Mac 7, 2025

Karnival Santai Sambil Amal perkasa peranan masjid dalam komuniti

PUTRAJAYA, 18 Jan – Universiti Teknologi Malaysia (UTM), melalui kursus Bina Insan Guru, telah menganjurkan program Karnival Santai Sambil Amal di Masjid Putra, Putrajaya. Program ini melibatkan seramai 196 peserta, terdiri daripada 29 mahasiswa Pendidikan Islam dan 167 pelajar asnaf dari pelbagai sekolah sekitar Putrajaya. Ia bertujuan untuk menggalakkan penglibatan generasi muda dalam aktiviti kemasyarakatan yang berteraskan nilai Islam serta memperkasakan fungsi masjid sebagai pusat komuniti.

Program dimulakan dengan sesi taklimat oleh Ahmad Iman, mahasiswa Pendidikan Islam yang menerangkan berkaitan perjalanan program pada hari tersebut, diikuti oleh Zikir Brisk Walk Madani yang dikendalikan oleh pasukan Da’i Avengers, iaitu Da’i Syazwan dan Da’i Fuad. Aktiviti brisk walk ini membawa peserta mengelilingi kawasan masjid sambil berzikir sebelum diakhiri dengan sesi regangan serta peringatan rohani yang menekankan kebesaran Allah SWT.

gambar
Peserta menyertai Zikir Briskwalk Madani sambil menghayati kebesaran Allah

Sepanjang program, para peserta dibahagikan ke beberapa stesen pembelajaran yang menawarkan aktiviti berasaskan pendidikan Islam dan teknologi. Stesen Tahsin Fatihah memberi pendedahan kepada peserta mengenai cara sebutan huruf Hijaiyah yang betul serta hukum-hakam berkaitan bacaan Surah Al-Fatihah. Stesen Khat pula memperkenal seni penulisan khat, termasuk teknik asas Khat Nasakh.

gamabr
Peserta mendalami bacaan surah Al-Fatihah dalam sesi Stesen Tahsin Fatihah
gambar
Peserta tekun mempelajari seni penulisan khat di Stesen Khat

Selain itu, Stesen Permainan Digital memberikan pengalaman interaktif kepada peserta melalui permainan moden seperti PlayStation 5 (PS5), Nintendo, Xbox, dan realiti maya (VR). Keunikan stesen ini terletak pada permainan VR bertemakan Sirah Nabi Yunus, yang membolehkan peserta merasai pengalaman seolah-olah berada di dalam laut seperti dalam kisah nabi tersebut.

Pengalaman interaktif peserta di Stesen Permainan Digital dengan teknologi terkini

Pada sesi petang, satu forum bertajuk Revolusi Gen Z: Teknologi, Gajet dan Masa Depan telah diadakan dengan panel jemputan Da’i Adibah dan dipengerusikan oleh Da’i Syazwan. Forum ini menekankan kesedaran terhadap bahaya penggunaan gajet secara berlebihan dalam kalangan generasi muda. Selain itu, satu ceramah keibubapaan turut disampaikan oleh Da’i Fuad kepada ibu bapa dan jemaah yang hadir, membincangkan peranan ibu bapa dalam membentuk keseimbangan antara teknologi dan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian.

Da’i Fuad menyampaikan perkongsian bermakna dalam Slot Forum kepada peserta

Majlis penutup dirasmikan oleh Dr. Muhamad Zakuwa Rodzali, Imam Besar Masjid Putra, Putrajaya. Turut hadir ialah En. Shahrin Hashim, Pensyarah kursus Bina Insan Guru, Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan (SPACE) UTM, serta wakil daripada Unit Khidmat Sosial masjid.

Menurut Dr. Muhamad Zakuwa, program seperti ini wajar diteruskan kerana ia bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta tetapi juga menyumbang kepada usaha memperkasakan peranan masjid dalam komuniti. Beliau berharap agar program seumpama ini dapat dianjurkan secara lebih meluas dan digabungkan dengan aktiviti pengimarahan masjid pada masa hadapan. 

Penganjuran Karnival Santai Sambil Amal ini membuktikan bahawa pendekatan interaktif dan berteraskan nilai Islam mampu menarik minat generasi muda untuk mendekati masjid serta menghayati peranan teknologi dalam kehidupan secara seimbang. Diharapkan program seumpama ini dapat diperluas bagi memberi manfaat kepada lebih ramai golongan, sekali gus memperkukuh fungsi masjid sebagai pusat komuniti yang bukan sahaja berperanan dalam aspek ibadah, tetapi juga pendidikan dan pembangunan sosial.

Explore More