Februari 2, 2025

WhatsApp Image at PM

FEST UTM suntik kemahiran pelajar hadapi latihan praktik sekolah dan industri

JOHOR BAHRU, 31 Dis. – Jawatan Kuasa Latihan Praktik, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi (FEST), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan sebuah kursus iaitu Kursus Persediaan Latihan Praktik bagi memenuhi keperluan kursus SHPA 3008 Latihan Mengajar dan SHPA 3113 Latihan Industri yang akan berlangsung pada Semester 2 dan Semester 3 bagi sesi pengajian 2024/2025 bermula 17 Mac 2025 sehingga 3 Oktober 2025. Program ini telah disertai seramai 247 orang pelajar Tahun 3 dari 10 program prasiswazah di bawah FEST.

Kursus Persediaan Latihan Industri ini diwujudkan oleh Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS UTM) bagi menyediakan pelajar dengan beberapa kemahiran utama sebagai persediaan menjalani Latihan Industri. Namun, keunikan FEST yang menyediakan dua latihan praktikal iaitu melibatkan latihan mengajar di sekolah dan latihan industri di syarikat telah memperkaya lagi isi kandungan kursus persediaan dengan menyentuh dua aspek iaitu dalam persekitaran sekolah dan situasi pekerjaan di industri. Pelaksanaan ini membantu melahirkan pelajar yang bukan sahaja berkemahiran tinggi tetapi juga menjadi generasi pelapis yang memenuhi kehendak pasaran kerja, seterusnya berpotensi memperoleh gaji yang premium.

Kursus bersemuka yang dijalankan telah dipengerusikan oleh Dr. Norulhuda Ismail dan telah dirasmikan oleh Prof. Madya Dr. Megat Aman Zahiri Megat Zakaria, Timbalan Dekan Akademik dan Hal Ehwal Pelajar, FEST UTM. Penganjuran kursus ini merupakan kali kedua selepas kursus persediaan ini dilaksanakan pada tahun 2023. Selain memberi taklimat berkaitan modul yang terlibat seperti etika, keselamatan, pengurusan, komunikasi, dan kepimpinan, kursus ini juga menumpukan kepada cara penghasilan resume yang sesuai berdasarkan keperluan dan permintaan industri. Kursus ini juga telah dilaksanakan secara berfasa iaitu secara dalam talian pada 20 Disember 2024 dan diikuti secara bersemuka pada 21 Disember 2024.

WhatsApp Image at PM()
Ucapan perasmian majlis penutup Kursus Persiapan Latihan Praktik FEST oleh Prof. Madya Dr. Megat Aman Zahiri

Bagi penganjuran kali ini, Dr. Mohamad Izzuan Mohd Ishar, selaku Penyelaras Latihan Industri FEST telah mengkoordinasi program pada tahun ini dan dibantu oleh barisan ahli Jawatan Kuasa Latihan Praktik (JKLP FEST) yang lain. Program kursus ini telah menggariskan beberapa objektif dalam memastikan pelajar atau bakal pelatih ini dapat mempelajari sesuatu yang berguna semasa menjalani latihan praktik nanti iaitu mempersiapkan pelajar dengan persediaan mental dan fizikal, memberi gambaran keadaan sebenar persekitaran tempat kerja, menanam sifat tanggungjawab sebagai “pekerja”, dan membentuk kemahiran kebolehkerjaan yang diperlukan semasa menjalani latihan praktik.

Sepanjang pelaksanaan kursus ini, seramai 5 orang penceramah telah dijemput bagi memberi taklimat berdasarkan kepakaran masing-masing. Pada Fasa 1, kursus secara dalam talian telah dilaksanakan dan 2 orang pensyarah dari FEST telah dijemput untuk memberikan taklimat, iaitu Prof. Madya Dr. Mohd Zolkifli Abdul Hamid yang memberikan perkongsian berkaitan Etika Dalam Pekerjaan, dan Dr. Mohd Fahmi Adnan yang berkongsi tentang Keselamatan di Tempat Kerja.

Bagi Fasa 2, kursus bersemuka melibatkan induvidu dalam industri iaitu En. Ariffin Bajuri, Timbalan PPD Sektor Perancangan Daerah Pontian yang berkongsi tentang Komunikasi di Tempat Kerja, dan diikuti oleh En. Sukumaran a/l Kunjappan, Pengurus Pembangunan JDT yang berkongsi tentang pengalaman dalam memimpin sebuah pasukan terkenal untuk diaplikasi semasa bekerja. Sepanjang dua hari pelaksanaan kursus persediaan ini, pelajar juga diminta untuk menyiapkan tugasan berkaitan tajuk-tajuk yang diberikan seperti peta minda pada sesi dalam talian, dan melakukan perbincangan dan pembentangan semasa aktiviti Latihan Dalam Kumpulan pada hari kedua.

WhatsApp Image at PM
Ceramah berkaitan Modul Komunikasi yang disampaikan oleh En. Ariffin Bajuri

Sebelum menamatkan kursus bersemuka, pelajar telah mengikuti taklimat daripada Prof. Dr. Mohd Hasbullah Idris yang memberi perkongsian tentang Pengurusan Projek di Tempat Kerja dan memberi pelbagai contoh dalam merancang dan mengawal selia sesebuah projek yang dilakukan di industri. Dalam kesemua modul yang dikongsikan oleh para penceramah, pelbagai situasi diberikan sebagai contoh dalam mempraktikkan amalan dan kemahiran yang dipelajari tanpa mengira situasi di sekolah atau di industri.

WhatsApp Image at PM
Sesi interaksi dan soal jawab bersama pelajar oleh Prof. Dr. Mohd Hasbullah Idris sebelum tamat sesi perkongsian berkaitan Modul Pengurusan Projek

Sebelum pelaksanaan Kursus Persediaan Latihan Praktik pada tahun 2023, JKLP FEST telah melaksanakan Program Kem Latihan Maya (Virtual Bootcamp) yang memfokuskan kepada situasi dan aktiviti di sekolah. Namun, setelah pihak UGS memperkenalkan Kursus Persediaan Latihan Praktik dan mewajibkan setiap fakulti melaksanakan kursus pada semester sebelum pelaksanaan latihan industri, JKLP FEST telah membuat keputusan untuk menggugurkan kursus secara maya dan menggantikan dengan kursus persediaan ini. Penganjuran kursus ini diharap memberi manfaat kepada pelajar-pelajar Program Pendidikan di FEST UTM dalam menimba ilmu dan kemahiran, selain menambahbaik perilaku yang bakal digunakan semasa menjalani latihan praktik atau di industri selepas menamatkan pengajian

WhatsApp Image at PM
Aktiviti latihan dalam kumpulan dilakukan selepas tamat semua modul bagi melihat perbincangan pelajar dalam menyelesaikan masalah yang berlaku dalam industri
WhatsApp Image at PM()
Sesi penyerahan cenderamata fakulti kepada penceramah jemputan, En. Sukamaran a/l Kunjappan, Pengurus Pembangunan JDT oleh Dr. Mohamad Izzuan Mohd Ishar, pengarah program selepas selesai sesi ceramah beliau

Explore More