Februari 6, 2025

Parlimen Mahasiswa UTM medan latihan kepimpinan mahasiswa UTM

JOHOR BAHRU, 4 Jan. – Sekretariat Parlimen Mahasiswa yang bergerak di bawah Jawatankuasa Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (JPMPP) Sesi 2024/2025 sekali lagi meneruskan legasi untuk mengadakan Parlimen Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi Sesi 2024/2025. Parlimen Mahasiswa UTM Sidang 1 sesi ini diadakan pada 4 Januari 2025 yang lepas bertempat di Dewan Senat Ainuddin Wahid, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM Johor Bahru.

Parlimen Mahasiswa ini telah dirasmikan oleh Mohd Gadaffie Abd. Aziz, Pengarah Institut Dato’ Onn (IDO), yang juga merupakan wakil rasmi Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor. Dalam ucapannya, beliau menegaskan, “Mahasiswa adalah nadi kepada perubahan. Dengan suara dan tindakan yang bersatu, mereka mampu menggerakkan negara ke arah kemajuan yang lebih besar.” Turut hadir sama ialah Prof. Ts. Dr. Ali Selamat, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan Hanifah Ahmad, Ketua Pentadbiran Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) (JTNCHEPA).

Program ini bertujuan untuk menyemai kefahaman bahawa kebebasan bersuara di kalangan mahasiswa perlu digandingkan dengan tanggungjawab dan profesionalisme. Parlimen Mahasiswa bukan sekadar acara tahunan, tetapi menjadi medan latihan kepimpinan yang signifikan. Sebagaimana kata-kata Eleanor Roosevelt, “The future belongs to those who believe in the beauty of their dreams.” Parlimen Mahasiswa UTM 2024/2025 adalah cerminan kepada keindahan impian dan keberanian generasi muda untuk terus melangkah ke hadapan dengan iltizam dan semangat yang tidak pernah padam.

Sesi penyampaian watikah pelantikan kepada Speaker Dewan, Zuhayr Arif Zakaria dan Timbalan Speaker Dewan, Siti Hajar Tumeran telah disampaikan oleh Mohd Gadaffie dan diteruskan dengan upacara angkat sumpah mereka. Beliau turut menyampaikan watikah pelantikan kepada Ahli Dewan Parlimen Mahasiswa yang diwakili oleh Yang Dipertua MPP Sesi 2024/2025, Muhammad Hazim Azatul Amery dan dilanjutkan dengan upacara angkat sumpah sebagai ahli dewan.

IMG
Watikah Pelantikan Timbalan Speaker Dewan
IMG
Upacara Angkat Sumpah oleh Ahli Dewan

Seramai 103 orang ahli dewan daripada 111 orang yang mendaftar telah menghadirkan diri ke Parlimen Mahasiswa ini. Bilangan ini telah memenuhi syarat kuorum yang telah ditetapkan di dalam Buku Perlembagaan Parlimen Mahasiswa UTM yang memerlukan 1/2 ahli dewan untuk memastikan persidangan dapat dilangsungkan. Persidangan ini dimulakan dengan sesi pembentangan Kad Laporan MPP Sesi 2023/2024 oleh Mantan Timbalan yang Dipertua-2 MPP UTM Johor Bahru, Adam Raiyan yang juga merupakan Timbalan Yang Dipertua-1 MPP UTM Johor Bahru Sesi 2024/2025. Persidangan ini seterusnya dibentangkan dengan Hala Tuju MPP UTM Johor Bahru Sesi 2024/2025 oleh barisan MPP Sesi 2024/2025 yang diketuai oleh Muhammad Hazim Azatul Amery.

Copy of IMG
Sesi Pembentangan Kad Laporan MPP Sesi 2023/2024
Copy of IMG
Sesi Pembentangan Hala Tuju MPP Sesi 2024/2025

Setelah sesi pembentangan selesai, terdapat 29 soalan yang telah dikemukakan oleh ahli dewan mengikut Aturan Sidang Bil. 1 dan 6 soalan tambahan yang telah dibenarkan oleh Tuan Speaker Dewan setelah semua soalan selesai dijawab. Persidangan ini juga turut menerima beberapa cadangan daripada ahli dewan dan mempunyai persoalan yang perlu dijawab secara bertulis. Persidangan telah berakhir dengan baik dan telah ditangguhkan pada jam 5.30 petang.

Istimewanya, persidangan ini juga telah dihadiri dengan 20 orang Pemerhati yang terdiri daripada pelajar UTM, Ahli Dewan Muda Johor dan JPMPP Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Pemerhati ini dilantik untuk memastikan persidangan ini dapat dijalankan secara telus dan teratur. Diharapkan agar masalah-masalah yang dihadapi oleh mahasiswa UTM ini dapat ditangani dan diselesaikan dengan baik melalui Parlimen Mahasiswa ini. Natijahnya, program ini bukan sahaja mencetus inspirasi, tetapi menjadi bukti bahawa mahasiswa adalah kuasa perubahan yang perlu didengar dan dihormati.

Copy of IMG
Situasi ketika Sidang Berlangsung

Oleh Sabrina Ahmad Fadzli

Explore More