JOHOR BAHRU, 9 Jan. – Tujuh fokus utama menjadi tumpuan hala tuju sektor pendidikan tinggi negara bagi tahun 2025 sebagai kesinambungan gerak kerja yang diusahakan pada tahun lalu. Hasrat ini disampaikan menerusi amanat Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir pada Majlis Perutusan Tahun Baharu 2025 Yang Berhormat Menteri Pendidikan Tinggi yang berlangsung pagi tadi.
Penganjuran Majlis Perutusan tahun ini menjadikan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai lokasi bagi menghimpunkan warga Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam menyampaikan hasrat dan harapan untuk memacu dan memperkukuh sektor pendidikan tinggi negara.
Dalam ucapan beliau, Dato’ Seri Zambry mengetengahkan tujuh fokus utama yang menjadi landasan kepada usaha KPT untuk terus memacu kecemerlangan pendidikan tinggi. Fokus ini meliputi usaha untuk melahirkan bakat terbaik yang memenuhi keperluan negara, memperkukuh kewibawaan ahli akademik dan warga kampus, serta memastikan ilmu yang dihasilkan dapat memberi manfaat kepada komuniti dan masyarakat melalui pemindahan dan perkongsian ilmu. Selain itu, usaha untuk meningkatkan pengantarabangsaan pendidikan tinggi turut menjadi keutamaan, di samping memperkukuh tadbir urus, memastikan kemampanan kewangan institusi pengajian tinggi (IPT), serta menyediakan infrastruktur dan kemudahan digital yang lebih pacu dan sejahtera dalam komuniti kampus.
Beliau turut mengumumkan sepuluh agenda transformasi yang dirangka bagi memperkasakan pendidikan tinggi negara. Antara agenda yang menjadi perhatian ialah kajian semula sistem kenaikan pangkat ahli akademik di IPT, penambahbaikan kebebasan bersuara di universiti, serta kajian terhadap beberapa akta berkaitan pendidikan tinggi seperti Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) dan pindaan Akta 550 yang melibatkan politeknik dan kolej komuniti. Perancangan ini turut merangkumi usaha untuk mewujudkan Unit RDICE (Research, Development, Innovation, Commercialization, and Entrepreneurship) di setiap IPT bagi merancakkan lagi pemindahan teknologi dan pembangunan syarikat pemula, selain mengkaji beban kerja ahli akademik untuk meningkatkan keberkesanan perkhidmatan mereka. Turut dibahaskan adalah mengenai IPT di bawah kerajaan negeri, penstrukturan semula pejabat Education Malaysia (EM) dan pemusatan kemasukan pelajar antarabangsa.
Majlis Perutusan tersebut juga menjadi platform untuk memperkenalkan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025-2035 (PPTM 2025-2035), berpaksikan “Resilient Nation Builders for a Harmonious, Prosperous, Advanced, and Sustainable Future.” Pelan ini menekankan asas kepada sistem pendidikan tinggi negara yang mampu berdaya saing di peringkat global.
Dalam perutusannya, Dato’ Seri Zambry turut menekankan bahawa, “Pendidikan tinggi bukan sahaja berperanan sebagai pemangkin pembangunan negara tetapi juga sebagai institusi yang mencorakkan perubahan sosial. Pendidikan merupakan asas pembentukan manusia yang seimbang, dengan keutamaan diberikan kepada konsep maqasid pendidikan.”
Beliau turut menekankan pentingnya ilmu yang dihasilkan diterjemahkan ke dalam bentuk praktikal, supaya ia dapat dimanfaatkan oleh masyarakat dan memberi impak besar kepada komuniti. Pendidikan tinggi, tambah beliau, adalah platform untuk melahirkan inovator, penemuan baharu, dan pemimpin masa depan yang akan memastikan Malaysia kekal makmur dan berdaya saing.
Majlis Perutusan Tahun Baharu 2025 ini menyerlahkan keyakinan bahawa sektor pendidikan tinggi Malaysia mampu terus memacu perubahan dalam mendepani cabaran global serta memainkan peranan penting dalam membangunkan negara yang lebih progresif dan mampan. Dengan UTM sebagai tuan rumah, acara ini menandakan komitmen institusi pendidikan tinggi negara dalam menyokong wawasan dan aspirasi KPT ke arah masa depan yang lebih cerah.