KOTA TINGGI, 27 Dis. – Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) Kolej Tun Hussein Onn (KTHO) dengan kerjasama Majlis Felow Merbauan (MAFAN) telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan Program Future Shapers 2024 (FSHARPS’24) bersama komuniti masyarakat dari Gugusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) Adela.
Program ini merupakan satu platform terbaik bagi pihak KTHO dalam memberikan pendedahan dan perkongsian ilmu yang bermanfaat kepada pelajar sekolah di Gugusan FELDA Adela di samping menarik minat mereka untuk menyambung pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Program yang dilaksanakan secara bersemuka di Wisma Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Gugusan FELDA Adela ini diketuai oleh Nurish Airiesya Mohammad Azri serta melibatkan 28 barisan JKM, 13 barisan MAFAN dan 21 orang dari komuniti Gugusan FELDA Adela.
Program ini dibahagikan kepada beberapa slot yang memfokuskan kepada pendedahan awal ilmu berkaitan hala tuju ke IPT kepada para peserta setelah tamat persekolahan kelak. Inisiatif lain program ini adalah untuk memberi pengetahuan kepada mereka tentang peluang-peluang yang ada di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) jika mereka berminat ingin menyambung pengajian mereka.
Taklimat perkongsian pengalaman daripada wakil barisan JKM KTHO telah disampaikan oleh Nurul Amelyawati Ali Rofiq dan Muhammad Danish Afnan Muhamad pada slot pertama. Slot ini menekankan tentang peluang-peluang yang ada bagi para peserta untuk melanjutkan pelajaran mereka dalam bidang yang diminati tanpa mengabaikan prestasi dan bakat mereka yang sedia ada.
Slot 2 pula adalah perkongsian berkaitan dengan ilmu sains pengaturcaraan iaitu simulasi Robokar yang disampaikan oleh Niclaronce Ling How Jun dan Nurul Nazihah Jamal dengan bantuan barisan JKM KTHO. Slot ini memfokuskan kepada asas tentang penggunaan STEM yang betul serta tepat sebelum, semasa dan selepas sesuatu operasi. Para peserta dilihat sangat teruja dan tertarik semasa menjalankan aktiviti tersebut dan mempunyai hasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam bidang STEM setelah mengikuti slot ini. Perkongsian ini memberikan gambaran yang baik berkenaan STEM sekali gus menarik minat mereka untuk melanjutkan pembelajaran dalam bidang sains dan teknologi kelak.
Seterusnya, slot ke-3 diteruskan dengan perkongsian dari Pembantu Felow KTHO, Siti Nur Fatin Hakimah Ibnuzaman bagi berkongsi pengalaman beliau dalam menempuhi segala cabaran dan rintangan demi mendapatkan prestasi yang terbaik dalam pembelajaran sepanjang beliau bergelar mahasiswa di UTM. Slot ini disampaikan untuk memberi motivasi kepada para peserta bahawa setiap rintangan dan kesulitan itu pasti akan dapat ditempuhi jika mereka sentiasa berusaha dan tidak berputus asa. Beliau juga turut menyampaikan pesanan penting kepada para peserta untuk sentiasa fokus kepada kekuatan diri dan menggunakannya secara maksimum bagi mengatasi segala kelemahan diri.
Di akhir program, Dr. Mohd Farizal Ahmad Kamaruddin selaku pengetua KTHO merakamkan setinggi- tinggi penghargaan kepada Pihak Gugusan FELDA Adela kerana sudi menerima kunjungan daripada JKM KTHO dalam merealisasikan program ini.
Penganjuran FSHARPS’24 ini diharapkan dapat membantu dalam membuka minda dan hati para peserta dari Gugusan FELDA Adela untuk mencari dan mencungkil minat mereka dalam melangkah ke menara gading, sekali gus memperkukuh sokongan bagi melahirkan generasi yang berpendidikan cemerlang serta holistik dalam pembangunan insan.
Oleh Nazhatul Aida Qysteena Rosli (Penulis) dan Nurul Amelyawati Ali Rofiq (Penyunting)