Januari 18, 2025

Featured Image NewsHub

JOHOR BAHRU, 9 Jan. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerima Naib Canselor baharu menerusi pelantikan Prof. Dr. Mohd Shafry bin Mohd Rahim, oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berkuat kuasa pada 9 Januari 2025.

Pelantikan ini menjadikan Prof. Shafry sebagai Naib Canselor UTM ke-8 bagi tempoh dua tahun.

Untuk rekod, Prof. Dr. Shafry menyandang jawatan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) (TNCAA) UTM bermula 2023 sehingga dilantik ke jawatan Naib Canselor.

Prof. Dr. Shafry juga merupakan profesor dalam bidang Pemprosesan Imej di Fakulti Komputeran, UTM. Beliau menunjukkan keupayaan tinggi dalam kepimpinan dan pentadbiran akademik melalui pelbagai pelantikan, antaranya Ketua Jabatan (Program Luar) di Fakulti Sains Komputer dan Sistem Maklumat UTM (2012−2013), Ketua Pegawai Operasi bagi UTMSPACE Kuala Lumpur, Pengerusi Sekolah Pengajian Prasiswazah di bawah Jabatan TNCAA UTM, Pengerusi Institut Siswazah Tersedia Kehidupan (UTM iLeaGue) dan Pengarah Strategi dan Hal Ehwal Korporat, sebelum dilantik sebagai TNCAA UTM.

Beliau merupakan antara teraju utama dalam merealisasikan penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) UTM, fakulti AI pertama dan juga Malaysia Artificial Intelligence Consortium (MAIC) yang seumpamanya di rantau ini.

Dengan pengalaman dan kepakaran lebih 20 tahun di UTM, Universiti percaya Prof. Shafry mempunyai keupayaan dan kredibiliti yang tinggi dalam menerajui kepimpinan institusi ini, dan seterusnya  memastikan UTM kekal sebagai institusi pendidikan tinggi awam negara yang tersohor.

Explore More