kampus, aktiviti gotong-royong boleh dibahagikan mengikut zon seperti zon fakulti dan pejabat, zon kolej kediaman dan zon fasiliti guna sama. Zon kolej kediaman misalnya boleh melibatkan entiti-entiti kepemimpinan kolej seperti Majlis Felow, Jawatankuasa Kolej Pelajar (JKP), Majlis Ketua Blok (MKB) dan Majlis Ketua Aras (MKA).

Dalam masa yang sama, Pusat Kesihatan Universiti (PKU) boleh menjalankan pemeriksaan berkala untuk mengesan simptom denggi dalam kalangan pelajar dan staf. Langkah ini dapat membantu mengelakkan komplikasi serius melalui rawatan awal.

Abandoned tyre outdoor with still water from rain condusive place for aedes mosquito breeding Selective focus on water
Poster kesedaran denggi yang disediakan oleh JKP Kolej Tun Hussein Onn (KTHO) UTM

Rangkaian Kerjasama Merentas Agensi

Usaha memerangi denggi memerlukan kerjasama pelbagai pihak. UTM boleh menjalinkan hubungan strategik merentas agensi seperti KKM dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Kerjasama ini merangkumi perkongsian data, bantuan teknikal, dan program pendidikan kesihatan dalam membantu Universiti mengenal pasti kawasan berisiko tinggi serta memberikan panduan terbaik dalam pencegahan denggi.

Kerjasama ini juga mampu memainkan peranan penting dalam memastikan persekitaran kampus dan kawasan sekitarnya bersih serta bebas daripada tempat pembiakan nyamuk, terutama menerusi pelaksanaan operasi semburan kabus (fogging) secara berkala. Dalam masa yang sama, warga universiti dan penduduk sekitar perlu dijadikan sebagai “mata dan telinga” dalam mengenal pasti kawasan berisiko. Latihan khusus boleh diberikan untuk memastikan mereka dapat memainkan peranan ini dengan lebih berkesan.

man use fumigation mosquitoes machine for kill mosquito carrier
Kegiatan fogging berupaya untuk membunuh nyamuk berbahaya

Ke Arah Kampus Bebas Denggi

Denggi adalah ancaman kesihatan yang tidak boleh diabaikan, terutama dalam konteks komuniti kampus. Dengan strategi yang holistik dan pelaksanaan yang tegas, UTM mampu menjadi model universiti yang berjaya mengekang wabak denggi. Rangkaian kerjasama merentas agensi serta penglibatan aktif seluruh warga kampus adalah kunci utama kejayaan usaha ini. Komitmen bersama dalam memastikan persekitaran yang bersih dan bebas daripada nyamuk Aedes akan membawa kepada kehidupan kampus yang lebih selamat dan sihat.

Oleh Biro Kelestarian JKP KTHO (Penulis) dan Mohd Fadthul Ikmal Misnal (Penyunting)

Explore More