Disember 12, 2024

Search
Close this search box.
Bukit Aping

KOTA TINGGI, 9 Dis. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meneruskan usaha memperkasa komuniti dan masyarakat menerusi  Program Pemindahan Ilmu Produk Lestari, Pengukuhan Ekonomi, dan Pemerkasaan Ilmu FELDA Bukit Aping Timur. Projek ini menjadi contoh kejayaan inovasi komuniti hasil kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Pusat Khidmat Parlimen Kota Tinggi.

Program berimpak ini yang berlangsung sejak Februari lalu mencapai kemuncaknya menerusi majlis perasmian oleh YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Ahli Parlimen Kota Tinggi, merangkap Menteri Pertahanan. Majlis turut dihadiri Timbalan Naib Canselor UTM (Pembangunan), Prof. Dr. Edy Tonnizam Mohamad, YB Muszaidee Makmor (ADUN Sedili) dan YB Norlizah Noh (ADUN Johor Lama).

Bukit Aping
Program pemindahan ilmu menjadi satu inisiatif di bawah Pusat Khidmat Parlimen Kota Tinggi

Melibatkan lebih 110 peserta, termasuk suri rumah, guru, pelajar, dan usahawan tempatan, program ini memindahkan hasil penyelidikan inovasi UTM kepada komuniti untuk dilaksanakan dalam kelompok berkenaan. Inisiatif program ini berfokuskan untuk meningkatkan taraf ekonomi, menyemai kesedaran pembangunan lestari, dan memupuk minat komuniti FELDA berkenaan terhadap sains serta teknologi.

Antara projek inovatif yang diketengahkan sepanjang program ini melibatkan penghasilan ikan kering tanpa perlu dijemur di bawah matahari sebaliknya menggunakan teknologi dehidrasi dan prarawatan serai. Projek  di bawah bimbingan Profesor Madya Dr. Umi Aisah Asli menawarkan kaedah bersih, berkualiti, serta mematuhi piawaian halal. Kaedah ini telah membuka peluang kepada suri rumah dan ibu tunggal untuk menambah pendapatan.

Bukt Aping
Penghasilan ikan kering tanpa dijemur di bawah matahari teknologi yang dikongsi peserta yang terdiri daripada penduduk setempat

Sementara itu, inovasi penghasilan kertas lestari daripada sisa pertanian seperti hampas tebu dan daun nanas melibatkan komuniti di kawasan ini yang  mendapat bimbingan Profesor Madya Ir. Dr. Nadia Adrus berpotensi besar menjadi produk kraftangan dan cenderamata di samping menyokong kelestarian alam sekitar dan menjana pendapatan tambahan.

Bukit Aping
YB Dato’ Seri Khaled (tengah) dan Prof. Edy (tiga dari kiri) melihat demonstrasi penghasilan kertas daripada hampas tebu dan nanas yang boleh dijadikan bahan kraf

Penghasilan serbuk kanji daripada sisa makanan dan pengumpulan minyak masak terpakai yang diterajui oleh Ir. Dr. Jamarosliza Jamaluddin juga menjadi sebahagian daripada projek ini dalam memanfaatkan sumber sisa, sekali gus menyumbang kepada kelestarian dan ekonomi komuniti.

Bukit Aping
Penghasilan serbuk kanji yang turut menjadi pengisian program ini

Aspek pendidikan ini juga menjadi fokus utama melalui program pemerkasaan STEM di sekolah rendah di FELDA ini yang diterajui oleh Profesor Madya Dr. Hasrinah Hasbullah. Aktiviti ini melibatkan latihan guru dan eksperimen interaktif yang berjaya mencetuskan minat pelajar dalam bidang sains dan teknologi.

Bukit Aping
Pendidikan kesedaran inovasi lestari turut melibatkan murid sekolah di Felda Aping Timur

Dalam pada itu, hasil inovasi dan demonstrasi projek yang terlibat turut dipamerkan sebagai bukti kerjasama erat antara UTM, institusi tempatan, dan rakan industri seperti The Johor Collection dan ECOBIODEXSEL Sdn Bhd yang memberi impak besar kepada pembangunan komuniti FELDA.

Program ini membuktikan pemindahan ilmu daripada institusi pendidikan tinggi berpotensi besar dalam mengukuhkan ekonomi komuniti, menyelesaikan cabaran harian, dan memupuk budaya lestari. Pendekatan seperti ini juga wajar diperluaskan ke komuniti lain demi manfaat bersama.

Explore More