Januari 17, 2025

DSC

UTM perlu serius dalam penggunaan sumber tenaga RE pada 2025

JOHOR BAHRU, 8 Jan – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) disarankan bergerak dengan lebih serius ke arah penggunaan tenaga boleh diperbaharui (Renewable Energy) pada tahun 2025. Penyelidik tenaga solar fotovolta (PV) dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Jasrul Jamani Jamian berkata universiti itu perlu mengambil langkah yang konstruktif dalam menjayakan penggunaan tenaga solar PV dengan lebih serius.

“Selaras dengan perancangan Malaysia melalui National Energy Transition Roadmap (NETR), UTM turut dalam perancangan memasang solar PV berskala besar bagi tujuan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga elektrik konvensional yang dibekalkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Walaupun solar PV mempunyai nilai kemorosotan prestasi untuk tempoh masa yang lama (anggaran 0.3 hingga 0.6%/tahun), ditambah dengan keperluan semasa bagi pemasangan solar PV seperti Rapid Shutdown Device (RSD) dan Battery Energy Storage System (BESS), namun, ianya masih memberi kesan penjimatan yang lebih banyak untuk jangka masa yang panjang,” katanya lagi.

Menurut Dr. Jasrul, tarif elektrik TNB akan di semak semula pada setiap 3 tahun melalui skim Incentive-Based Regulation (IBR), di mana dijangkakan kenaikan tarif akan terus berlaku setiap kali semakan dibuat disebabkan faktor-faktor kos lain yang meningkat.

“Oleh itu, dengan pemasangan solar PV berskala besar nanti, ianya akan memberikan kesan positif kepada perancangan kewangan universiti yang lebih lestari,” katanya.

Dr. Jasrul berkata demikian selepas melawat fasiliti solar PV hibrid untuk kegunaan pengecas kereta yang dibangunkan bersama ahli kumpulan penyelidikannya bertempat di tempat letak kereta berbumbung di Pusat Pengkomersilan Industri (ICC).

Wawancara ini dijalankan bersempena dengan ‘International Day of Clean Energy’ yang disambut pada 26 Januari pada setiap tahun. Inisiatif ini adalah selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang ketujuh, iaitu Tenaga Bersih dan Mampu Milik.

DSC
Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Jasrul Jamani Jamian (tiga kiri) bersama kumpulan penyelidikannya di Panel solar PV yang dibangunkan di tempat letak kenderaan ICC UTM Johor Bahru
DSC
Dr. Jasrul Jamani Jamian berdiri di hadapan panel solar yang dibangunkannya. Selain dari komponen elektronik yang mengupayakan sistem solar, panel ini juga dilengkapi dengan alat pendingin hawa yang dikuasakan oleh tenaga solar bagi membantu penyejukan alatan di panel itu
DSC
Panel solar yang dibangunkan berserta dengan pintu besi bagi melindungi peralatan penjanaan solar PV 

Penel solar ini dibangunkan di bawah tempat letak kereta berbumbung dan berfungsi menerangi kawasan parkir berkenaan. Projek ini adalah bersifat katalis kepada penggunaan tenaga solar dalam skala yang lebih besar di UTM.

DSC
Panel solar PV yang dipasang pada bumbung tempat letak kenderaan berbumbung di ICC UTM Johor Bahru. Tempat letak kereta ini dilengkapi dengan panel solar bagi membantu menguasakan pencahayaan lampu di tempat itu
WhatsApp Image at
Panel Solar di bumbung tempat letak kereta di ICC UTM Johor Bahru (pemandangan udara)

Explore More