April 21, 2025

BULETIN SL HOUSING

UTM-PBT Mersing galak pengurusan sisa di kalangan komuniti

MERSING, 8 Jan. – Program Gerak Tumpu & Pengurusan Sisa Pepejal Komuniti giat dijalankan di bawah projek Pembelajaran Berasaskan Perkhidmatan (SULAM) yang diterajui oleh Dr. Siti Radiaton Adawiyah Zakaria bersama Pengarah program, Nor Ilyana Abunawas Ismail. Program ini juga merupakan hasil kolaborasi bersama Majlis Daerah Mersing (MDM) dalam meningkatkan kesedaran mengenai pengurusan sisa pepejal dalam kalangan komuniti.

Program ini turut melibatkan rakan strategik dari Majlis Daerah Mersing (MDM), iaitu Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), SWM Environment, dan Persatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Pulau Tengah (TIC), serta pensyarah bersama, Dr. Salfarina Samsudin.

Picture
Yang Dipertua MDM, Tuan Mohd Norman Haji Noh memberi ucapan perasmian Program Gerak Tumpu & Pengurusan Sisa Pepejal Komuniti

Seramai 40 orang komuniti turut menyertai program ini, yang merangkumi sesi teach-in pengurusan sisa pepejal melalui pemindahan ilmu secara interaktif. Aktiviti ini melibatkan lima reruai yang memberikan peluang kepada komuniti untuk meningkatkan pemahaman mengenai pengurusan sisa pepejal dengan kaedah yang betul.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah memulakan inisiatif pemindahan ilmu bersama komuniti dengan memberikan taklimat dan demonstrasi ringkas mengenai pengurusan sisa pepejal yang lebih lestari. Seterusnya, SWM Environment, dengan kerjasama pelajar UTM, memperkasakan lagi pengetahuan komuniti melalui penerangan tentang kaedah kitar semula yang efektif.

Komuniti juga berpeluang menjana pendapatan dengan menukarkan sisa seperti minyak masak terpakai kepada lilin. Teknik ini telah dikongsikan oleh Persatuan Pemuliharaan Alam Sekitar Pulau Tengah (TIC), sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dalam melestarikan alam sekitar melalui pengurusan sisa pepejal, dengan bantuan pelajar UTM. Melalui perkongsian ini, setiap peserta komuniti dapat membawa pulang hasil lilin yang disiapkan bersama sepanjang sesi tersebut.

Komuniti turut didedahkan dengan teknik inovatif menukarkan bahan sisa seperti botol plastik dan surat khabar lama kepada barang hiasan dan kelengkapan rumah, termasuk kerusi.

Selain itu, peserta program mendapat pengetahuan tambahan mengenai penggunaan sisa makanan yang boleh ditukar kepada baja organik, yang sangat bermanfaat untuk tumbuh-tumbuhan. Teknik pengkomposan sisa ini menggunakan bahan seperti air tempe yang telah luput tarikhnya sebagai salah satu elemen utama. Teknik mudah ini telah dikongsi oleh ahli SWCorp dengan kerjasama pelajar UTM, yang turut membantu menjayakan sesi ini.

Impak positif terhadap peningkatan kesedaran dapat dilihat dengan jelas apabila rata-rata peserta memberikan pandangan positif bahawa mereka kini lebih memahami dengan lebih tepat bagaimana sisa pepejal itu perlu diuruskan bagi mencapai kelestarian alam sekitar. Peningkatan kesedaran ini merupakan hasil langsung daripada usaha penyebaran dan pemindahan ilmu yang dijalankan oleh Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), UTM yang berkolaborasi bersama MDM serta SWCorp, SWM Environment dan Persatuan Pemuliharaan Alam Sekitar, Pulau Tengah kepada komuniti setempat.

Kejayaan program ini bukan sahaja mencerminkan kerjasama erat antara universiti, industri, dan masyarakat, malah memperkukuhkan jenama UTM sebagai institusi yang menerajui transformasi sosial dan inovasi lestari. Program seperti ini diharap dapat diperluas ke komuniti lain di Johor, seterusnya menggalakkan amalan pengurusan sisa yang lebih bertanggungjawab di seluruh negara. UTM akan terus berperanan aktif dalam menyumbang kepakaran kepada masyarakat dan memacu kecemerlangan dalam penyelidikan, pendidikan, dan pembangunan komuniti.

Picture
Mohd Norman Haji Noh (tiga dari kiri) bersama dengan wakil Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), dan Dr. Siti Radiaton Adawiyah Zakaria (tiga dari kanan) melawat reruai
Picture
Mohd Norman Haji Noh dan Dr. Siti Radiaton Adawiyah Zakaria melihat proses bagaimana baja kompos boleh dilakukan menggunakan sisa pepejal yang biasa didapati di rumah
Picture
Komuniti bersama-sama melawat dan memberi perhatian di reruai yang disediakan
Picture
Peserta dari kalangan komuniti yang telah berjaya melewati semua reruai dan mengisi borang soal selidik berhenti di reruai terakhir untuk mengumpul ganjaran seperti minyak masak dan cenderamata lain

Explore More