Januari 27, 2025

IMG scaled

Seminar etika alam sekitar menuju keseimbangan era moden

KUALA LUMPUR, 23 Jan – Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) telah menganjurkan Seminar Etika Alam Sekitar: Mencari Keseimbangan di Era Moden bertempat di Dewan Azman Hashim, UTM Kuala Lumpur. Seminar ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya etika alam sekitar dalam menghadapi cabaran dunia moden, selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), khususnya SDG ke-13, iaitu Tindakan Iklim dan SDG ke-6, iaitu Air Bersih dan Sanitasi.

Seminar ini menampilkan panel jemputan yang terdiri daripada tokoh-tokoh ternama dalam bidang pendidikan, kejuruteraan, pengurusan sumber air, dan etika alam sekitar. Secara keseluruhannya, empat seminar diadakan pada sesi pagi dan petang yang secara ilmiahnya menunjukkan bahawa program ini amat menekankan isu alam sekitar untuk difahami oleh semua khasnya warga UTM. 

Copy of IMG
Barisan tertinggi bersama penceramah jemputan

Di sesi pagi, syarahan dimulakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang dengan tajuk perkongsian, “Kerangka Eco-Shift Menangani Perubahan Iklim” yang memberi tumpuan kepada peranan penting aktor bukan kerajaan (non-state actors) dalam menangani perubahan iklim global. Dalam sesi pembentangan, Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang menggariskan cabaran perubahan iklim seperti pemanasan global, pencairan ais, dan kepupusan biodiversiti yang memerlukan tindakan segera. Beliau menyeru usaha kolektif oleh pelbagai pihak termasuk akademia, badan bukan kerajaan (NGO), korporat, media, dan masyarakat umum untuk memainkan peranan dalam mitigasi dan adaptasi iklim. Mitigasi merangkumi penggunaan tenaga boleh diperbaharui, sistem pengangkutan mampan, dan teknologi hijau, manakala adaptasi memberi tumpuan kepada keselamatan makanan, pengurusan air, dan infrastruktur tahan bencana.

Kepentingan transformasi budaya dan penyertaan masyarakat dalam memacu perubahan, di mana falsafah ekologi Islam, Jepun, dan Barat digabungkan sebagai kerangka tindakan holistik. “Eco-Shift bukan sahaja melibatkan teknologi dan polisi, tetapi memerlukan perubahan gaya hidup serta nilai budaya untuk memastikan kelestarian yang mampan,” ujar Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang.

IMG
Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang berkongsi pandangan tentang langkah-langkah mitigasi dan adaptasi yang diperlukan untuk menghadapi cabaran perubahan iklim serta kepentingan perubahan nilai budaya dalam memacu kelestarian

Sesi seterusnya dihangatkan dengan perkongsian oleh Prof. Dr. Joni Hermana dari Institut Teknologi Sepuluh Nopember (ITS), membawa tajuk “Tantangan Indonesia dalam Mewujudkan NZE di Tahun 2060”. Dalam seminar tersebut, perbandingan strategi dan pencapaian Pelepasan Sifar Bersih (NZE) antara Indonesia dan Malaysia turut dibincangkan. Kedua-dua negara mempunyai pendekatan yang berbeza dalam mencapai sasaran NZE, yang mencerminkan cabaran dan keutamaan masing-masing. NZE bukan sahaja penting untuk mengurangkan risiko perubahan iklim seperti banjir dan kemarau, tetapi juga berpotensi mendorong pembangunan mampan, memperkukuh kedudukan Indonesia di peringkat global, serta memberikan manfaat langsung kepada rakyat melalui peningkatan kualiti udara dan ekonomi hijau.

IMG
Prof. Dr. Joni Hermana membincangkan cabaran dan keutamaan Indonesia dalam mencapai sasaran NZE menjelang 2060, yang menekankan impak pembangunan mampan terhadap rakyat dan kedudukan global

Sesi petang pula dilenturkan dengan elemen kemanusian iaitu syarahan berkaitan “Prinsip-Prinsip Utama Etika Alam Sekitar”, yang disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Khalif Muammar A. Harris, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Tinggi Islam Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofiah (RZS-CASIS), UTM Kuala Lumpur. Syarahan ini menekankan keperluan memahami punca sebenar krisis alam sekitar yang berpunca daripada pandangan alam sekular dan etika moden yang berpusatkan manusia (antroposentrisme). Islam menawarkan penyelesaian holistik yang menekankan tanggungjawab manusia sebagai khalifah untuk memelihara alam sebagai amanah daripada Tuhan. Beliau turut mengulas kegagalan pendekatan Barat dalam menangani masalah ini, yang sering bergantung kepada sains dan teknologi semata-mata tanpa perubahan dalam pandangan alam atau gaya hidup.

Sepuluh prinsip gaya hidup lestari telah diketengahkan, termasuk konsep zuhud, ihsan, maslahat umum, serta pentingnya mengasihi dan menghormati alam. Penyelesaian Islam bukan sahaja merangkumi perubahan teknikal, tetapi juga transformasi nilai dan pendidikan jiwa manusia, seperti yang dicontohkan oleh Rasulullah S.A.W. Melalui pendekatan ini, beliau menyeru kepada pemerkasaan pendidikan Islam (ta’dib) sebagai asas untuk menangani krisis alam sekitar secara berkesan​.

IMG
Prof. Madya Dr. Khalif Muammar menerangkan prinsip gaya hidup lestari berdasarkan Islam, menekankan tanggungjawab manusia sebagai khalifah untuk memelihara alam sebagai amanah Tuhan

Sesi ditutup oleh panel Prof. Dr. Maketab Mohamed, Pengerusi Majlis Kualiti Alam Sekeliling Malaysia (EQC) yang mengupas tajuk, “Bekalan Air Untuk Marhaen: Adakah Semua Tugasan Dilaksanakan?”. Antara isu utama yang dibangkitkan ialah insiden pencemaran sungai seperti Sungai Gong, Sungai Kundang, dan Sungai Skudai, yang telah menyebabkan gangguan besar terhadap bekalan air. Sebagai contoh, pencemaran kimia dan bau busuk yang disebabkan oleh pelepasan industri dan kumbahan telah memberi kesan kepada ribuan pengguna di kawasan terlibat. Situasi ini menggariskan keperluan mendesak untuk meningkatkan penguatkuasaan undang-undang alam sekitar serta pemantauan yang lebih ketat terhadap kilang dan aktiviti industri. Beliau ini turut menyoroti risiko pencemaran bahan kimia seperti Bahan Perfluoroalkyl dan Polyfluoroalkyl (PFAS), yang mempunyai kesan kesihatan jangka panjang. Oleh itu, pendekatan bersepadu seperti pelaksanaan kajian Jumlah Beban Harian Maksimum (Total Maximum Daily Load – TMDL) dan kerjasama antara pihak kerajaan, industri, dan masyarakat amat diperlukan untuk memastikan sumber air bersih dan selamat untuk generasi akan datang.

IMG
Prof. Dr. Maketab Mohamed membincangkan isu pencemaran sumber air di Malaysia, menekankan keperluan pemantauan ketat dan kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan sumber air bersih dan selamat untuk generasi akan datang

Acara ini turut dimeriahkan dengan Pameran Lestari yang melibatkan pelbagai agensi seperti Jabatan Alam Sekitar, SWCorp Malaysia, Indah Water Konsortium, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Pelita Dhihin. Pameran ini menonjolkan inisiatif lestari yang menyokong agenda SDG seperti pengurusan sisa yang cekap, pemuliharaan biodiversiti, dan amalan lestari dalam kehidupan harian. Seminar ini telah berjaya mengumpulkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk pelajar, penyelidik, dan komuniti setempat dalam usaha memperkukuh nilai-nilai etika alam sekitar. Perpustakaan UTM akan sentiasa menyokong agenda pembangunan lestari melalui pelbagai usaha inovasi dan pendidikan melalui program yang bakal dirancang selanjutnya.

Explore More