PUTRAJAYA, 21 Jan – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Pejabat Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Kuala Lumpur dan Unit Endowmen telah menyumbang sebanyak RM18,000 bagi menyediakan 300 naskhah al-Quran untuk diedarkan kepada institusi pendidikan Islam yang terjejas akibat banjir tahun lalu, dalam satu majlis penyerahan di sini. Program ini adalah hasil kolaborasi strategik antara Pejabat Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pertubuhan Ikatan Kasih Ummah bersama Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Tujuan murni sumbangan itu adalah bagi memastikan amalan membaca al-Quran di kalangan pelajar tidak terhenti.
Dalam majlis yang diadakan di Kompleks Islam Putrajaya tersebut, sebanyak 5,000 naskhah suci al-Quran bernilai RM363,000 disumbangkan oleh pelbagai NGO dan agensi kerajaan termasuk UTM kepada Skuad Musa’adah Al-Falah MADANI untuk diagihkan kepada masjid, surau, sekolah dan institusi pendidikan Islam yang terjejas akibat banjir tahun lalu. Dalam majlis itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar telah menerima penyerahan simbolik sumbangan bagi pihak JAKIM. Sementara itu, Pejabat Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi telah diwakili oleh Pengarah Pentadbiran, Prof. Madya Dr. Mohamad Zaki Hassan bagi menyerahkan simbolik sumbangan kepada Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.
Inisiatif Kempen Infaq Al-Quran UTM adalah hasil kerjasama strategik antara Pejabat Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Pertubuhan Ikatan Kasih Ummah, dan Unit Endowmen UTM sejak tahun 2022. Kempen tersebut telah dilaksanakan sebanyak 3 fasa dengan kutipan sumbangan mencecah sejumlah anggaran RM43,671.53 dan sejumlah hampir 1,000 naskhah al-Quran telah dicetak untuk digunakan oleh penerima manfaat. Program seperti ini memperlihat kepekaan UTM untuk memberikan manfaat kepada masyarakat setempat daripada segenap aspek seiring dengan slogan “Kerana Tuhan untuk Manusia” yang melambangkan semangat kebersamaan seluruh warga UTM dalam mensejahtera kehidupan dan terus melakar kecemerlangan di persada dunia adalah berpaksikan kepada Tuhan Pencipta Sekalian Alam.
Sumber berita: Berita RTM