Januari 25, 2025

n

Student Union Building: Simbol Keunggulan Terbilang Mahasiswa UTM

JOHOR BAHRU, 10 Jan – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus melakar kecemerlangan dengan perasmian Bangunan Kesatuan Pelajar atau Student Union Building (SUB), sebuah bangunan ikonik yang dirancang sebagai pusat pembangunan holistik mahasiswa. Majlis perasmian ini disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia dalam satu acara bersejarah yang menjadi bukti sokongan berterusan kementerian terhadap usaha memperkasakan generasi muda di institusi pengajian tinggi.

Pihak Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTM menzahirkan penghargaan kepada Yang Berhormat Menteri atas kesudian beliau merasmikan bangunan ini usai menyempurnakan Majlis Perutusan Tahun Baharu 2025 di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia pagi semalam. Menurut Yang Dipertua MPP UTM, Muhammad Hazim Amery, SUB merupakan simbol kerjasama erat antara pihak universiti dan mahasiswa dalam membangunkan platform yang menyokong pendidikan holistik serta memperkukuh budaya keusahawanan di kalangan pelajar.

n
Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi menandatangani plak perasmian Student Union Building (SUB) sambil disaksikan oleh Muhammad Hazim Amery, YDP MPP UTM, bersama  pengurusan tertinggi universiti dan dif-dif kehormat

Bangunan ini menawarkan pelbagai kemudahan strategik untuk memenuhi aspirasi pelajar. Antaranya termasuk lima unit perniagaan yang dikendalikan oleh mahasiswa, iaitu Lot 5 Barbershop yang akan menyertai Business Combat anjuran Suruhanjaya Syarikat Malaysia, it geeks.my yang menyediakan servis membaiki komputer dan aksesori teknologi, serta KMU MART, sebuah inisiatif perniagaan di bawah koperasi mahasiswa. Tidak ketinggalan, Heal Pusat Terapi dan Rehabilitasi, sebuah projek keusahawanan sosial, dan Studio Kelab Foto Kreatif yang menyokong bakat seni media, fotografi dan visual pelajar.

Selain itu, SUB turut menyediakan tujuh bilik mesyuarat, sebuah bilik seminar, serta ruang pejabat Jawatankuasa Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (JPMPP). Fasiliti ini dijangka menjadi pusat aktiviti pelajar yang dinamik, didukung oleh kerjasama Jabatan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JTNCHEPA) serta UTM Center for Student Innovation & Technology Entrepreneurship (UTMXCITE). Tambahan lagi, SUB juga menyediakan persekitaran profesional yang kondusif untuk menerokai keusahawanan dan inovasi.

Pembangunan SUB bukan sahaja mampu melahirkan usahawan muda yang berdaya saing, malah menjadi contoh terbaik bagaimana institusi pengajian tinggi boleh memainkan peranan strategik dalam membentuk masyarakat progresif. Inisiatif ini juga diyakini dapat menjadi pemangkin kejayaan mahasiswa UTM di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

SUB diharapkan bukan sahaja menjadi lambang kecemerlangan mahasiswa UTM tetapi juga inspirasi kepada institusi lain di seluruh negara. Dengan penubuhan SUB, UTM terus membuktikan komitmennya dalam melahirkan graduan berkualiti tinggi yang bersedia menghadapi cabaran dunia nyata di samping menyahut agenda KPT ke arah pemerkasaan dan penyediaan bakat terbaik negara dalam kalangan mahasiswa.

n
En Hirman Awang, Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar Kementerian Pendidikan Tinggi (BHEP KPT) merakamkan momen indah bersama pegawai HEPA, mahasiswa UTM sewaktu menyantuni para pelajar di SUB
n
En Hirman Awang turut bergambar bersama Muhammad Hazim Amery, YDP MPP UTM, wakil Unit Beruniform ;Kadet  PALAPES Laut, PALAPES Darat, & APM UTM di perkarangan Student Union Building

Turut hadir adalah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Ketua Setiausaha KPT, YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Pengerusi Lembaga Pengarah UTM, YBhg. Tan Sri Azman Hj Mokhtar, Naib Canselor UTM, Yang Berusaha Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni (TNCHEPA), Yang berusaha Prof. Ali Selamat.

Explore More