Januari 18, 2025

Featured Image NewsHub Dr Azhar

Kesiapsiagaan Pendidikan Tinggi: Hadapi Ancaman, Cabaran Bangun Generasi Masa Hadapan

“Education is not preparation for life; education is life itself” (John Dewey)

Ucapan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd. Kadir membuka tirai kalendar Kementerian Pendidikan Tinggi 2025. Pada 2024, perutusan tahun baharu KPT diadakan di Universiti Malaya. Kali ini, UTM dipilih KPT sebagai lokasi perutusan tahun baharu Yang Berhormat Menteri KPT. Kehadiran Yang Berhormat Menteri ke UTM memberi makna besar kepada seluruh warga kampus termasuk pelajar. Amanat tahunan ini penting kepada seluruh warga kampus – pimpinan universiti, akademia, pelaksana dan mahasiswa dalam meningkatkan ekosistem akademik bertaraf global. Menerusi amanat tahunan inilah warga kampus di seluruh negara mengetahui pencapaian KPT pada tahun 2024. Lebih penting lagi adalah gagasan dan wawasan KPT pada tahun 2025 dan dekad mendatang.

Perutusan tahun baharu seperti ini, bukanlah perjumpaan biasa apatah lagi kedatangan Yang Berhormat Menteri tidak bertujuan memproklamirkan ‘jargon’ mempesona tanpa ‘substance’ yang jelas akan masa hadapan pendidikan tinggi negara. Salah tanggap serta perbezaan interpretasi terhadap peranan dan fungsi universiti masa hadapan perlu diluruskan sesuai dengan keperluan masa kini dan agenda pembangunan negara. Justeru, menurut beliau perutusan tahun baharu 2025 ini penting untuk memperkasa universiti sebagai ‘The Best Brain of The Nation’ seperti yang disebutkan oleh Profesor APJ Abdul Kalam. Ini kerana pelbagai cabaran, halangan dan tribulasi pada zaman ini memerlukan ‘anjakan paradigma’ pendidikan tinggi yang lebih luwes, inovatif dan kompetitif. Ini hanya dapat dilakukan dengan merangkul kerjasama dan kolaborasi semua pihak termasuk IPTS, IPTN, industri dan pemegang taruh lain.

Menurutnya, universiti adalah enjin kemajuan yang terbukti berperanan besar dalam menggerakkan kemajuan pembangunan sesebuah negara bangsa. Kebangkitan daripada kemusnahan serta kehancuran beberapa negara dalam peperangan dan konflik seperti Jepun, Korea Selatan dan Jerman adalah bukti, pendidikan tinggi adalah ‘ubat mujarab’ untuk bangkit daripada ‘kekalahan’, kemiskinan dan penindasan. Di negara-negara tersebut, termasuk Malaysia, pendidikan tinggi telah menjadi tulang belakang kemajuan ekonomi dan menyumbang kemajuan yang berterusan dalam pelbagai sektor industri strategik, pembangunan komuniti serta kelestarian alam sekitar.

Perutusan
Yang Berhormat Menteri KPT berkongsi hala tuju dan semangat dalam memperkasa sektor pendidikan tinggi negara

Bukan sekadar pembangunan dan kemajuan material, pendidikan tinggi turut menjadi katalis pembangunan etika, integriti, jati diri dan adab sesuatu bangsa. Justeru, pendidikan tinggi mestilah mampu menyediakan ramuan yang diperlukan agar dapat melahirkan sebuah bangsa idaman dengan wajah serta ‘roh’ kemanusiaan yang tinggi. Cita-cita melahirkan ‘manusia holisitik’ dan berguna adalah suatu keperluan yang kritikal khususnya pada era digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI).

Dalam hal ini, peranan pendidikan tinggi perlu lebih realistik dalam membentuk generasi masa hadapan yang kalis cabaran dengan memanfaatkan segala sumber dan teknologi terkini tanpa sedikit pun meninggalkan nilai spiritual, ‘adab’ dan ‘kemanusiaan’.

Generasi AI serba berbeza dari segi pemikiran, karakter dan gaya hidup lahir pada era kecerdasan buatan yang serba canggih akan menjadikan keperluan generasi AI terhadap pendidikan, kemahiran, hiburan, pekerjaan dan apa sahaja berpusatkan hyper digital. Geoffrey Hinton pemenang Hadiah Nobel Fizik 2024 turut bimbang akan kesan kemajuan tenologi AI kepada generasi masa hadapan jika tidak mengambil langkah berjaga-jaga terhadapnya. Maka, pendidikan tinggi seharusnya memposisikan dirinya membangun dan membentuk manusia seutuhnya selari dengan etos ‘karamah insaniah’.

Universiti juga perlu lebih responsif dan bersiap siaga dengan segala perubahan dan ancaman yang berlaku di sekelilingnya seperti yang dinukilkan oleh Nouriel Roubini dalam bukunya Megathreats : Our Ten Biggest Threats, and How to Survive Them. Krisis hutang global, penuaan populasi, kecerdasan buatan dan automasi, perubahan iklim, perang dingin US-China, pandemik global, krisis kewangan, kebangkitan populisme dan autoritarianisme, krisis sumber asli dan kemajuan teknologi tidak terkawal antara ancaman yang perlu diwaspadai. Tentunya, semua ancaman ini akan berdampak kepada generasi masa hadapan khususnya generasi Y, Z, alpha dan generasi beta. Semua pihak khususnya pengajian tinggi perlu berhati-hati dan mempersiapkan diri agar krisis ‘pengecutan generasi’ yang sedang berlaku di banyak negara seperti China dapat ditangkis di negara ini.

Perutusan
Generasi AI kini memerlukan sentuhan didikan bersifat ‘human-centric dalam menyeimbangkan kebergantungan kepada teknologi

Yang Berhormat Menteri KPT turut menegaskan bahawa fenomena ‘pengecutan generasi’ ini seharusnya diberi perhatian segera di Malaysia dan KPT sedang berusaha membina eksosistem pendidikan tinggi yang lebih realistik berdasarkan berkeperluan masa hadapan seperti ‘unbundling education’ yang serasi dengan keperluan generasi AI. Bagaimanapun, ‘unbundling education’ ini perlulah disuntik dengan ‘humanities-centric’ agar sentuhan manusia seimbang dengan ‘technological centric’.

Kepekaan terhadap perubahan dan tindak balas segera, komprehensif serta konklusif dapat menjadi intevensi berkesan melahirkan generasi kompeten dengan pengetahuan, kemahiran dan sikap yang baik. Selain ancaman besar yang disebut oleh Roubini, ‘micro threats’ juga antara ancaman skala kecil yang boleh merosakkan sesuatu generasi. ‘Microthreats’ boleh memberi impak besar jika dibiarkan tanpa penyelesaian. Ia sering bertindak sebagai “warning signals” kepada ancaman yang lebih besar (megathreats) dalam jangka panjang. seperti kegagalan menguruskan tekanan kerja boleh berkembang menjadi krisis kesihatan mental yang lebih besar.

Yang Berhormat Menteri KPT berpandangan matlamat pendidikan unggul (maqasid pendidikan) Malaysia adalah untuk melahirkan modal insan masa hadapan yang bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara. Ini dapat dilakukan menerusi pengajaran pembelajaran berkualiti, penyelidikan, inovasi serta ilmu yang dapat diterjemahkan ke dalam masyarakat. Dengan kata lain, dengan segala kepakaran dan infrastruktur pendidikan terkini yang ada akan mampu melahirkan lebih ramai pemimpin, pakar dan profesional masa hadapan yang diperlukan negara.

Pada hari ini, pendidikan tinggi negara telah mengalami suatu evolusi yang sangat drastik sejak penubuhan Universiti Malaya pada 1949. Ketika ini terdapat 20 IPTA, 38 politeknik dan 395 IPTS di seluruh negara. Saban tahun ratusan graduan dihasilkan oleh semua IPT ini untuk pasaran pekerjaan di pelbagai sektor domestik dan antarabangsa. Kesan daripada perancangan dan pengurusan akademik yang berkualiti memberi kesan positif terhadap peningkatan kemasukan pelajar asing ke IPT dan IPTS di seluruh negara. Kualiti program, prasarana dan akademia yang berpengalaman dalam pengajaran dan penyelidikan menjadikan Malaysia antara pusat pendidikan tinggi pilihan daripada 90 negara di dunia.

Malaysia menurutnya adalah contoh jelas bagaimana pendidikan tinggi antara faktor yang mengubah landskap sebuah negara agraria kepada sebuah negara industri yang disegani pada ketika ini. Justeru, KPT sentiasa mendapat perhatian serius kerajaan dalam Belanjawan tahunannya. Pada tahun 2025, KPT memperoleh kenaikan 10.76 peratus peruntukan berbanding 2024 dengan jumlah RM18.01 bilion. Bahkan, kerajaan telah menambah peruntukan tambahan sebanyak RM418 juta kepada IPTA dan Hospital Pengajar bagi meningkatkan fasiliti dan infrastruktur pendidikan terkini.

Bagi KPT, tahun 2024 yang telah berlabuh, meninggalkan kesan positif terhadap lima fokus utama membabitkan penyediaan bakat terbaik negara, pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi, pelaksanaan pendekatan baharu program pemindahan dan perkongsian ilmu, pengantarabangsaan pendidikan tinggi dan pemantapan ekosistem pemboleh daya. Manakala pada 2025 pula, KPT menambah dua lagi fokus utama iaitu Kemampanan Kewangan IPT dan Infrastruktur, Digital dan Kesejahteraan Kampus. Lima fokus utama dengan tambahan dua fokus baharu dijangka dapat memacu KPT lebih dinamik dan mampan.

Di samping tujuh fokus utama 2025, KPT turut menggariskan 10 Agenda Transformasi Pendidikan Tinggi yang antara lain memberi penekanan terhadap kaji semula kenaikan pangkat KPT, kenaikan pangkat ahli akademik di IPT, kebebasan bersuara di universiti (Akta 605), mengkaji semula akta institusi pengajian tinggi swasta (Akta 555) dan pindaan Akta 550 bagi politeknik dan kolej komuniti, mewujudkan unit Unit Research, Development, Innovation, Commercialization, and Economy (RDICE) di setiap IPT, mengkaji beban kerja ahli akademik, mengkaji kedudukan IPT yang berada di bawah kerajaan negeri, menstruktur semula pejabat Education Malaysia (EM) dan pemusatan kemasukan pelajar antarabangsa.

Akhirnya menurut Menteri KPT, misi, wawasan dan hala tuju KPT akan tercapai dalam jangka pendek, apatah lagi jangka panjang dengan syarat ‘semua pihak dapat bekerja dalam satu pasukan’.

Explore More