JOHOR BAHRU, 13 Jan. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperteguh komitmennya dalam memperkasa penerbitan ilmiah dan penyelidikan akademik dengan melantik dua tokoh terkemuka sebagai Karyawan Tamu UTM. Pelantikan ini membuktikan komitmen berterusan UTM untuk memperkukuh kedudukannya sebagai pusat kecemerlangan akademik dan penyelidikan bertaraf dunia, bukan sahaja dalam bidang sains dan teknologi tetapi juga dalam pemeliharaan warisan sejarah dan budaya negara.
Majlis pelantikan Karyawan Tamu UTM berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM Johor Bahru. Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, menyampaikan watikah pelantikan kepada dua tokoh terkemuka, Yang Berhormat Dato’ Dr. Haji Abdul Rahim Ramli, Yang DiPertua Jumaah Majlis DiRaja Johor, dan YBhg. Datuk Dr. Lim Swee Tin, Ahli Majlis Penasihat Kebudayaan kepada Kerajaan Malaysia (MAKEN), yang juga Ahli Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN). Sesi penyerahan lantikan Yang Berhormat Dato’ Dr. Haji Abdul Rahim bagi tempoh dua tahun manakala YBhg. Datuk Dr. Lim bagi tempoh setahun, ini disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Rosli Md Illias, serta Yang Berhormat Dato’ Dr. Kassim Thukiman, Ahli Penasihat Jumaah Majlis DiRaja Johor.
Menurut Prof. Shafry, “Pelantikan YB Dato’ Dr. Haji Abdul Rahim dan YBhg. Datuk Dr. Lim Swee Tin sebagai Karyawan Tamu UTM merupakan sebahagian daripada usaha berterusan UTM untuk memperkukuh kedudukan Universiti ini sebagai sebuah pusat kecemerlangan akademik dan penyelidikan terkemuka dunia. Pelantikan ini juga bertujuan mengukuhkan lagi hubungan strategik dengan tokoh tersohor yang telah memberikan sumbangan besar dalam bidang budaya, sejarah dan kesusasteraan, demi pembangunan watan.”
Tambahnya lagi, usaha ini selari dengan hasrat UTM untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang sains dan teknologi, malah menjadi graduan yang berpemikiran kreatif untuk bersaing dalam pasaran pekerjaan yang lebih mencabar seiring dengan perkembangan AI. Justeru, diharapkan melalui penyertaan kedua-dua tokoh ini dalam bidang akademik bakal membuka ruang untuk mengembangkan kajian-kajian berkaitan warisan seni budaya dan sejarah negara yang lebih mendalam dan komprehensif.
Pelantikan Yang Berhormat Dato’ Dr. Haji Abdul Rahim Ramli dan YBhg. Datuk Dr. Lim Swee Tin merupakan satu penghargaan besar yang diharapkan dapat memberi impak yang mendalam terhadap pembangunan dan pengembangan ilmu pengetahuan serta penerbitan bahan ilmiah berkualiti dalam negara, khususnya dalam bidang kajian sejarah, budaya, kesusasteraan, dan warisan.
Yang Berhormat Dato’ Dr. Haji Abdul Rahim Ramli merupakan seorang tokoh berpengalaman luas dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Johor dan memiliki kepakaran mendalam dalam sejarah serta protokol Johor dan Istana Johor. Dengan pengalaman lebih lima dekad, Dato’ Dr. Abdul Rahim telah banyak menyumbang dalam menguruskan institusi Diraja Johor dan terlibat secara langsung dalam pelbagai acara diraja, termasuk keputeraan Raja, pemasyhuran Sultan, dan perkahwinan diraja. Beliau turut menerbitkan pelbagai buku rujukan penting yang memperkaya dokumentasi sejarah dan protokol negeri Johor.
Menurutnya, “Pelantikan ini memberikan peluang kepada saya untuk menyampaikan ilmu pengetahuan, serta pengalaman saya dengan kerajaan untuk dijadikan buku supaya generasi muda dapat memanfaatkannya.”
YBhg. Datuk Dr. Lim Swee Tin, yang juga merupakan penerima Anugerah Southeast Asia (S.E.A). Write Award 2000, ialah seorang pelakon, pengarang dan penyair yang sudah lama berkecimpung dalam dunia kreatif khususnya kesusasteraan Melayu. Beliau dikenali sebagai seorang tokoh yang berpengalaman luas dalam penulisan kreatif, khususnya puisi. Sepanjang kerjayanya, beliau telah menghasilkan pelbagai karya yang diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Selain itu, beliau juga aktif dalam bidang pendidikan, sering terlibat dalam seminar dan bengkel yang mempromosikan kecintaan terhadap sastera dalam kalangan generasi muda.
Beliau berkata, “Keilmuan sains dan teknologi menjadi penjana besar kepada anak-anak bangsa, membuka minda, serta menggerakkan cita rasa tinggi kepada pembacaan. Kebijaksanaan hanya mampu dibentuk melalui penghimpunan pemikir yang bijaksana. Jika digabungkan dengan kehebatan penerbitan, saya percaya UTM akan menyerlah di persada dunia dan antarabangsa.”
UTM percaya dengan pelantikan Yang Berhormat Dato’ Dr. Haji Abdul Rahim dan YBhg. Datuk Dr. Lim Swee Tin sebagai Karyawan Tamu UTM pastinya akan memberi sumbangan yang besar dalam memelihara dan memperkasa budaya, seni, sastera dan sejarah negara khususnya yang melibatkan negeri Johor Darul Ta’zim.
Dengan pelantikan ini, UTM bukan sahaja menegaskan komitmennya untuk terus berada di barisan hadapan dalam dunia akademik dan penyelidikan, tetapi juga memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa yang memberi manfaat besar kepada seluruh masyarakat dan negara. UTM akan terus berusaha untuk memperkasa ilmu pengetahuan, inovasi, dan penyelidikan yang memberi impak positif kepada pembangunan negara dan dunia pada masa hadapan seiring dengan visi dan misi universiti yang berteraskan kecemerlangan akademik dan penyelidikan global. Ini selari dengan cogan kata “UTM Sanjungan Bangsa” dan moto “Kerana Tuhan untuk Manusia”.
Turut hadir dalam majlis berkenaan Pengarah Penerbit UTM Press, Profesor Madya Dr. Siti Rahmah, pegawai-pegawai kanan UTM, dan wakil-wakil dari Jabatan DiRaja Johor.