Malaysia kini mengambil langkah proaktif untuk menjadi hab pendidikan global dengan menarik ribuan pelajar antarabangsa ke universiti tempatan. Di universiti awam dan swasta, kita melihat pertembungan unik minda cemerlang mahasiswa daripada pelbagai latar belakang budaya, agama dan negara. Kepelbagaian ini menjadikan institusi pengajian tinggi di Malaysia lebih kaya dengan perspektif dan idea baharu, di samping membuka peluang untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik tetapi juga berdaya saing di persada global. Namun, dalam usaha kita melahirkan graduan bertaraf dunia, persoalan penting yang mesti diutarakan adalah sejauh manakah institusi pengajian tinggi di negara ini benar-benar memainkan peranan sebagai tempat untuk melahirkan graduan yang lengkap dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial?
Dalam dunia yang serba moden dan penuh cabaran, ilmu dan adab adalah dua elemen yang mesti digabungkan. Ilmu boleh didefinisikan sebagai pengetahuan sistematik yang diperoleh melalui pembelajaran dan kajian, bertujuan mencari kebenaran dan memberi manfaat kepada manusia. Dalam Islam, ilmu mencakupi aspek fizikal dan metafizik. Menurut Imam Al-Ghazali, ilmu dapat membezakan yang benar dan salah dan Al-Attas menyatakan ilmu yang sejati akan membawa manusia kepada hikmah dan pengabdian kepada Tuhan. Manakala, adab pula adalah tata kelakuan yang mencerminkan kehalusan akhlak, disiplin dan tanggungjawab yang menempatkan sesuatu pada haknya atau tempatnya. Al-Attas telah menulis di dalam bukunya yang bertajuk The Concept of Education in Islam, adab sebagai landasan peradaban dan pendidikan. Menurut Ibnu Qayyim pula, adab dapat memperbaiki hubungan dengan Allah, manusia dan diri sendiri, sementara Al-Attas menekankan adab sebagai landasan peradaban dan pendidikan.
Masa depan Malaysia bukan sahaja bergantung kepada graduan yang mempunyai kecerdasan luar biasa, tetapi kepada mereka yang mampu menggabungkan intelek dengan nilai-nilai seperti empati, hormat-menghormati dan integriti. Oleh itu, universiti sebagai pusat pengajian tertinggi perlu memastikan graduannya seimbang dan sama rata dari segi ilmu serta adab dan akhlak. Sistem pendidikan tinggi Malaysia telah menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan sejak beberapa dekad kebelakangan ini. Universiti tempatan terkenal dengan program akademik yang mantap dalam pelbagai bidang seperti kejuruteraan, perubatan, teknologi, seni dan lain-lain bidang, yang telah membantu melahirkan tenaga kerja mahir untuk negara. Walau bagaimanapun, disebalik semua pencapaian ini, masih wujud jurang ketidaksamaan dalam akses kepada pendidikan berkualiti. Mahasiswa dari kawasan luar bandar sering bergelut dengan kekurangan kemudahan asas dan sumber pembelajaran. Ketidakseimbangan ini mengakibatkan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah memasuki universiti dalam keadaan yang tidak menguntungkan, manakala pelajar di bandar sering mendapat manfaat daripada akses kepada teknologi dan infrastruktur pendidikan. Dalam menghadapi situasi ini, universiti di Malaysia mesti memikul tanggungjawab yang lebih besar untuk melaksanakan dasar yang memastikan akses pendidikan yang lebih saksama, termasuk mengagihkan biasiswa, menyediakan kemudahan teknologi untuk mahasiswa daripada kawasan luar bandar dan membangunkan program bimbingan untuk mereka yang memerlukan.
Ilmu tanpa nilai moral dan adab akan membawa kepada ketidakseimbangan dalam kehidupan. Melahirkan graduan yang hanya mengejar purata nilai gred kumulatif (PNGK) yang tinggi tetapi tidak mempunyai kesedaran tentang tanggungjawab sosial adalah sesuatu yang akan melemahkan masyarakat. Graduan yang hebat dari segi akademik tetapi tidak mampu menghormati orang lain hanya mencipta akal yang dingin dan kosong. Universiti adalah tempat untuk melahirkan individu yang seimbang dan bukanlah kilang untuk mengeluarkan sijil semata-mata dan disinilah pentingnya peranan adab dalam pendidikan. Nilai-nilai seperti merendah diri, hormat-menghormati, empati dan toleransi tidak seharusnya dilihat sebagai pelengkap, tetapi sebagai elemen teras yang mesti diterapkan dalam kehidupan seharian pelajar universiti.
Kepelbagaian budaya di Malaysia menjadikan penghayatan adab lebih penting. Dalam konteks masyarakat majmuk, keharmonian hanya dapat dicapai sekiranya pelajar memahami dan menghormati antara satu sama lain, walaupun kita daripada berbeza agama, bangsa dan budaya. Di universiti, mahasiswa berpeluang berinteraksi dengan rakan sebaya daripada pelbagai latar belakang. Walau bagaimanapun, interaksi ini memerlukan usaha sedar untuk memupuk rasa keterangkuman dan penerimaan. Mereka mungkin berjaya dalam peperiksaan, tetapi jika mereka tidak mempunyai keupayaan untuk bekerjasama atau menunjukkan kesopanan asas, maka kejayaan mereka akan menjadi hambar. Adab adalah asas kepada kepimpinan yang baik, hubungan interpersonal yang sihat dan pembentukan masyarakat yang harmoni. Banyak program boleh dilaksanakan untuk menyokong kepada pembentukan adab dan sahsiah baik pelajar, antaranya program khidmat masyarakat, aktiviti silang budaya dan bengkel kepimpinan. Program-program ini perlu dijadikan sebahagian daripada kurikulum universiti. Melalui aktiviti ini, mahasiswa bukan sahaja belajar untuk menghormati orang lain tetapi juga mengasah kemahiran sosial mereka. Selain itu, program bimbingan antara pelajar senior dan junior boleh dijadikan platform untuk membimbing mahasiwa bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga dalam aspek-aspek positif yang lain.
Malaysia memerlukan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga mempunyai nilai-nilai murni. Universiti-universiti di Malaysia sewajarnya melahirkan seorang jurutera yang bukan sahaja genius dalam menyelesaikan masalah tetapi juga mempunyai kebolehan untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak, seorang doktor yang bukan sahaja mahir dalam merawat pesakit tetapi juga berbelas kasihan terhadap pesakit-pesakit dan waris pesakit. Universiti di negara ini sepatutnya melahirkan seorang peguam yang bukan sahaja pandai berhujah tetapi juga adil dan merendah diri. Gabungan ilmu dan adab ini adalah kunci untuk melahirkan graduan yang kompeten, berjaya dalam kerjaya tetapi juga mampu memberi manfaat kepada masyarakat.
Universiti di Malaysia juga seharusnya menjadi medan di mana mahasiswa yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial dapat dihasilkan. Dalam mengejar kecemerlangan akademik, kita tidak boleh melupakan kepentingan membangunkan pelajar yang beradab dan berakhlak mulia. Oleh itu, kita mesti memastikan graduan kita meninggalkan universiti bukan sahaja dengan fikiran yang cerdas tetapi juga hati yang baik, mempunyai belas kasihan, empati dan integriti. Pendidikan bukan sekadar proses pemindahan ilmu dan fakta, tetapi perjalanan transformasi yang membentuk keaslian manusia. Universiti-universiti di Malaysia perlu diiktiraf di dunia bukan sekadar mempunyai kedudukan akademik yang baik semata, tetapi juga pusat pengajian yang mampu melahirkan graduan berilmu tinggi dan berbudi bahasa.
Oleh Prof. Madya Dr. Jamilah Ahmad, Prof. Madya Dr. Hanifah Jambari, Prof. Madya Dr. Sharifah Osman