SARAWAK, 13 Jan. – Dalam usaha memperkukuh hubungan antara dunia akademik dan industri, sembilan ahli delegasi dari Jabatan Hartanah, Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengadakan kunjungan muhibbah ke Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak. Lawatan ini memberi peluang bagi bertukar pandangan, mengukuhkan jaringan dan membincangkan amalan pengurusan tanah antara Semenanjung Malaysia dan Sarawak.
Diketuai oleh Dr. Aminah Mohsin, Dr. Zafirah Ab Muin dan Dr. Maryanti Mohd Raid dari UTM bersama Pn. Diana Kuwa dan Pn. Nurlaila Ali dari JTS, perbincangan dalam sesi ini menyentuh pelbagai topik menarik seperti teknologi sistem pengurusan tanah terkini, pendekatan lestari dalam pembangunan tanah serta kaedah unik pengurusan tanah adat yang menjadi kebanggaan Sarawak. Pertukaran idea ini tidak hanya mempererat hubungan dua hala tetapi turut membuka jalan kepada kerjasama jangka panjang dalam bidang penyelidikan berimpak tinggi, latihan praktikal dan pembangunan kapasiti untuk menyokong pembangunan tanah yang mampan di Malaysia.
Kunjungan muhibbah ini adalah sebahagian daripada kesinambungan Program “Lan Berambeh: Randau Tanah UTM Land Sabei” yang berlangsung selama tiga hari di Kampung Nanas, Daerah Simunjan. Program ini menggabungkan sesi perbincangan mendalam mengenai isu tanah, perkongsian ilmu dan interaksi secara langsung dengan masyarakat setempat. Pelajar program Pentadbiran dan Pembangunan Tanah peringkat sarjana pesisir dan perdana UTM yang turut melibatkan pegawai-pegawai JTS, memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan program ini. Penglibatan mereka dari aspek logistik hingga pengisian kandungan, mencerminkan sinergi kukuh antara dunia akademik dan industri, sekali gus memberi impak langsung kepada komuniti.
Majlis perasmian program ini telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, YB Tuan Awla Dris yang menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif ini. Beliau memuji usaha kolaborasi ini sebagai jambatan antara universiti dan masyarakat dalam menyelesaikan cabaran tanah secara inovatif dan lestari.
Menurut Dr. Aminah Mohsin, “Melalui hubungan erat dengan JTS dan masyarakat, kami dapat mengenali cabaran unik di Sarawak dan bersama-sama mencari penyelesaian inovatif. Kerjasama seperti ini membuktikan kepentingan hubungan strategik antara universiti dan agensi kerajaan dalam pembangunan tanah yang mampan di Malaysia.”
Program ini juga menyerlahkan peranan UTM sebagai institusi pendidikan yang proaktif dalam memacu pembangunan komuniti. Penduduk Kampung Nanas mendapat pendedahan langsung kepada amalan pengurusan tanah yang lebih efisien, sementara pelajar dan pensyarah UTM pula menikmati pengalaman lapangan yang amat bernilai.
JTS Sarawak menyambut baik inisiatif ini dan berharap kerjasama strategik seperti ini akan diperluaskan di masa hadapan. Kunjungan ini membuktikan komitmen UTM khususnya melalui Program Pentadbiran dan Pembangunan Tanah untuk terus menjalin hubungan erat dengan industri, memacu perkembangan ilmu dan membuka jalan kepada lebih banyak projek inovasi strategik yang membawa manfaat kepada semua pihak.
Melalui langkah seperti ini, UTM dan JTS membina asas kukuh untuk masa depan yang lebih lestari dan inklusif, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam pengurusan tanah di peringkat global.