Januari 27, 2025

MGL

Syarahan Perdana ‘Islam: The Covenants Fulfilled’ bukti UTM julang nilai keilmuan dan peradaban Islam

KUALA LUMPUR, 27 Jan. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) membuktikan institusi ini sentiasa mendukung usaha dalam memartabatkan keilmuan bangsa menerusi penganjuran Syarahan Perdana ‘Islam: The Covenant Fulfilled’ oleh YM Profesor DiRaja Terpuji Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas.

Penganjuran acara ini merupakan kerjasama UTM menerusi Raja Zarith Sofiah Centre for Advanced Studies on Islam, Science, and Civilization (RZS-CASIS) bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Acara yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur ini turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mendapat tajaan CIMB Islamic Bank Berhad.

Datuk Seri Anwar dalam ucapannya menyifatkan Profesor Naquib sebagai seorang intelektual ulung bertaraf dunia, seorang ulama terbilang yang telah memperkaya tamadun Islam melalui pelbagai bidang seperti sejarah, semantik, falsafah, metafizik, kesusasteraan, serta kajian tamadun.

MGL
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu menyampaikan ucaptama sempena Syarahan Perdana ‘Islam: The Covenants Fulfilled’ malam tadi

“Memahami kedalaman legasi Profesor Naquib mungkin di luar jangkauan kita, namun tiada keraguan bahawa ia dibina atas dasar dedikasi seumur hidup terhadap ilmu dan kebenaran. Ia adalah perjalanan menakjubkan dalam mencari erti dan rahsia yang belum diketahui,” kata Perdana Menteri.

Sebagai salah seorang pelajar setia Prof. Diraja Naquib Al-Attas, Datuk Seri Anwar amat menghargai idea-idea besar Profesor Naquib seperti konsep dīn, ‘adl, ḥikmah, adab, dan ta’dīb yang telah memberi kesan mendalam kepada falsafah pendidikan negara ketika beliau menjadi Menteri Pendidikan pada tahun 1980-an.

Dalam ucapannya, Datuk Seri Anwar menekankan bagaimana Profesor Naquib telah membimbing pelajar, termasuk beliau sendiri, untuk melampaui batasan konvensional dan bertindak demi perubahan. Kesedaran ini, katanya, menjadi asas kepada kebangkitan gerakan Islam seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), yang bertujuan menegakkan prinsip tawhid dan menerapkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan.

Perdana Menteri turut menekankan mesej utama karya-karya Profesor Naquib yang menyeru ke arah penghapusan kejahilan melalui ilmu, serta pembinaan tamadun yang berasaskan keadilan, kebebasan, moral, dan kemajuan masyarakat.

Dalam ucapannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menzahirkan hasrat Kerajaan untuk memperkasa Perpustakaan Syed Muhammad Naquib al-Attas di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC), yang kini mempunyai koleksi lebih 150,000 judul.

“Marilah kita berdoa semoga generasi akan datang  mendapat inspirasi dan manfaat daripada tokoh ilmuan terbilang, dan juga guru kita yang cemerlang, Prof. Diraja Naquib Al-Attas,” katanya.

Acara ini bukan sekadar syarahan biasa, sebaliknya satu manifestasi pengiktirafan terhadap seorang ilmuwan luar biasa yang telah membawa cahaya ilmu kepada umat manusia, sekali gus mengingatkan kita tentang tanggungjawab untuk membangun masyarakat berdasarkan kebenaran dan nilai-nilai Islam.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir; Menteri Pendidikan Malaysia, YB Fadhlina Sidek; Prof. Dr. Alparslan Acikgenc dari Universii Ibn Khaldun, Tukiye; Pengerusi Lembaga Pengarah UTM, Tan Sri Azman Hj Mokhtar, Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim dan pengurusan tertinggi UTM.

MGL

Explore More